"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pas disuruh bantu Bob Lokman bukan minta derma untuk pendakwah

FAZLI RADZI

Langkah Jabatan Dakwah Pas Pusat melalui Sekretariat Tabung Khas Bantuan Pendakwah meminta derma bagi membantu pendakwah dilihat hanya menerima kritikan warganet.

Kenyataan sekretariat itu yang dikongsi Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Nasrudin Hassan di Facebook rasminya mengundang pertikaian dan sindiran orang ramai.

Paling ketara apabila Pas dipersoal dalam sejauhmana menghulurkn bantuan kepada penulis lirik Bob Lokman, 56, yang umum mengetahui merupakan penyokong parti itu.

“Kenapa Pas tak bantu Bob Lokman?” soal Ben Hamid merujuk kepada pelawak yang memerlukan wang untuk kos perubatan dan membeli alat kawal degupan jantung.

Bob Lokman dilapor diberi pilihan sama ada menjalani pembedahan atau berdepan dengan risiko kematian mengejut berikutan penyakit jantung yang dihidapi sejak lebih 20 tahun semakin kronik.

Pemilik kepada nama sebenar, Mohd Hakim Lokman itu berkata, beliau perlu menjalani prosedur untuk memasang alat Implantable Automatic Cardioverter Defibrilator (IADC) supaya degupan jantungnya dapat distabilkan.

Golongan sasaran

Ada juga membandingkan pendekatan dakwah Pas dengan pendakwah terkenal, Ebit Lew yang dianggap lebih menebarkan manfaat dan kebaikan.

Sehubungan itu, warganet berpendapat lebih baik menghulurkan sumbangan kepada Ustaz Ebit kerana sudah tentu bantuan itu sampai kepada golongan sasaran.

Rata-rata warganet mengingatkan kutipan derma di bawah Pas tidak ada audit sekali gus terdedah pada penyewengan.

Justeru, mereka mendesak Pas menghentikan tabiat mengutip derma dengan menyebutkan kembali dakwaan penyelewengan Tabung Memali.

Wang kutipan derma bagi tabung itu bagi membantu penyokong Pas yang terlibat dalam peristiwa Kampung Memali di Baling, Kedah pada 1985.

“Derma Tabung Memali pun dah hilang. Pi mana? Mana auditnya?” soal seorang warganet.

Tidak kurang yang menyindir Pas boleh sahaja meminta derma daripada Exco kerajaan negeri dan Adun di Kelantan yang menikmati kenaikan gaji pokok sekitar RM3,000 hingga RM5,000 sebulan.

Terdahulu, Sekretariat Tabung Khas Bantuan Pendakwah berkata, wang derma yang diterima pihaknya akan memanfaatkan dana sekurang-kurangnya kepada 500 pendakwah, guru agama dan asatizah.

Azmin dakwa idea penubuhan PN dari Mahathir

FAZLI RADZI

Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa idea penubuhan PN datang dari Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurutnya, penubuhan PN pada mulanya bertujuan untuk menjadikan Mahathir seorang perdana menteri yang disokong oleh semua Ahli Parlimen dari kedua-dua belah pihak.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, rancangan dibuat agar pilihan raya umum (PRU) diadakan pada Oktober tetapi tidak dapat dilaksanakan ekoran gelombang ketiga wabak Covid-19.

Beliau dalam masa sama menafikan dakwaan PN sebagai kerajaan pintu belakang.

Jelasnya, seperti dipetik wawancara khas menerusi The Star, terdapat kekosongan jawatan Perdana Menteri ketika itu.

“Saya tidak mencadangkan pada masa itu. Jika kejadian (Mahathir letak jawatan) tidak berlaku – di mana kami ketuk pintu untuk masuk ke dalam dan keluarkan dia.

“Itu bukan dalam rancangannya,” kata Azmin.

Beliau memberitahu sebelum Mahathir meletakkan jawatan secara mengejut pada 23 Februari lalu, satu akaun berkanun (SD) merangkumi 131 sokongan Ahli Parlimen daripada pelbagai parti disampaikan ke Istana Negara.

“Ia menamakan dengan satu nama untuk perdana menteri – Dr Mahathir.

“Kami berusaha sehabis mungkin untuk memastikan Mahathir dapat meneruskan sebagai Perdana Menteri,” akuinya lagi.

Azmin menjelaskan hasil mesyuarat yang diadakan di rumah Mahathir pada 23 Februari, jam 4 petang itu disertai enam ketua parti politik.

Dedah Azmin lagi, selain dirinya, lima pemimpin lagi ialah Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, Presiden Parti Warisan Sabah Mohd Shafie Apdal, Presiden Pas Abdul Hadi Awang dan ketua Gabungan Parti Sarawak (GPS) Abang Johari Openg.

Polis tahan datuk tiri campak cucu dari apartmen

Bernama

Seorang suspek lelaki warga Nigeria ditahan kerana dipercayai mencampakkan cucu lelaki tirinya dari tingkat tiga, di sebuah apartment di Danau Kota, Setapak, di Kuala Lumpur.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata suspek yang berusia 42 tahun itu, ditahan di rumahnya sejurus selepas kejadian itu kira-kira lapan pagi tadi.

Beliau berkata kejadian itu berlaku apabila suspek cuba merogol salah seorang anak perempuan tirinya berusia 24 tahun, yang mempunyai seorang anak lelaki berusia empat tahun.

“Mangsa (anak perempuan tiri suspek) ketika itu sedang tidur, namun perbuatan suspek telah dihalang oleh isteri dan tiga anak perempuan tiri suspek yang lain.

“Berang dengan kejadian itu, suspek telah mengamuk, memukul dan menghentak isteri dan empat anak tiri suspek yang berada di dalam rumah,” katanya kepada Bernama hari ini.

Nik Ros Azhan berkata ekoran itu suspek memukul cucu tirinya sehingga lemah-longlai, sebelum mencampakkan cucunya ke luar tingkap di bilik utama sehingga jatuh.

Dia berkata isteri suspek berusia 49 tahun yang melihat kejadian itu, lalu menjerit meminta tolong dan menyelamatkan diri bersama empat anaknya yang lain, untuk mendapatkan bantuan jiran serta pengawal keselamatan apartment itu.

“Ekoran itu, suspek cuba melarikan diri melompat keluar melalui tingkap sebelum mengalami kecederaan akibat impak melompat dari tingkat tiga dan telah ditahan orang awam dan pengawal keselamatan apartment itu,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata suspek mengalami kecederaan di tangan dan beberapa bahagian anggota badan dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut.

“Mayat kanak-kanak yang maut itu dikenali sebagai Muhammad Adam Sufi Muhd Norkhusairi dibawa ke HKL untuk dibedah siasat,” katanya sambil menambah kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

-Bernama