Harapandaily
Penyatuan Pas dan Umno masih berdepan halangan apabila kedua-dua parti belum mencapai kesepakatan sepenuhnya, termasuk dalam kalangan pemimpin Pas sendiri.
Bekas Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marsuki mengakui perkara tersebut menerusi artikelnya bertajuk Muafakat Yang Tertangguh (Siri 1) yang membincangkan sejarah, pengaruh dan cabaran penyatuan politik antara kedua-dua parti.
Menurut Zuhdi, gagasan pemuafakatan politik Bumiputera-Islam telah dicetuskan oleh Majlis Syura Ulama Pas selepas Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 2008, khususnya melalui peranan Allahyarham Datuk Dr Haron Din yang ketika itu merupakan Timbalan Mursyidul Am Pas.
Beliau menjelaskan bahawa usaha tersebut menghadapi tentangan besar sehingga membawa kepada perpecahan Pas selepas Muktamar ke-61 di Kuala Selangor pada 2015, yang menyaksikan sebahagian pemimpin dan anggotanya meninggalkan parti sebelum menubuhkan Parti Amanah Negara (AMANAH).
Zuhdi berkata, walaupun kelompok yang menentang gagasan pemuafakatan itu telah meninggalkan Pas, cabaran untuk menyatukan parti-parti Bumiputera-Islam masih berterusan sehingga kini.
Perbezaan pendirian
Malah, beliau secara jelas mengakui bahawa parti-parti yang terlibat masih menghadapi perbezaan pendirian, manakala dalam Pas sendiri belum wujud kesepakatan sepenuhnya mengenai gagasan penyatuan tersebut.
“Cabaran ini diyakini akan terus mendatang sama ada dari luar ataupun dalam di masa hadapan,” katanya sambil menegaskan bahawa usaha membentuk pemuafakatan politik berkenaan bukan sesuatu yang mudah.
Dalam masa sama, Zuhdi berpendapat kerjasama Pas dan Umno telah membuktikan pengaruh politiknya melalui kemenangan beberapa pilihan raya kecil selepas PRU14, selain mengaitkan pemuafakatan tersebut dengan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2020.
Beliau turut melihat perkembangan selepas PRN Johor, Negeri Sembilan dan Melaka sebagai bukti pengaruh kerjasama politik Bumiputera-Islam dalam mencorakkan hala tuju politik negara.
Mengulas kedudukan politik Bumiputera-Islam, Zuhdi berpandangan golongan tersebut mempunyai pengaruh dominan dalam politik Malaysia sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1957 dan pembentukan Malaysia pada 1963.
Menurutnya, walaupun komposisi penduduk Bumiputera-Islam pada peringkat awal hanya sedikit melebihi kelompok lain, penguasaan kerusi Parlimen oleh golongan berkenaan sudah membentuk majoriti yang selesa.
Beliau mendakwa komposisi Bumiputera-Islam kini hampir mencecah 65 peratus daripada keseluruhan penduduk negara, sekali gus memberikan pengaruh politik yang semakin besar, selain disokong peningkatan pemilikan kerusi Parlimen.
Zuhdi turut berhujah bahawa pengaruh politik Bumiputera-Islam selari dengan sejarah rantau ini dan kedudukan Raja-raja Melayu, sambil berpandangan suara kaum lain tetap perlu diiktiraf dalam menentukan hala tuju serta kestabilan politik Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan