"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Negara Palestin berakhir selepas Trump menang

BAITULMAQDIS - PALESTIN. Menteri Pendidikan Israel, Naftali Bennett mendakwa, idea penubuhan sebuah negara Palestin berakhir selepas Donald Trump dipilih menjadi Presiden Amerika Syarikat (AS).

"Kemenangan Trump adalah peluang untuk Israel dengan segera menarik balik penubuhan negara Palestin di tengah negara itu yang akan menjejaskan keselamatan," kata Bennet, anggota parti pelampau, Jewish Home.

"Ini adalah pendirian presiden yang dipilih. Era sebuah negara Palestin berakhir," katanya dipetik AFP.

Sementara itu, Menteri Kehakiman, Ayelet Shaked yang juga dari parti Jewish Home, meminta Trump mengotakan janjinya untuk mengubah kedutaan AS di Tel Aviv ke Baltulmaqdis, bertentangan dengan dasar pendirian Parti Republikan dan Parti Demokrat.

Timbalan Menteri Luar, Tzipi Hotevely turut menyeru perpindahan kedutaan itu.

Bagaimanapun tiada sebarang maklum balas dari Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

Perdana Menteri mencetuskan kontroversi apabila dia menolak sebuah negara Palestin menjelang pilihan raya umum 2015, tetapi kemudian menarik balik dan telah menyatakan sokongan untuk penyelesaian dua negara.

Status Baltulmaqdis adalah salah satu isu yang paling sukar dalam konflik Israel-Palestin.

Rakyat Palestin memperjuangkan Baitulmaqdis timur sebagai ibu negara masa depan mereka, manakala Israel mendakwa bandar itu sebagai ibu negaranya.

Sebelum ini, Trump telah berjanji untuk mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.
-sinarharian

Gambar bogel isteri Timbalan Menteri cetus kontroversi

Gambar-gambar yang memaparkan isteri kepada Timbalan Menteri Pertahanan Rusia, Svetlana Zakharova dalam keadaan bogel ketika sedang bercuti, telah mencetuskan bantahan dengan ramai yang mendesak supaya wanita itu diberikan teguran secara rasmi oleh kerajaan.

Dalam gambar berkenaan, Svetlana yang berasal dari Moscow, telah dirakamkan bersandar di tepi pokok dan berada di pantai, dalam keadaan menjolok mata.

Pemilik butik berusia 45 tahun itu, berkahwin dengan Timbalan Menteri Pertahanan Rusia, Timur Ivanov, yang muda empat tahun daripadanya. Timur dilantik ke jawatan berkenaan awal tahun ini.

Salah seorang netizen yang mengecam Svetlana berkata: “Sekurang-kurangnya anggota tentera tahu bahawa kemewahan itu dibayar dengan nyawa mereka di Syria Donbass (Ukraine).”

Salah seorang Ahli Parlimen, Vasily Vlasov pula meminta supaya kerajaan Vladimir Putin memberikan ingatan kepada Timur berhubung gambar isterinya itu.

“Dia perlu diberikan peringatan, dihukum. Saya rasa peringatan secara terbuka lebih baik,’’ kata Vasily.

Beliau turut meminta Menteri Pertahanan supaya memberikan perhatian terhadap apa yang dilakukan oleh isteri timbalannya, sebagai mana yang perlu dilakukan oleh seorang ketua.

“Isteri kepada golongan atasan ini perlu ingat bahawa ramai yang mengikuti kehidupan mereka dalam media sosial.

“Apa-apa gambar boleh bocor, termasuk di parti hari jadi atau percutian,’’ katanya.
-kualalumpurpost

Jangan bincang siapa bakal PM dalam Konvensyen Pakatan Harapan

MALAYSIA DATELINE
Konvensyen Pakatan Harapan yang akan berlangsung pada 12 November ini harus mengenepikan persoalan siapa bakal perdana menteri jika menang dalam pilihan raya umum ke-14 nanti.

Penulis buku politik, Mohd Sayuti Omar atau lebih dikenali sebagai MSO, Pakatan Harapan - Amanah, PKR dan DAP  serta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)  harus bersetuju menjadikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri seperti dipersetujui sewaktu penubuhan Pakatan harapan tahun lalu.

"Jangan ada mana-mana parti cuba meletak atau menamakan sesiapa dari kalangan mereka sebagai bakal PM, kerana tindakan itu sudah tentu ia akan menimbulkan persoalan sesama sendiri dan akhirnya isu siapa PM itu akan dijadikan isu oleh Umno BN. Berbalahlah dan carilah siapa untuk jadi PM selepas menang, bukan sebelum pertarungan," tulisnya dalam blognya Merah Tinta MSO hari ini.

Pemerhati politik itu juga menegaskan, konvensyen itu juga harus membuat persetujuan untuk menggunakan satu lambang sahaja dalam PRU akan datang bagi menghadapi BN secara satu lawan satu.

"Jika timbul masalah untuk mendapat kelulusan ROS, parti-parti pembangkang perlu bersetuju menerima pakai salah satu lambang dari parti gabungan itu sebagai lambang bersama," katanya.

Selain itu beliau mencadangkan konvensyen agar mengambil persetujuan untuk merangka satu manifesto bersama antara parti-parti pembangkang, tidak ada manifesto lampiran atau khusus untuk mana-mana puak atau golongan.

Beliau juga mengingatkan keempat-empat parti agar mencari formula pembahagian kerusi di antara parti-parti pembangkang dan mengelakkan perebutan calon agar tidak bertembung sesama sendiri.

"Mengenai kerusi ini ia perlu dimuktamadkan awal. Selepas dimuktamadkan semua pihak kena akur dan bekerjasama dan menganggap yang bertandingkan itu adalah parti mereka," katanya lagi.

Beliau juga berkata, konvensyen harus dengan jelas menyatakan sikap menolak terhadap Pas agar ia tidak menjadi persoalan menyerabutkan dalam kalangan ahli parti pembangkang.

"Cara itu juga ia akan menutupkan percakapan dan dolak dalih Pas yang berbagai-bagainya itu," ujarnya.

Konvensyen Pakatan Harapan buat pertama kali ini akan diadakan di Shah Alam pada Sabtu ini.