"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rangka manusia ditemui dalam tong air

Farhana Yaacob
RANGKA manusia ditemui dalam tong air di kawasan kolam tadahan air Empangan Durian Tunggal. FOTO NSTP
ALOR GAJAH: Misteri tong biru di tepi Empangan Durian Tunggal, Jalan Machap Baharu, di sini, terbongkar selepas polis menemukan rangka dipercayai manusia, tengah hari tadi.

Tong itu ditutup dengan simen, manakala rangka terbabit dianggarkan sudah berada di dalamnya sekurang-kurangnya tiga minggu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, tong biru berkenaan ditemukan tiga pemancing berusia antara 25 hingga 35 tahun kira-kira jam 11.40 pagi ketika berada di kawasan empangan berkenaan.

Katanya, mereka yang curiga dengan tong itu kemudian memotong sedikit bahagian atas sebelum melihat sesuatu yang dipercayai tulang manusia dan terus menghubungi polis.

“Susulan laporan polis yang dibuat pemancing lebih kurang jam 12 tengah hari, kita tiba di lokasi dan membuat pemeriksaan secara fizikal bersama pasukan Forensik Polis.

“Daripada siasatan awal, apa yang kita lihat di dalam tong itu ialah rangka atau tulang yang dipercayai manusia,” katanya di sini, hari ini.

Ahmad berkata, kedudukan tong kira-kira 15 meter dari jalan menyebabkan polis meminta bantuan pasukan bomba untuk mengangkatnya sebelum dibawa ke Hospital Melaka bagi pemeriksaan lanjut.

Katanya, rangka itu dipercayai sudah berada di dalam tong berkenaan sekurang- kurangnya tiga minggu berdasarkan keadaan tulang yang sudah terlerai dan masih terdapat tisu yang melekat.

Beliau berkata, pemeriksaan fizikal mendapati bahagian tengkorak antara yang dapat dilihat, manakala bahagian lain akan dikenal pasti menerusi pemeriksaan forensik dan bedah siasat.

“Pemeriksaan awal turut mendapati terdapat simen pada bahagian atas tong yang dipercayai digunakan sebagai penutup,” katanya.

Beliau berkata, simen itu mungkin terlucut daripada penutup asal dan menyebabkan air masuk ke dalam tong, sekali gus mempercepat proses pereputan.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan belum ada sebarang tangkapan dibuat.

Tiada ulasan: