"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Analisis segera: 5 faktor kekalahan PAS di S'wak

Persoalan utama yang ditimbulkan berhubung peluang PAS dalam pilihan raya negeri Sarawak sebelum ini adalah berkaitan dengan pemahaman parti itu ke atas kehendak masyarakat Melayu di negeri tersebut.

Namun, beberapa kelemahan lain dapat diperhatikan dalam kempennya sehingga PAS tewas di kesemua lima kerusi yang dipertandingkannya hari ini.

Kelemahan jentera

Jentera kempen yang rata-rata diketuai daripada PAS di negeri-negeri semenanjung gagal memahami pengundi setempat. Di kawasan luar bandar, sambutan baik daripada pengundi yang ditemui disalahtanggap sebagai menyokong parti Islam itu. Sedangkan masyarakat bersikap sama kepada setiap parti.

Kempen lambat

Kempen lambat dimulakan, termasuk pemilihan calon yang dijalankan di saat-saat akhir. Difahamkan keputusan memilih calon harapan utamanya Abang Ahmad Kerdee Ahmad Abang Masagus sendiri dibuat pada malam terakhir sebelum penamaan calon pada keesokan harinya.

Sementara itu walaupun parti Islam itu telah bertapak sejak hampir sepuluh tahun, ia asalnya lebih mirip kepada gerakan dakwah dan bukannya politik.

Terlalu yakin

Pada hari penamaan calon, melihat sambutan pada Ahmad Kerdee yang seolah-olah bintang filem, PAS dilihat agak memandang rendah pada kemampuan BN.

Mungkin juga disebabkan laporan akhbar dan cakap-cakap berlakunya pergolakan dalaman BN antara penyokong penyandang ADUN Bolhassan menyebabkan PAS mengambil mudah lawannya.

BN terlalu kuat buat PAS

Tiga kawasan baru yang ditandingi PAS kali ini merupakan kubu kuat BN yang memenangi kawasan itu dengan majoriti antara 2,000 hingga lebih 4,000 undi.

Angka itu dilihat amat sukar dikejar, tambahan lagi melawan BN yang memerintah dengan majoriti besar dalam DUN sejak tahun 1963 lagi apabila negeri itu merdeka bersama Malaysia.

Cubaan PAS di Beting Maro dan Sadong Jaya sebelum ini juga tidak berjaya dan hanya meraih tidak sampai 900 undi.

Kesetiaan Melayu

Sejak awal lagi, masyarakat Melayu di Sarawak dilihat amat setia pada BN dan kepimpinan Tan Sri Taib Mahmud.

Dalam masa yang sama, calon ketua menteri Pakatan Baru Bian - seorang Dayak - dilihat menakutkan masyarakat Melayu.
-malaysiakini-

Pegawai kanan bergelar Datuk ditangkap khalwat

Seorang pegawai kanan sebuah kementerian bergelar 'Datuk' ditangkap awal hari ini selepas dipercayai berkhalwat.

Para pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) bersama seorang anggota polis menyerbu sebuah hotel mewah di Batu Ferringhi pada kira-kira pukul 4 pagi dan mendapati lelaki berumur 51 tahun itu bersama pasangannya, 28, yang juga bekerja di kementerian yang sama, dalam sebuah bilik.

Kedua-dua mereka dibawa ke Balai Polis Batu Feringghi sebelum keterangan mereka diambil mengikut Seksyen 29 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996.

Pengarah JHEAIPP Sazali Hussein ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu.
-malaysiakini-

PAS hormati keputusan rakyat

Aziz Muda
KUCHING, 16 April: PAS menghormati keputusan yang telah diumumkan dan akur dengan keputusan itu, walaupun gagal untuk memenangi sebarang kerusi pada PRN Sarawak Ke-10 tahun ini, termasuk di kawasan-kawasan yang dijangka akan melahirkan anak sulungnya.

Namun PAS sedar dan berbangga dengan pencapaian yang telah diperolehi yang jelas memperlihatkan peningkatan sokongan rakyat Sarawak secara keseluruhan terhadap PAS, sekali gus memberikan petanda masa depan PAS yang cukup baik di Sarawak.

Timbalan Presiden PAS yang juga Pengarah pilihan raya ini, Ustaz Nasharudin Mat Isa berkata, peningkatan baik yang diterima oleh PAS amat ketara di Dun Beting Maro yang terletak dalam kawasan Parlimen Batang Lupar, apabila hanya kalah dengan majoriti sekitar 400 undi kepada BN, berbanding PRN Sarawak tahun 2006 sebanyak 800 undi.

Menurut beliau, begitu juga di Dun Tanjung Datu yang terletak dalam kawasan Parlimen Santubung dan Dun Muara Tuang yang terletak dalam kawasan Parlimen Kota Samarahan yang baru pertama kali ditandingi, tetapi turut memperlihatkan sokongan yang amat baik di kalangan pengundi di kawasan itu terhadap PAS.

Katanya, namun PAS amat kesal dengan laporan dan analisis yang dibuat oleh Astro Awani awal malam ini yang amat jauh menyimpang dari kebenaran dengan mengatakan PAS mengalami kekalahan sebanyak 2,000 undi di Beting Maro.

"Laporan dan analisis Astro Awani itu ternyata tak betul. Malah sebenarnya sokongan para pengundi di Beting Maro terhadap PAS ternyata semakin meningkat sehingga hanya kalah dengan majoriti undi yang amat kecil sebanyak 391 undi sahaja," katanya ketika dihubungi, malam ini.

Walaupun kalah bagi kesemua kawasan yang ditandingi, menurut beliau, perkembangan dari PRN Sarawak Ke-10 ternyata semakin memberikan sinar kepada PAS untuk menempa kejayaan lebih gemilang pada masa akan datang.

"Dengan perkembangan yang baik ini, PAS tidak akan patah semangat untuk melakukan gerak kerja yang lebih baik di Sarawak sama ada dari sudut politik dan sudut-sudut lain.

"Malah, PAS pasti akan berusaha untuk mempertingkatkan lagi usaha di Sarawak dari semasa ke semasa bagi menghadapi pilihanraya akan datang demi kepentingan rakyat Sarawak termasuk dalam politik dan bidang-bidang lain," tegasnya.

Beliau mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada para pengundi di Sarawak yang telah memilih PAS dalam pilihanraya tahun ini.

"Jutaan terima kasih juga saya ucapkan kepada jentera PAS di semua peringkat, sama ada dari kalangan jentera tempatan dan juga jentera-jentera PAS dari luar, yang telah bertungkus lumus berusaha membantu PAS untuk mencapai kemenangan sejak awal kempen hingga hari pengundian.

"Inilah semangat yang PAS mahu dan inilah semangat yang cukup baik yang telah ditunjukkan oleh jentera-jentera PAS dari semua peringkat termasuk dari kalangan jentera tempatan dan jentera-jentera PAS dari luar Sarawak," tegasnya.