MOHD YUNUS YAKKUB

Mohd. Firuz ketika ditemui pemberita di pekarangan luar wad kecemasan Hospital Banting FOTO: SADDAM YUSOFF
KUALA LANGAT – Seorang pelajar perempuan yang cedera dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di Banting di sini dipercayai ditikam sehingga 16 kali oleh rakannya sendiri menggunakan pisau.
Perkara itu didedahkan bapa mangsa, Mohd. Firuz Ibrahim, 43, yang memaklumkan kebanyakan tikaman berlaku di bahagian belakang badan, termasuk menyebabkan kecederaan serius pada paru-paru kiri anaknya.
Menurut Mohd. Firuz, kejadian itu menimpa anak kedua daripada tiga beradik tersebut diketahui selepas menerima panggilan daripada guru mangsa kira-kira pukul 9.30 pagi.
Katanya, dia yang bekerja sebagai pemandu lori syarikat penghantaran terus bergegas ke Hospital Banting.
“Bila saya sampai, memang anak teruk. Saya difahamkan 14 hingga 16 tikaman di bahagian belakang dan muka. Paru-paru kiri kena dan sekarang ini sedang masukkan tiub bagi mengeluarkan darah.
“Anak berada dalam keadaan sedar dan boleh bercakap,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan luar wad kecemasan Hospital Banting di sini.
Kata Mohd. Firuz, anaknya dan suspek mengenali satu sama lain dan pernah berada dalam kelas yang sama semasa di tingkatan dua.
Ujarnya, difahamkan suspek berusia 15 tahun tersebut kini ‘dicutikan’ atas rawatan peribadinya.
“Saya tidak pasti sama ada suspek ada dendam dengan anak saya atau tidak.
“Saya rasa anak bukan sasaran namun sebab dia dekat dengan suspek, itu yang kena. Anak pun tidak pernah mengadu pernah diganggu suspek,” katanya.
Mengulas mengenai tahap keselamatan di sekolah, Mohd. Firuz mengakui kesal dengan memohon supaya pihak sekolah mengetatkan tahap keselamatan agar kejadian berkenaan tidak berulang. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan