"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hasan Ali belanja RM300k ubah suai pejabat - Azmin Ali

NONEBekas exco kerajaan negeri Datuk Hasan Ali didakwa membazirkan ratusan ribu ketika memegang jawatan khususnya ketika mengubahsuai pejabatnya, kata ADUN PKR bagi kerusi Bukit Antarabangsa Azmin Ali pada sidang dewan undangan negeri Selangor hari ini.
 
Semasa perbahasan titah diraja, Azmin berkata bekas exco yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama Islam, adat Melayu, infrastruktur dan kemudahan awam telah membelanjakan RM300,000 untuk pengubahsuaian pejabat beliau.

"Beliau juga membelanjakan RM550,000 untuk menganjurkan persidangan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor. Wang itu lebih baik disalurkan kepada rakyat," katanya.

Azmin, yang juga timbalan presiden PKR, juga membidas Hasan kerana didakwa membelakangkan dasar tender terbuka negeri ketika menganugerahkan sub-kontrak penyelenggaraan jalan.

Pengawal keselamatan dakwa diserang anak menteri

Anak Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Abdul Aziz didakwa menyerang seorang penyelia keselamatan di sebuah kondominium mewah di Mount Kiara pada malam Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Polis Brickfields, Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid ketika dihubungi hari ini mengesahkan bahawa dua laporan polis berkaitan dengan kejadian itu telah dibuat.

"Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana terbabit dengan pergaduhan," katanya, yang keberatan memberikan butiran lanjut kes itu.

Seorang jurucakap pengurusan kondominium itu mengesahkan bahawa terdapat perbalahan kecil antara anggota keselamatan dan tetamu bangunan itu. Beliau enggan mengulas lanjut dan berkata butiran kejadian perlu dirujuk kepada polis.

Menurut sumber, kejadian berkenaan sempat dirakamkan melalui kamera CCTV.
Mohamad Nedim Mohd Nazri Aziz
Pengurusan kondominium itu juga dikatakan sedang menghadapi tekanan supaya ‘menutup’ kejadian itu kerana firma-firma keselamatan bergantung kepada kelulusan kerajaan persekutuan untuk memperbaharui lesen operasi mereka.

Pada kejadian itu, anak menteri berkenaan Mohamad Nedim Mohd Nazri Aziz, yang memandu kereta sport Porsche ke kondominium teresebut. Beliau diikuti oleh pengawal keselamatnnya yang memandu sebuah MPV mewah.

Pengawal peribadi itu dilaporkan turun dari kenderaannya untuk mendaftar butir-butir peribadi bagi tetamu yang melawat bangunan itu tetapi pengawal kondominium berkeras bahawa kedua-dua pemandu mesti berbuat demikian secara berasingan.

Ini menyebabkan pertengkaran hangat dan penyelia keselamatan dipanggil bagi menyelesaikan masalah itu tetapi perkara sebaliknya berlaku.

Ibu tikam bayi baru lahir, buang dalam semak

bayi ditikamJAKARTA: Seorang ibu tidak berhati perut di Jawa Barat ditahan, kelmarin kerana cuba membunuh anaknya, yang lahir minggu lalu, dengan menikam dan meninggalkan bayi itu dalam semak.
 
Siti Sundari, 18, dipercayai melahirkan bayi lelaki di bilik sewa di Cikeas Udik, Bogor, Jumaat lalu.

"Gara-gara malu melahirkan anak tidak sah taraf, suspek telah bertindak di luar kawalan dan berniat untuk membunuhnya," kata ketua detektif balai polis Gunung Putri, Donggor Panjaitan.

Menurutnya lagi, tangisan kuat bayi berumur tiga hari itu menyebabkan penduduk sekitar kawasan tersebut menemuinya dalam keadaan menyedihkan dengan kesan luka sepanjang 11.5 sentimeter di belakang tubuhnya pada malam Isnin lalu.

Semasa soal siasat oleh polis, Siti mengaku dia melakukan tindakan kejam tersebut kerana tidak mampu untuk membesarkan anaknya.

Dalam perkembangan terbaru, jururawat di Hospital Besar Cibinong menyatakan bayi seberat 2.17 kilogram itu kini semakin sembuh walaupun luka tersebut nyaris meragut nyawanya.

Sementara itu, ibunya telah dihantar ke Hospital Kramat Jati di Jakarta Timur untuk menjalani ujian psikiatri.