"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Juruterbang Malaysia ditahan di Indonesia disyaki anggota sindiket dadah antarabangsa

FMT Reporters

Pihak berkuasa Indonesia memerlukan lebih masa untuk jalankan siasatan lanjut dan bongkar sindiket yang lebih besar.

Juruterbang warga Malaysia itu ditahan polis dan kastam Indonesia di Terminal 3 Lapangan Terbang Soekarno-Hatta. (Gambar Wikipedia)
PETALING JAYA: Pihak berkuasa Indonesia percaya seorang juruterbang warga Malaysia yang ditahan di negara itu kerana disyaki cuba menyeludup dadah adalah sebahagian daripada rangkaian penyeludup antarabangsa.

Ketua Subdirektorat II Direktorat Narkotik Bareskrim, Awaludin Amin berkata ujian makmal mendapati air kencing suspek positif MDMA, metamfetamin dan kokain, manakala siasatan awal menunjukkan dia mungkin pernah menyeludup dadah ke Indonesia sebelum ini.

Beliau berkata berdasarkan soal siasat awal, suspek mengaku membawa dadah terlarang ke Indonesia sebanyak tiga kali, iaitu dua kali melalui Jakarta dan sekali melalui wilayah lain, lapor Bernama.

“Kami mengesyaki dia sebahagian daripada rangkaian antarabangsa, namun kami memerlukan masa untuk menjalankan siasatan lanjut dan membongkar sindiket yang lebih besar,” katanya.

Katanya, pihak penyiasat sedang mengesan anggota lain dalam rangkaian itu serta mengenal pasti penerima dadah berkenaan di Indonesia.

Terdahulu, pihak berkuasa Indonesia menahan seorang juruterbang Malaysia pada Selasa selepas dia didakwa ditemui membawa 70,114 pil ekstasi dan 2.7 gram syabu.

Suspek yang kemudian mengaku bertindak sebagai keldai dadah itu ditahan polis dan kastam Indonesia di Terminal 3 Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, menurut laporan CNN Indonesia.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Eko Hadi Santoso, berkata pegawai kastam mengesan sebuah beg pakaian yang mencurigakan ketika melalui mesin sinar-X.

Beg itu diperiksa selepas ia diambil oleh suspek.

“Semasa pemeriksaan, pasukan menemui 14 bungkusan besar pil ekstasi dan satu bungkusan syabu ,” katanya.

Eko berkata suspek mengaku diarahkan oleh seorang pengedar dadah dari negara jiran untuk menyeludup dadah berkenaan ke Jakarta dengan bayaran RM50,000.

Tiada ulasan: