"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kedah: Bolos sempadan darat: Orang tempatan 'cari makan' jadi penyeludup

Suharmin Yusuf
suharmin.yusuf@hmetro.com.my
KAWASAN hutan yang luas serta tidak dipagari sepenuhnya membuka ruang kepada sindiket mewujudkan laluan baharu.
KAWASAN hutan yang luas serta tidak dipagari sepenuhnya membuka ruang kepada sindiket mewujudkan laluan baharu.
Alor Setar: Aktiviti penyeludupan yang dijadikan 'periuk nasi' oleh segelintir penduduk di kawasan sempadan dikenal pasti antara cabaran terbesar Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membanteras jenayah rentas sempadan.

Ketua Polis Kedah Datuk Adzli Abu Shah berkata, tanggapan bahawa kegiatan itu mempunyai sumber pendapatan menyebabkan ada dalam kalangan penduduk enggan bekerjasama dengan polis walaupun mempunyai maklumat mengenai aktiviti penyeludupan.

"Segelintir penduduk tempatan menganggap aktiviti penyeludupan ini sebagai 'punca pendapatan tradisi'.
SEMPADAN darat luas jadi cabaran kekang penyeludupan.
"Ia menyebabkan mereka tidak mahu untuk bekerjasama di dalam memberikan maklumat kepada pihak polis," katanya kepada Harian Metro.

Adzli berkata, keadaan itu memberi kelebihan kepada sindiket untuk terus menjalankan kegiatan mereka kerana sokongan atau keengganan masyarakat menyalurkan maklumat menyukarkan tindakan penguatkuasaan.

Selain itu, katanya, faktor geografi turut menjadi cabaran apabila sempadan darat dan kawasan hutan yang luas serta tidak dipagari sepenuhnya membuka ruang kepada sindiket mewujudkan laluan baharu setiap kali laluan lama dikesan atau ditutup.

"Sempadan darat dan hutan yang luas serta sukar yang mana tidak mempunyai pagar sepenuhnya, mewujudkan potensi laluan haram baharu setiap kali laluan lama dikesan atau ditutup.

"Selain itu, permasalahan kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati) melalui kawasan laut juga menjadi cabaran kepada PDRM," katanya.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) bekerjasama dalam membuat pemantauan terhadap permasalahan itu dengan menempatkan kawalan yang secara terus menghadap laut dengan kelengkapan peralatan yang sesuai untuk penugasan ini.

Menurut Adzli, penggunaan teknologi dalam aspek keselamatan juga masih belum mencapai tahap optimum sehingga memberi peluang kepada kumpulan penjenayah memanipulasi kelemahan sistem sedia ada.

"Bagi memperkukuh penguatkuasaan, polis Kedah melaksanakan pendekatan bersepadu menerusi penyelarasan aset, perkongsian risikan dan operasi bersama membabitkan PGA, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN)," katanya.

Katanya, kerjasama itu turut diperluas menerusi perbincangan berkala dan perkongsian risikan dua hala dengan polis Thailand bagi memperkukuh kawalan serta mengekang jenayah rentas sempadan di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand.

Tiada ulasan: