"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Individu ugut cederakan diri, operasi tangkap anjing kecoh

FMT Reporters

Individu itu dikatakan bertindak agresif dengan cuba memotong tali 'loop' digunakan bagi menangkap anjing selain ugut mencederakan diri.
stray dogs
Majlis Bandaraya Diraja Klang berkata operasi dilaksanakan susulan aduan rasmi penduduk mengenai gangguan keselamatan akibat kebanjiran anjing liar. (Gambar Bernama)
PETALIG JAYA: Operasi menangkap anjing liar oleh Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) di Taman Teluk Gedung Indah, Pelabuhan Klang, kecoh apabila seorang individu didakwa menghalang tugas anggota penguat kuasa serta mengugut untuk mencederakan dirinya.

MBDK berkata, dalam kejadian ketika operasi di Jalan Sama Gagah 20, individu terbabit dikatakan bertindak agresif dengan cuba memotong tali ‘loop’ digunakan bagi menangkap anjing selain mengugut mencederakan diri jika haiwan berkenaan tidak dilepaskan.

“Tindakan itu mencetuskan kekecohan dan berlaku insiden tarik-menarik yang menyukarkan anggota MBDK melonggarkan serta melepaskan peralatan berkenaan demi keselamatan haiwan. Bagaimanapun, anjing terbabit disahkan mati ketika insiden itu berlaku.

“Bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih tegang serta menghindari kecederaan kepada mana-mana pihak, anggota MBDK melepaskan peralatan yang digunakan sebelum polis tiba di lokasi untuk mengawal keadaan,” katanya menurut Harian Metro.

Katanya, operasi berlangsung dari 8.30 malam hingga 12 tengah malam itu dilaksanakan susulan aduan rasmi penduduk mengenai gangguan keselamatan akibat kebanjiran anjing liar.

MBDK memaklumkan, seramai 11 kakitangan dan seorang pegawai Jabatan Kesihatan MBDK terbabit dalam operasi itu dengan kerjasama kira-kira 50 penduduk setempat.

“Operasi dijalankan mengikut Undang-undang Kecil 17(1), Pelesenan Anjing dan Rumah Pembiakan Anjing MBDK 2007, dengan sokongan Jawatankuasa Kesihatan, Kemasyarakatan dan Pembangunan Mampan (JKKPM) serta dimaklumkan kepada ahli majlis kawasan.

“Sepanjang operasi itu, sebanyak 12 ekor anjing liar berjaya ditangkap dan semuanya dilakukan menggunakan peralatan ‘loop’ yang mematuhi piawaian Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi memastikan proses penguatkuasaan dilaksanakan secara selamat serta mengutamakan kebajikan haiwan,” katanya.

Susulan insiden itu, MBDK turut membuat laporan polis berhubung tindakan menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta ancaman menggunakan senjata tajam bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut peruntukan undang-undang.

“MBDK turut menzahirkan kekesalan terhadap kejadian itu dan menegaskan pihaknya akan terus melaksanakan penguatkuasaan secara profesional, berhemah serta mematuhi piawaian kebajikan haiwan.

“Pada masa sama, MBDK mengingatkan pemilik haiwan peliharaan supaya sentiasa bertanggungjawab dengan memastikan lesen haiwan sentiasa sah dan tidak membiarkan haiwan berkeliaran sehingga mengganggu keselamatan awam.

“Majlis turut menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada polis dan menegaskan tindakan sewajarnya akan diambil terhadap pihak yang menghalang penjawat awam menjalankan tugas rasmi mengikut lunas undang-undang,” katanya.

Terdahulu, Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM) menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh serta mengambil tindakan undang-undang segera terhadap semua individu dipercayai terbabit dalam kematian seekor anjing peliharaan bernama Rocky di Taman Teluk Gedung Indah, Pelabuhan Klang, Rabu lalu.

Presiden SAFM, Kalaivanan Ravichandran, dalam kenyataan mendakwa insiden kira-kira 10.50 malam itu bukan sahaja mengakibatkan kematian haiwan berkenaan, malah turut menimbulkan persoalan mengenai tindakan sekumpulan penduduk serta kehadiran pegawai MBDK di lokasi kejadian.

Tiada ulasan: