"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

NILAI SAMAN RAIS HANYA 1 SEN?

MUTALIB M.D
DAKWAAN Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Rais Yatim membuat ‘substitute servis’ kerana gagal menemui saya untuk menyerahkan saman peribadi adalah satu ‘pembohongan’ di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Amelia Tee Hong Geok Abdullah dan sekaligus menghina mahkamah.

Rais sedia maklum bahawa saya akan menghadiri Persidangan Blogger Malaysia-Asean di Kuala Lumpur pada 23 hingga 25 April 2011 di Kuala Lumpur, namun beliau mencari publisiti murahan dan enggan menghadiri Persidangan berkenaan sekalipun beliau adalah menteri yang bertanggung jawab terhadap warga ‘blogger’; sedangkan majlis berkenaan dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak.

Berita kehadiran saya telah dimuatkan dalam blog Rocky Bru dan juga Sabahkini.net yang sering dipantau 24 jam oleh Rais dan kuncu-kuncunya, tetapi Rais mengelak untuk berhadapan dengan saya dan musuh ketatnya, Rocky Bru @ Datuk Ahiruddin Atan (Penasihat Blog House Malaysia selaku penganjur persidangan berkenaan).
HADIR...Saya berdiri di belakang Perdana Menteri, mustahil Peguam atau Rais tidak nampak saya untuk menyampaikan saman berkenaan?
Blogger seluruh dunia mengutuk Rais kerana enggan menghadiri Persidangan Blogger Malaysia-Asean yang julung kalinya diadakan di Malaysia sedangkan 300 blogger menghadiri persidangan berkenaan menunggu kehadiran beliau kerana kes saya mendapat liputan meluas media.

Memandangkan saya tidak menerima saman secara peribadi dan ‘substitute service’ tidak dimaklumkan kepada saya; sedangkan sebelum ini peguamnya telah menghantar salinan saman melalui email, maka saya tidak menghadiri perbicaraan berkenaan kelmarin.

Sebaliknya Rais telah menggunakan media dengan mengumpan ‘envelop journalist’ untuk menyiarkan berita tersebut dengan menggembar gemburkan akan memasuki penghakiman terhadap saya jika saya tidak hadir, tetapi Pesuruhjaya Kehakiman, Amelia Tee Hong Geok Abdullah menetapkan 23 Mei 2011 untuk pengurusan kes tersebut.

Setelah berbincang dengan Peguam, saya berpendirian tidak akan melayan saman Rais kerana pihaknya telah dibuat melalui ‘subtitute service’ secara salah sedangkan mereka boleh menemui saya di mana-mana dan pada bila-bila masa untuk menyampaikan saman berkenaan; termasuk pada hari Persidangan Blogger Malaysia-Asean di Kuala Lumpur.

Jika perlu, peguam saya akan memfailkan permohonan untuk mengenepikan saman pemula yang difailkan Rais melalui peguamnya, Norhani Nordin kerana kesnya masih dalam siasatan polis dan tindakan Rais menyaman saya dibimbangi subjudis kepada siasatan polis.

Memandangkan kes yang dihadapi Rais adalah kes jenayah iaitu Seksyen 376, Kanun Keseksaan, maka saya hanya akan melayan saman Rais jika Peguam Negara mengatakan hasil daripada siasatan polis, ekoran laporan yang dibuat Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) sebagai ‘No Case To Answer’ atau ‘No Further Action’; barulah akan berhadapan dengan Rais di mahkamah.

Tindakan Rais meremehkan proses mahkamah dan mengganggu siasatan polis menunjukkan beliau cuba mengalih perhatian dunia terhadapnya dengan menuding jari terhadap saya kononnya memfitnah beliau secara ‘solo’ dan bukannya Migrant Care, Tenaganita atau Rocky Bru.

