"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Trump ancam nak bom Oman pula

AFP

DUBAI: Presiden AS Donald Trump mengugut mengebom Oman sekiranya mengganggu perjanjian dengan Iran mengenai Selat Hormuz, dalam pada sebuah kapal melintasi laluan perairan strategik itu dilaporkan dibedil pada Selasa.

Perunding utama Iran Mohammad Bagher Ghalibaf berkata pada Selasa, Selat Hormuz tidak akan dibuka sehingga AS memenuhi tuntutan Tehran, termasuk menghentikan sekatan laluan laut.

Dalam ucapan disiarkan televisyen kebangsaan, beliau menyebut tuntutan Iran termasuk menghentikan sekatan laluan perairan itu, menghentikan sekatan minyak dan melepaskan aset Iran yang dibekukan di luar negara.

Beliau akan melawat Iraq pada Rabu untuk rundingan, dalam pada Baghdad berdepan tekanan daripada Washington untuk melaksanakan pelucutan senjata terhadap kumpulan yang menyokong Iran.

Puak Houthi di Yaman yang disokong Iran menyasarkan kilang penapisan minyak di persisiran Laut Merah Arab Saudi pada Selasa, dalam pada kumpulan pemberontak itu meningkatkan serangan terhadap negara berkenaan.

Pihak Houthi “menyasarkan kilang penapisan Aramco di Jazan menggunakan dron… sebagai tindak balas terhadap pencerobohan ruang udara di Saada dan Hajjah” di Yaman, menurut agensi berita Houthi, Saba, memetik sumber tentera.

Agensi maritim Britain melaporkan sebuah kapal yang melintasi Selat Hormuz dibedil “projektil yang tidak dapat dikenal pasti” menyebabkan kecederaan anak kapal.

“Impak mengakibatkan kerosakan terhadap bilik enjin dan kecederaan anak kapal,” menurut Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom di X. “Anak kapal lain kini mendapat bantuan pengawal pantai Oman.”

Pada Isnin, Trump berkata pihak berkuasa Iran “mahu mencapai persetujuan, tetapi bukan jenis persetujuan yang saya rasa diperlukan,” sebelum sekali lagi mengulangi tuntutannya bahawa “Iran tidak boleh memiliki senjata nuklear”.

Trump mengancam mengebom Oman sekiranya negara itu “menghalang” perjanjian AS dengan Tehran mengenai Selat Hormuz, selain menggesa Iran menyerah kalah.

“Jika Oman menganggu, kita akan mengebom mereka dengan teruk,” katanya kepada Fox News pada Isnin, merujuk kepada rundingan yang sedang berlangsung antara Oman dan Iran mengenai kawalan selat berkenaan, dalam pada Washington turut menjalankan rundingan.

Tehran dan Muscat mengadakan perbincangan sejak beberapa minggu lalu mengenai laluan perkapalan itu, dengan kementerian luar Tehran menyatakan dua pihak berkenaan sedang berusaha ke arah deklarasi bersama.

Tiada ulasan: