NURSYASYA NADHIRAH ZABIDI
KUALA TERENGGANU – Seorang doktor pakar sebuah hospital swasta di bandar raya ini dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pesakit kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun 7 bulan pada empat tahun lalu.
Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli menjatuhkan hukuman tujuh sebatan terhadap Dr. Mohd. Syafwan Mohd. Soffian, 42, selain mengenakan pengawasan polis selama dua tahun selepas dibebaskan dari penjara.
Beliau memerintahkan hukuman itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menyangkal kes prima facie terhadap kes pendakwaan di akhir kes pembelaan.
Berdasarkan enam pertuduhan pertama, tertuduh, Mohd. Syafwan didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun tujuh bulan di bilik kliniknya di sebuah hospital swasta di sini antara 25 September hingga 10 April 2023.
Bagi pertuduhan ketujuh pula, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama di lokasi sama pada pukul 8 malam, 9 Oktober 2022.
Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) dan Seksyen 14(d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan