"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Umno dengan permohonan ampun bekas presidennya

Mohsin Abdullah

Imbau sepintas lalu. Artikel saya siaran FMT 6 April 2023 antaranya memaparkan strategi para peguam Najib Razak untuk membebaskan anak guam mereka daripada hukuman penjara yang sedang dilalui kerana sabit kesalahan kes SRC International. Strategi mereka ialah menggunakan pandangan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Abdul Rahman Sebli, bagi menyokong permohonan bekas perdana menteri agar semakan dilakukan ke atas keputusan bersalah dalam kes SRC International.

Walaupun empat lagi hakim Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Najib, para peguamnya tetap mahu mempersembahkan satu “dissenting voice” kepada Yang di-Pertuan Agong agar Najib mendapat pengampunan.

Artikel saya semalam yang disiar FMT pula mengetengahkan surat yang diutus Azalina Othman Said, menteri di Jabatan Perdana Menteri, kepada Shafee & Co, peguam bela Najib. Surat itu ‘mendedahkan’ hasil siastan SPRM ke atas Nazlan Mohd Ghazali (hakim yang menjatuhi hukuman penjara ke atas Najib), sekaligus memberi nafas baharu kepada usaha mendapatkan pembebasan untuk Najib.

Sebaik artikel itu disiar kita disaji dengan berita mesyuarat majlis kerja tertinggi Umno memutus sebulat suara merayu pengampunan bagi bekas presidennya. Ketiga-tiga langkah itu terjadi secara “one after another”. Tersusun. Bagi saya ia seakan dirancang baik. “A well coordinated move” dengan satu objektif yang semua tahu apa.

Apa pun banyak persoalan timbul sekarang berkaitan rancangan Umno mendapatkan pengampunan Agong untuk Najib. Tetapi sebelum dibincangkan hal itu, saya imbau satu laporan portal berita yang mana penganalisis membayangkan hubungan Barisan Nasional (baca: Umno) dengan Pakatan Harapan berdepan risiko retak selepas permohonan semakan keputusan SRC International tidak berpihak kepada Najib. Laporan itu mendakwa orang Umno yang setia dengan Najib tidak puas hati. Perlu diingat Najib masih ada pengaruh dalam Umno. Walaupun portal berita yang menyiarkan laporan keretakan BN-PH itu dikatakan pro-pembangkang, persoalan yang ditimbulkan harus juga diteliti.

Sekarang Umno seperti dikata tadi sudah membuat kenyataan rasmi mahu mendapatkan pengampunan Agong untuk Najib. Adakah ini akan merumitkan hubungan Umno dengan PH dalam kerajaan perpaduan? Tidak, kata naib presiden Umno, Khaled Nordin. Menurut beliau hubungan Umno-PH tidak akan terjejas kerana apa yang partinya lakukan ialah menunjuk penghargaan terhadap bekas presiden yang banyak berjasa kepada parti dan memimpin BN selama sembilan tahun.

Pemimpin PKR, Hassan Karim, juga berpendapat keputusan Umno memohon Agong mempertimbangkan pengampunan tidak akan meretakkan hubungan kerajaan perpaduan. Malah, kata beliau, Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak terbabit secara langsung dalam proses pengampunan diraja itu. Hassan memetik peruntukan Perlembagaan yang menyatakan Agong bertindak dalam hal pengampunan selepas berunding dengan Lembaga Pengampunan. “Ini bermakna nasihat perdana menteri atau Jemaah Menteri tidak diperlukan,” kata beliau.

Lantas, katanya, Anwar tidak boleh dipersalahkan jika proses pengampunan diraja itu berjalan dengan cepat atau lambat, dibenarkan atau ditolak.

Memang ada benarnya kata Hassan itu. Bagaimanapun beliau juga mungkin mahu menjauhkan perdana menteri dan PH daripada pengampunan Najib berdasarkan beberapa sebab termasuk pendirian PH mengenai skandal 1MDB dan juga sentimen majoriti rakyat terhadap kesalahan Najib.

Ringkasnya, Najib diampun bukan sesuatu yang popular dan disukai ramai. Semasa artikel ini ditulis media sosial dihujani komen anti-pengampunan malah sudah ada petisyen memohon Agong menolak pengampunan walaupun belum ada permohonan rasmi dibuat Umno setakat ini.

Apa pun Anwar pula mengaku beliau terlibat dalam proses pengampunan. Permohonan pengampunan diraja dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan yang dianggotai peguam negara, menteri Wilayah Persekutuan (membabitkan kes persekutuan bukan negeri), dan tiga anggota yang dilantik oleh Agong. Oleh kerana jawatan menteri Wilayah Persekutuan sudah ditiadakan, Anwar selaku perdana menteri bertanggungjawab terhadap Wilayah Persekutuan. Oleh itu beliau ‘terpaksa’ terlibat dalam proses pengampunan di Wilayah Persekutuan.

Namun Anwar menyangkal akan wujud konflik kepentingan dengan penglibatannya dalam proses permohonan pengampunan Najib kerana keputusan muktamad sama ada memberi pengampunan atau tidak adalah bawah bidang kuasa tunggal Agong. Bidang kuasa tunggal Agong memang difahami umum. Itu jugalah sebab ada petisyen dibuat buat terus kepada Agong memohon pengampunan ditolak seperti dikatakan tadi.

Kata wartawan veteran, A Kadir Jasin, jika Umno memohon pengampunan untuk Najib dibuat atas dasar simpati (seperti dikatakan Presiden Umno, Zahid Hamidi) adakah parti tidak memikirkan hal berkaitan lain semasa membuat ketetapan tersebut? Menurut Kadir: “Kata lah Umno ada tiga juta ahli dan semua mahu Najib diampunkan. Tetapi apa hal dengan 27 juta lagi warganegara Malaysia? Adakah mereka pun mahu Najib diampunkan?” Pertanyaan yang tepat.

Hakikatnya setiap individu yang didapati bersalah oleh mahkamah dan dijatuhi hukuman berhak memohon untuk pengampunan diraja berdasarkan Artikel 42(1) Perlembagaan. Namun mereka mesti menjalani hukuman untuk jangka waktu tertentu sebelum boleh memohon dipertimbangkan untuk pengampunan. Begitu juga keadaannya dengan Najib. Beberapa peguam berpendapat Najib belum menjalani hukuman penjara yang lama untuk dipertimbangkan.

Apa pun teringat saya akan titah Agong pada 5 Sept 2022. Titah baginda kuasa menghukum dan memberi pengampunan tidak wajar digunakan sewenang-wenangnya kerana bakal dipertanggungjawabkan kelak di kemudian hari. Sesungguhnya benar .

Wanita berusia 78 tahun ditangkap kerana merompak kali ketiga

Agensi
BONNIE Gooch ditahan kerana merompak bank buat kali ketiga. FOTO Agensi
BONNIE Gooch ditahan kerana merompak bank buat kali ketiga. FOTO Agensi
New York: Seorang wanita warga emas di Amerika Syarikat (AS) ditahan polis kerana merompak bank buat kali ketiga.

Metro UK melaporkan, Bonnie Gooch, 78, ditahan dan didakwa pada petang Rabu lalu selepas merompak sebuah bank di Pleasant Hill, Missouri.

Jabatan Polis Pleasant Hill bertindak balas terhadap laporan rompakan bank, jam 3.20 petang.

Pegawai ternampak sebuah kereta yang sepadan dengan penerangan yang diberikan oleh kakitangan Goppert Financial Bank, hanya beberapa ratus meter dari tempat kejadian.

Mereka menemui Gooch di tempat duduk hadapan bersama bukti yang mengaitkannya dengan jenayah itu.

Dia melakukan jenayah itu dengan memakai topeng muka, cermin mata hitam dan sarung tangan plastik.

Ketua Polis Pleasant Hill Thomas Wright memberitahu Fox 4: "Jelas sekali ia adalah situasi yang tegang.

"Bagaimanapun... apabila tangan seorang wanita warga emas keluar dari kereta dan kelihatan memandu kenderaan suspek, (ia) agak mengejutkan," katanya.

Wright memberitahu akan menilai sama ada pesara itu memerlukan sebarang sokongan daripada perkhidmatan sosial semasa kesnya.

"Hari ini, Bonnie Gooch yang berusia 78 tahun, dari Pleasant Hill, didakwa oleh Pejabat Pendakwa Daerah Cass atas tuduhan mencuri atau cubaan mencuri daripada institusi kewangan, berkaitan rompakan bank pada 5 April di Goppert Bank," katanya

Pendakwa raya Cass County menetapkan jaminan pada AS$25,000 (kira-kira RM110,075) sahaja, namun wanita itu kekal dalam tahanan.

Menurut rekod, Gooch ditangkap tiga tahun lalu kerana rompakan bank di bandar Lee's Summit dan ia berdasarkan dokumen mahkamah yang diperoleh Fox 4.

Dia didakwa dan disabitkan hukuman penjaranya digantung dan diperintahkan untuk menjalani tempoh percubaan sehingga November 2021.

Gooch juga sebenarnya pernah didapati bersalah atas pertuduhan melakukan rompakan bank pada tahun 1977 di California, ketika dia berusia 32 tahun.

Cerai isteri pada malam pertama kerana terkejut lihat wajah tanpa solekan

KIM SYAZIE

Seorang suami di China nekad menceraikan isterinya kerana berasa tertipu apabila pertama kali melihat wajah wanita itu tanpa solekan pada malam pertama perkahwinan mereka, lapor laman berita Agensi.

Dilaporkan, lelaki bernama Cao itu berkenalan dengan isterinya, Trang melalui media sosial. Sepanjang perkenalan, Cao tidak berputus asa untuk menikahi Trang terutamanya apabila wanita itu sentiasa tampil dengan solekan dan pakaian bergaya.

Perbezaan usia mereka agak jauh kerana Cao berusia 30 tahun, manakala isterinya pula 47 tahun. Namun Cao tidak menghiraukan perbezaan umur 13 tahun itu.

Lebih-lebih lagi selepas pertama kali bertemu, Cao tertarik kepada Trang kerana cantik, penyayang, yakin dan matang. Latar belakang keluarga mereka juga hampir serupa.

Pasangan itu kemudian melangsungkan perkahwinan di kampung halaman mereka tetapi belum didaftarkan secara sah.

Lapor berita itu lagi, pada malam pertama, kegembiraan Cao pudar apabila dia melihat wajah Trang selepas menanggalkan solekan.

Cao berasa terpedaya dan tertipu dengan solekan Trang sehingga tidak mengenali wajah sebenarnya.

Dia kemudian memutuskan untuk bercerai dan menghalau Trang dari rumah.Akibat berasa kecewa kerana sikap suaminya, Trang lantas memberi dua pilihan kepada Cao.

Pertama, perkahwinan mereka didaftarkan dan terus tinggal bersama.

Kedua, pasangan itu akan bercerai, tetapi Cao perlu membayar pampasan kepada Trang sebanyak 200,000 yuan (RM127,797).

Merasakan bahawa dia adalah mangsa dan menilai bahawa tuntutan Trang adalah tidak munasabah, Cao juga meminta bantuan guaman untuk menyelesaikannya.

Bagaimanapun, tidak dijelaskan lebih lanjut sama ada pasangan itu akhirnya bercerai atau tidak.