Bagi saya, sama ada Rais berjaya dalam permohonannya untuk memasuki kehakiman di Mahkamah Tinggi pada 23 Mei kelak, tidak penting kerana bagi saya nilai Menteri ini hanya 1 Sen dan nilai itulah yang akan saya bayar kepada beliau jika beliau berjaya dalam permohonan liciknya kelak.

Walaupun syiling 1 sen tidak lagi laku di pasaran selepas 1 April 2008, namun nilainya masih diperakui Bank Negara kerana masih terdapat lebih 4.5 bilion keping wang syiling satu sen di pasaran.

Saya tertarik dengan kenyataan Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Mohd. Nor Mashor yang berkata, pemansuhan penggunaan wang syiling 1 sen dapat menjimatkan wang kerajaan sehingga RM14 juta setahun kerana kerajaan terpaksa menanggung kos sebanyak 4.2 sen bagi mengeluarkan sekeping syiling satu sen.

Oleh itu amat wajar bagi Rais menerima wang hadiah 1 Sen daripada saya jika beliau berjaya memasuki kehakiman kerana itulah taraf beliau sebagai ‘Menteri Kabinet’ yang meletakkan undang-undang ditangan sendiri dan menjadikan Mahkamah sebagai alat untuk melampiaskan ‘nafsu kabasi’ demi menyelamatkan kedudukannya sebagai menteri yang dituduh melakukan jenayah merogol amahnya empat tahun lalu.

Namun saya memuji tindakan Rais jika beliau sanggup melakukan ‘Sumpah Laknat’ bahawa beliau tidak merogol amahnya, Robengah; kerana trend berkenaan telah diterima secara meluas masyarakat Jahiliyah di Malaysia!

Sekolah mana Hishammuddin belajar DAP ganti PAS

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 8 Mei: PAS berpandangan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, seorang pembohong kerana mendakwa DAP menggantikan PAS.

Ketua Penrangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata Hishammuddin rungsing dengan penerimaan rakyat bahawa Umno wajib diganti dengan PAS, maka jalan keluarnya ia memfitnah bahawa DAP ganti PAS supaya orang Islam menjauhkan diri dengan PAS.

Katanya, Hishammuddin berbohong ketika merasmikan Mesyuarat Agung Umno Pasir Putih Kelantan.

Jelasnya, realiti yang berlaku ialah MCA, MIC, Gerakan ganti Umno.

Contohnya, kata beliau Umno memberi kerusi parlimen Grik, Perak kepada Gerakan ketika pilihanraya 2008, walaupun pengundi Melayu hampir 65 peratus.

Beliau berkata, bagaimana seorang Naib Presiden Umno yang berucap dengan penuh amarah dan dengki tentang kemaraan PAS.

“Sekolah mana beliau belajar sampai tidak tahu beza PAS dengan DAP. Bagaimana DAP hendak mengganti PAS, sedangkan DAP hanya bertanding di kawasan majoriti orang bukan Melayu, sama ada DAP melawan MCA, Gerakan, MIC,” katanya.

Katanya lagi, realiti yang berlaku ialah PAS lawan Umno, kalau Umno kalah, PAS yang menang.

“Sekolah mana beliau belajar, Umno kalah dengan PAS, maka yang menang ialah DAP?” soalnya.

Justeru, katanya PAS mengharapkan Hishammuddin jangan nyanyuk sebelum sampai usia nyanyuk.

“Kalau nyanyuk hilang kelayakan hendak bertanding Timbalan Presiden Umno pula,” ujarnya.

Utusan makin melampau

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 7 Mei: PAS menggesa pihak keselamatan untuk bertindak terhadap laporan akhbar pro Umno, Utusan Malaysia yang mendakwa pemimpin-pemimpin Kristian berkonspirasi dengan DAP untuk mengambil alih Putrajaya dan menggugurkan status Islam sebagai agama rasmi negara kerana laporan tersebut langsung tiada logik dan tidak berasas.

“Dengan segala kekuatan DAP sahaja, ia adalah mustahil untuk melakukan dakwaan tersebut kerana jumlah ahli Parlimen mereka tidak mencukupi, bahkan atas nama Pakatan Rakyat sekalipun, tak mungkin PAS dan PKR akan bersetuju, lagi-lagi DAP pun tidak akan mencadangkan usul yang cukup tidak logik tersebut.

“Sehubungan itu, pihak keselamatan harus bertindak ke atas laporan yang diberi berdasarkan makluman tidak benar dan tidak logik ini,” gesa Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataannya ke Harakahdaily hari ini.

Laporan muka depan Utusan Malaysia hari bertajuk “Kristian agama rasmi?” ditulis berdasarkan tulisan dibawa beberapa blogger pro-Umno yang menuduh DAP menghasut dengan cuba meminda undang-undang negara untuk menjadikan mereka yang beragama Kristian menjadi perdana menteri, dengan menunjukkan gambar berbintik-bintik yang didakwa mereka sebagai pakatan rahsia antara DAP dan pastor-pastor di sebuah hotel di Pulau Pinang, Rabu lalu.

Menjawab balas permainan Utusan Malaysia, Tuan Ibrahim menyifatkan laporan tersebut tidak logik kerana sebarang dasar negara memerlukan persetujuan majoriti dalam parlimen yang terdiri daripada ahli parlimen yang majoritinya Islam.

“Pindaan dasar negara bukan boleh dibuat dalam mesyuarat di hotel atau dalam majlis tertutup. Sebarang pindaan perlembagaan tentu akan dibincangkan di parlimen, dan kalaulah ini terjadi, apakah wakil rakyat yang majoritinya beragama Islam akan bersepakat dan bersetuju dengan pindaan tersebut?

“Sudah tentu tidak. Lebih-lebih lagi, Pakatan Rakyat sudah awal-awal lagi mengisytiharkan bahawa kita akan mendokong sepenuhnya Perlembagaan Malaysia, lebih-lebih lagi Islam sebagai agama rasmi negara,” terang beliau, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Lantaran itu, Tuan Ibrahim mengingatkan akhbar-akhbar dan media supaya lebih bertanggungjawab dan jangan memainkan sentimen rakyat yang boleh menimbulkan ancaman kepada kestabilan negara semata-mata untuk kepentingan politik.

PAS, katanya kini melihat Utusan Malaysia menjadi semakin melampau dalam pemberitaan mereka kerana ‘kebebasan suara’ double standard kerajaan yang memberikannya kebebasan untuk membuat apa sahaja kerana ianya milik Umno.

“Bayangkan kalau akhbar Harakah ataupun Roket yang menyiarkan berita sensitif seperti itu, tentu mereka dikenakan denda dan ditarik permit segera. Tindakan double standard inilah yang menyebabkan media milik parti pemerintah semakin biadab dan semakin berani secara terang-terangan menyiarkan pelbagai perkara yang bercanggah dengan peraturan seperti klip seks video dan perkara-perkara perkaumanan,” bidas Tuan Ibrahim.

Jikalau diikutkan peraturan tegas yang dikenakan terhadap media alternatif, Tuan Ibrahim berkata sepatutnya permit akhbar Utusan Malaysia sudah ditarik balik oleh Kementerian Dalam Negeri kerana seringkali memainkan sentimen perkauman dan agama yang mencetuskan amarah rakyat berbilang kaum.

“Sebelum ini, akhbar inilah yang memainkan isu 1Melayu, 1Bumi, isu kritikan kepada raja-raja Melayu satu masa dahulu dan pelbagai isu yang bertentangan dengan kebenaran permit yg dikeluarkan.

Sehubungan itu, PAS menggesa agar kerajaan menarik balik permit akhbar Utusan Malaysia.

“Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Hishamuddin Hussein) seharusnya merasa malu sekiranya gagal bertindak dan fenomena ini seandainya tidak dibendung, ianya tidak mustahil menyemarakkan api permusuhan antrara agama dan kaum,” tegas Tuan Ibrahim.