Harapandaily
Walaupun meramalkan Pakatan Harapan (PH) berdepan persaingan sengit pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, laporan ILHAM Centre turut mengiktiraf satu faktor yang dilihat masih memihak kepada gabungan itu — populariti Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Menurut laporan badan penyelidik itu, Aminuddin atau lebih dikenali sebagai Tok Min masih menikmati tahap penerimaan peribadi sekitar 75 peratus, didorong imejnya yang sederhana, mudah didekati serta rekod pentadbiran yang dianggap stabil dan tidak dibayangi kontroversi besar.
Dapatan itu menunjukkan kekuatan peribadi Aminuddin kekal menjadi antara aset utama PH, meskipun laporan sama mengunjurkan gabungan berkenaan bakal berdepan cabaran lebih getir berbanding pilihan raya sebelum ini.
ILHAM turut mengenal pasti lima kerusi yang disifatkan sukar diramal, iaitu Chennah, Linggi, Nilai, Repah dan Temiang.
Kedudukan lima kerusi itu dilihat berpotensi menjadi penentu kepada keputusan keseluruhan PRN, sekali gus membuka ruang kepada perubahan saat akhir bergantung kepada corak pengundian dan sentimen tempatan.
Laporan itu turut menyatakan strategi kempen PH banyak bergantung kepada rekod pentadbiran kerajaan negeri dan kepimpinan Aminuddin.
Bagaimanapun, ILHAM berpandangan naratif berasaskan prestasi pentadbiran berdepan cabaran apabila berdepan kempen yang lebih menonjolkan politik identiti.
Dalam analisisnya, ILHAM menyifatkan PRN Negeri Sembilan kali ini sebagai pertembungan antara dua naratif utama, iaitu kesinambungan pentadbiran berasaskan rekod prestasi dan politik identiti yang menekankan isu Melayu-Islam.
Bagi PH, laporan itu memberi isyarat bahawa rekod pentadbiran perlu diterjemahkan dengan lebih jelas kepada pengundi, khususnya pada fasa akhir kempen.
Dengan hari pengundian semakin hampir, tumpuan kini terarah kepada sama ada populariti peribadi Tok Min mampu membantu PH mempertahankan negeri itu, atau ramalan ILHAM mengenai laluan sukar gabungan berkenaan menjadi kenyataan.
ILHAM menegaskan dapatan tersebut adalah berdasarkan kajian lapangan dan merupakan unjuran, bukannya keputusan rasmi pilihan raya.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan