LUQMAN RIDHWAN MOHAMED NOR

Barang kemas milik mangsa yang berjaya diperoleh kembali susulan penahanan tiga suspek di Semenyih, Selangor kelmarin. - Foto IHSAN PDRM
TELUK INTAN – Polis berjaya menahan tiga suspek iaitu seorang wanita dan dua anaknya yang terlibat sindiket penipuan menawarkan bantuan kebajikan masyarakat di sebuah pangsapuri di Semenyih, Selangor kelmarin.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, pada 29 Jun lalu, tangkapan itu susulan laporan oleh seorang warga emas yang menjadi mangsa sindiket tersebut.
Beliau berkata, pada 29 Jun lalu, mangsa yang berumur 67 tahun semasa sedang menunggu untuk membuat pemeriksaan kesihatan di sebuah hospital di sini didatangi oleh seorang perempuan iaitu suspek dengan memperkenalkan diri sebagai pekerja kebajikan termasuk menawarkan bantuan sebanyak RM2,000 sebulan.
“Pada ketika itu, suspek meminta barang kemas yang dipakai oleh mangsa untuk proses mendapatkan bantuan kebajikan tersebut. Tanpa menyedari dirinya ditipu, mangsa telah menyerahkan barang kemas yang dipakainya iaitu seutas rantai leher emas, sepasang subang emas berserta rantai pendek dan tiga cincin emas,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Alwi berkata, mangsa menyedari bahawa dirinya telah ditipu apabila suspek tidak datang kembali untuk menemuinya dan terpaksa menanggung kerugian dianggarkan bernilai RM3,000.
“Hasil daripada maklumat siasatan, pada 3 Julai 2026 pukul 4.10 petang, sepasukan polis dari Bahagian Siasalan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak telah berjaya menjejaki suspek di sebuah pangsapuri di Semenyih. Seramai tiga orang suspek iaitu dua orang perempuan dan seorang lelaki berusia antara 22 tahun hingga 50 tahun berjaya ditangkap.
“Selain merampas pakaian yang digunakan oleh suspek ketika memperdayakan mangsa, pihak polis juga berjaya merampas kembali barang kemas milik mangsa yang sempat dijual oleh anak suspek di sebuah kedai pajak gadal di Teluk Intan. Kesemua suspek ditahan reman selama empat hari mulai semalam hingga Selasa ini dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan