"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Drama dalam tandas, penagih tergamak jadikan anak saudara 7 tahun tebusan

Drama dalam tandas, penagih tergamak jadikan anak saudara 7 tahun tebusan
SUSPEK yang berusia 34 tahun itu berjaya ditahan polis setelah enam jam jadikan anak saudara perempuannya sebagai tebusan di dalam tandas rumah. -foto Astro AWANI
KULIM: Akibat ketagihan dadah, seorang lelaki tergamak bertindak menjadikan anak saudara perempuannya yang berusia tujuh tahun sebagai tebusan.

Drama pujuk-memujuk yang berlangsung selama lebih enam jam di dalam tandas sebuah rumah di Taman Serai Wangi, Padang Serai akhirnya selesai selepas lelaki berusia 34 tahun itu berjaya ditahan polis.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang Sabtu itu, suspek dikatakan pergi ke rumah kakaknya dengan menunggang motosikal jenis Honda EX5 dari Felda Ijok, Selama, Perak dipercayai untuk tujuan mendapatkan wang untuk membeli dadah.

Lelaki itu kemudiannya mengamuk apabila tidak mendapat wang dan pada waktu itu hanya tiga anak saudaranya termasuk mangsa, Wan Nur Ainul Darwisya Amri, 7, berada di rumah tersebut.

Abang tiri mangsa, Muhammad Fakhri Rozali, 18, yang baru pulang dari tempat kerja terkejut apabila bapa saudaranya itu datang ke rumah dan menyelongkar bekas abu rokok untuk mencari puntung rokok kerana ketagihan kuat ketika itu.

“Dia keluarkan pisau lalu menghunus pisau tersebut ke arah adik perempuan saya dan terus memaksa saya membeli rokok. Saya kemudiannya meminta wang daripadanya untuk membeli rokok tetapi dia tidak bagi.

“Kemudian dia ternampak wang di tangan adik saya dan merampas wang tersebut lalu sekali lagi menyuruh saya beli rokok di kedai.

“Selepas itu, saya mula bergaduh dengannya. Dia mula mencekik adik saya dan pergelutan berlaku. Dia tidak melepaskan adik perempuan saya dan masih memegang pisau serta mengugut mencederakannya," jelas Muhammad Fakhri.

Suspek kemudiannya melarikan diri bersama adiknya dan bersembunyi di dalam tandas rumah.

Hal tersebut menyebabkan Muhammad Fakhri bertindak menghubungi ibu bapanya.

Beliau bersyukur kerana adiknya berjaya diselamatkan selepas bapa saudaranya ditahan ketika mahu melarikan diri melalui pintu belakang dengan motosikal.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, polis dan ahli keluarga mangsa cuba memujuk suspek untuk melepaskan kanak-kanak perempuan itu tetapi tidak berjaya sehinga polis terpaksa menyelamatkan mangsa menggunakan kaedah fizikal.

Mangsa yang mengalami kecederaan pada leher dan belakang badan akibat torehan pisau suspek kini dirawat di Hospital Kulim.

Seorang anggota polis turut dilaporkan cedera akibat terkena pisau semasa bergelut dengan suspek.

Suspek direman selama 14 hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaaan membunuh.

Rasuah: Bekas ahli Parlimen Kota Tinggi mengaku tidak bersalah

Bernama
JOHOR BAHRU: Bekas anggota Parlimen Kota Tinggi, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas 2 pertuduhan menerima suapan wang tunai bernilai RM50,000 dan sebidang tanah daripada sebuah syarikat pencetakan pada 2013 dan 2014.

Bagaimanapun, ketika semua pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Kamaruddin Kamsun, tertuduh, 56, mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan.

Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa menerima deposit tunai berjumlah RM50,000 daripada Karya Hidayah Sdn Bhd melalui akaun Maybank miliknya pada 6 September 2013.

Kesalahan dilakukan di Malayan Banking Bhd cawangan Kluang, Jalan Dato Haji Hassan, dalam daerah Kluang, ketika tertuduh merupakan ahli Lembaga Pengarah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

Bagi pertuduhan kedua pula, Noor Ehsanuddin didakwa menerima sebidang tanah berkeluasan 0.142 hektar bernilai RM180,000 di Lot 5876, Mukim Kota Tinggi daripada syarikat sama.

Kesalahan dilakukan pada 23 Mac 2014 di Pejabat Tanah Daerah Kota Tinggi, Bangunan Sultan Iskandar, Aras 1, Jalan Lombong di Kota Tinggi ketika beliau masih seorang ahli Lembaga Pengarah Felda.

Noor Ehsanuddin didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan, iaitu dipenjara selama tempoh 2 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Khazrin Haffiz Khalil menawarkan ikat jamin sebanyak RM40,000 kepada tertuduh dan dipersetujui oleh pihak pembelaan.

Hakim menetapkan 27 Mac ini untuk kes disebut semula.
Tertuduh diwakili oleh peguam Datuk Thrichelvam dan Vincent Lawrence.

SPRM tahan bekas MP Johor kes rasuah RM230,000

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan seorang bekas anggota parlimen Johor bergelar 'Datuk' berhubung kes rasuah bernilai RM230,000.

Menurut sumber, anggota parlimen lelaki berusia 56 tahun itu yang juga bekas ahli lembaga pengarah Felda ditahan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya tengah hari tadi dan dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru esok.

"Difahamkan bekas anggota parlimen itu telah menggunakan jawatannya dalam Felda untuk mengesyorkan dan meluluskan pelantikan sebuah syarikat percetakan - di mana beliau disyaki mempunyai kepentingan - untuk penerbitan akhbar 1Suara di Felda daripada 2012 hingga 2015. Projek itu dianggar bernilai RM13 juta.

"Sebagai balasan, pada 2013 beliau menerima suapan wang bernilai RM50,000, dan pada 2014 menerima sebidang tanah di Kota Tinggi, Johor bernilai kira-kira RM180,000," katanya.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Azam Baki mengesahkan penahanan itu.

Beliau turut mengesahkan bekas anggota parlimen itu akan berdepan dua pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
-malaysiakini