"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dr M pelik PAS Kedah masih sokong Bersatu

Malaysiakini
Dr Mahathir Mohamad menyatakan rasa pelik apabila PAS masih menyokong kerajaan negeri yang diterajui Bersatu di Kedah.

Bekas perdana menteri itu berkata, PAS boleh menjadi kerajaan negeri tetapi masih memberi sokongan kepada pemimpin Bersatu.

"Di Kedah, (kerajaan negeri) masih kekal Bersatu, tapi yang pelik adalah PAS. Dia boleh jadi kerajaan (negeri), tapi setakat ini masih lagi beri sokongan kepada pemimpin daripada Bersatu.

"Saya tak tahulah berapa lama (sokongan kepada Bersatu) kerana PAS di Kedah ini pun akan kena tekanan daripada ibu pejabat PAS, kemudian boleh jadi (kerajaan negeri) berpecah," katanya seperti dilaporkan BH Online, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penerangan Isu Politik Semasa di Langkawi, malam tadi.

Dr Mahathir yang juga anggota parlimen Langkawi turut menyatakan kemungkinan pimpinan PAS Kedah akan menerima tekanan daripada pimpinan pusat parti berkenaan.

Sebagai rekod Kedah mempunyai 36 kerusi dewan undangan negeri (DUN) iaitu 15 kerusi PAS, PKR (7), Bersatu (6), Umno (2), Amanah (4) dan DAP (2).

Sementara itu mengulas mengenai kedudukannya dalam Bersatu, Dr Mahathir menjelaskan beliau masih pengerusi parti itu.

Namun beliau mengakui parti itu kini berpecah dua kumpulan yang menyokong presidennya Muhyiddin Yassin dan kumpulan yang tidak menyokong.

KERAJAAN TANPA IDENTITI, TANPA MANIFESTO DAN TANPA PERJUANGAN

Shahbudin Husin
Perikatan Nasional – itulah khabarnya nama gabungan yang memerintah kerajaan sekarang ini.

Nama baru ini merupakan perubahan daripada Pakatan Nasional, nama yang digunakan sebelum ini.

Pakatan Nasional atau PN adalah nama ciplakan hasil cantuman Pakatan Harapan dan Muafakat Nasional.

Oleh kerana nama Pakatan Nasional itu terlalu “direct” hasil cantuman Pakatan Harapan dengan Muafakat Nasional, maka ia kemudian ditukar kepada Perikatan Nasional.

Begitu pun, harus diakui munculnya nama tersebut adalah terlalu baru dan barangkali seiring dengan sempurnanya pengkhianatan yang berjaya meletakkan Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Walaupun demikian, Perikatan Nasional belum lagi merupakan sebuah gabungan yang sah dan berdaftar sebagaimana Pakatan Harapan atau Barisan Nasional misalnya.

Perikatan Nasional hanya merupakan nama sebutan yang dijaja yang menggabungkan kelompok Muhyiddin daripada Bersatu, puak Azmin Ali daripada PKR, UMNO, Pas dan juga GPS di Sarawak.

Tetapi, ia hanya ada pada nama saja. Selain masih tidak berdaftar, PN juga tidak ada carta organisasi, tiada struktur, tiada hala tuju perjuangan dan tiada manifesto untuk dinilai oleh rakyat.

PN juga tidak pernah dipilih rakyat melalui undi atau pilihanraya untuk menjadi kerajaan.

Siapa jadi Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan Setiausaha Agung pun belum ada susunannya.

Dan kerana itu, siapa yang bertanggungjawab dalam PN ini tidak diketahui dengan jelas orangnya.

Pendek kata, segala-gala tentang identiti PN ini adalah kabur, mungkin sekabur “video Haziq” di mata pihak polis dan Jabatan Peguam Negara.

Begitulah kedudukan PN ini sebenarnya, tetapi ia tetap merupakan sebuah kerajaan buat waktu ini.

Disebabnya ketiadaan banyak perkara itu, PN ini adalah sebuah gabungan kerajaan yang merbahaya kepada rakyat kerana siapa yang bertanggungjawab dan apa yang mahu dilakukannya langsung tidak jelas kepada kita semua.

Kalaulah PN tidak melakukan apa-apa sekali pun, tiada siapa boleh marah kerana tiada dokumen atau apa-apa bukti yang pernah mereka tunjukkan sebelum ini tentang apa yang mahu mereka lakukan untuk rakyat negara ini.

Oleh kerana perjuangan dan manifesto PN adalah kosong, tiada apa-apa yang rakyat boleh harapkan sebenarnya daripada gabungan kerajaan ini, walaupun tugas kerajaan adalah sebagai payung kepada rakyat.

Asas yang menjadikan semua pihak menggbungkan diri dalam PN ini pun, jika diperhati, tidak lebih semata-mata untuk mengejar jawatan, kedudukan serta menyelamatkan diri daripada pendakwaan yang sedang berjalan di mahkamah.

Maka, apakah rakyat mahu membiarkan PN ini menjadi kerajaan dalam tempoh yang lama?

Kecualilah, jika rakyat memang tidak mengharapkan apa-apa daripada kerajaan dan boleh hidup sendiri tanpa bantuan, malah seronok melihat muka-muka pengkhianat ini muncul di kaca tv setiap hari berlagak seperti pemimpin yang berkaliber dan ada visi, barangkali bolehlah PN ini dipertahankan mentadbir negara ini sekurang-kurangnya sehingga PRU15 akan datang.

Kalau tidak, menjelang sidang Parlimen pada 18 Mei depan pun tentunya sudah terlalu lama memberi peluang “petualang-petualang” ini memegang kuasa di bumi bertuah Malaysia ini. (ShahbudinHusin 06/03/2020)

Pensyarah UKM mengaku buat fitnah dan mohon maaf kepada Lim Guan Eng

MALAYSIA DATELINE
Seorang pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia Abdul Muein Abadi hari ini memohon maaf secara terbuka kepada Lim Guan Eng di atas pernyataan-pernyataan fitnah yang dilemparkan kepada Ahli Parlimen Bagan itu.

Pernyataan fitnahnya dibuat melalui artikel atau rencana yang telah dikarangkan oleh beliau dan diterbitkan melalui laman Facebooknya dan media social di bawah tajuk “Hubungan sulit DAP, Pengganas LTTE dan Zionist Israel”.

Selain meminta maaf, pensyarah itu juga telah membayar kos guaman yang ditanggung oleh bekas Menteri Kewangan itu.

Pernyataan maaf beliau seperti dibawah;

Saya, Abdul Muein Bin Abadi, seorang pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia, dengan ini mengambil kesempatan untuk memohon maaf kepada Y.B. Tuan Lim Guan Eng , dalam kapasiti peribadi beliau dan juga kapasiti rasmi beliau sebagai :

1. Menteri Kewangan Malaysia ;
2. Ahli Parlimen bagi kawasan Parlimen Bagan ; dan
3. Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang bagi kawasan Air Puteh

dan juga kepada parti Democratic Action Party [“DAP”]

atas pernyataan-pernyataan fitnah yang telah saya buat melalui artikel/rencana yang telah saya karangkan dan terbitkan melalui laman Facebook saya dan media social di bawah tajuk: “Hubungan sulit DAP, Pengganas LTTE dan Zionist Israel”.

Pernyataan maaf saya kepada Y.B. Tuan Lim Guan Eng dan parti DAP adalah tanpa sebarang syarat dan dengan penuh kekesalan.

Saya juga amat kesal dan kecewa atas sebarang kelukaan kepada perasaan Y.B. Tuan Lim Guan Eng dan ahli-ahli parti DAP yang diakibatkan oleh pernyataan-pernyataan tersebut.

Maka dengan itu, saya juga dengan penuh kerelaan dan tanpa sebarang syarat menarik balik keseluruhan rencana/artikel tersebut yang mana kandungannya saya akui adalah tidak berasas dan tidak benar langsung.

Dan akhirnya, saya umumkan bahawa saya telahpun membayar sejumlah RM3,500-00 sahaja sebagai kos guaman Y.B. Tuan Lim Guan Eng.