"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Remaja disyaki dirogol bapa tiri, suspek suami isteri ditahan

Shuhada Abdul Kadir

Astro AWANI

JASIN: Polis menahan sepasang suami isteri selepas dipercayai terlibat dalam kejadian rogol membabitkan anak perempuan mereka yang berusia 16 tahun sejak tiga tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata suspek yang merupakan bapa tiri serta ibu kandung mangsa masing-masing berusia 36 dan 40 tahun itu ditahan kira-kira jam 9.30 malam tadi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA 2) sejurus tiba dari Sabah.

Katanya, difahamkan perbuatan terkutuk suspek lelaki yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu turut diketahui isterinya yang merupakan ibu kandung mangsa.

“Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin ada menerima satu laporan mengenai kejadian rogol ke atas satu remaja perempuan berusia 16 tahun di Jasin, Melaka.

“Bertindak atas maklumat, tangkapan telah dilakukan ke atas bapa tiri dan ibu kandung mangsa di KLIA 2, Sepang, Selangor,” katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, katanya, remaja perempuan yang masih bersekolah itu dipercayai menjadi mangsa rogol bapa tirinya sejak tahun 2020.

Katanya, penahanan reman terhadap kedua-dua suspek sedang berjalan hingga 15 April ini bagi membantu siasatan.

“Mahkamah Majistret Ayer Keroh pada pagi tadi telah membenarkan permohonan reman dua suspek ini selama tujuh hari bermula hari ini hingga Sabtu depan.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 375 B Kanun Keseksaan/109 kanun sama,” tambahnya.

Lubnan 'balas dendam' ke atas Israel

TEL AVIV - Bedilan roket bertubi-tubi dilancarkan dari Lubnan menyasarkan Israel pada Khamis, sehari selepas insiden serangan ganas rejim Zionis ke atas jemaah Palestin di Masjid al-Aqsa.

Pasukan Pertahanan Israeal (IDF) memaklumkan, ia mengenal pasti 34 roket Katyusha yang dilancarkan dari wilayah Beirut ke Tel Aviv.

"Kira-kira 25 daripadanya dipintas oleh sistem pertahanan udara kami. Sebanyak lima roket lagi bagaimanapun berjaya mendarat di wilayah Israel," ujarnya dalam satu kenyataan merujuk kepada serangan 'balas dendam' yang dilancarkan sebagai tanda solidariti dengan Palestin.

Sementara itu, Pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengesahkan, ia sedang mengawasi perkembangan situasi keselamatan dan akan melakukan penilaian bersama ketua agensi berkaitan.

Perkhidmatan Kecemasan Israel memberitahu, dua individu cedera akibat terkena serpihan roket tersebut malah siren amaran turut dibunyikan di bandar Shlomi dan Moshav Betzet serta Galilee di utara Tel Aviv.

Susulan tindak balas dilancarkan Beirut, Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (INFIL) menggesa semua pihak supaya bertenang.

"Keadaan semasa agak serius dan langkah segera untuk meredakan situasi tersebut perlu diambil segera bagi mengelakkan ia menjadi lebih buruk," kata jurucakap pasukan itu yang melakukan rondaan di kawasan sempadan antara Lubnan-Israel.

Menurut laporan media tempatan di Beirut, Israel turut melancarkan serangan balas dari kedudukan mereka di sempadan ke pinggir dua perkampungan di negara tersebut, namun IDF menafikan perkara tersebut. - AFP

Langgar polis, lelaki disyaki pengedar dadah mati ditembak

FMT Reporters
Perodua Viva yang dipandu suspek selepas melanggar dua anggota polis semalam. (Gambar Facebook PDRM)
PETALING JAYA: Lelaki disyaki pengedar dadah ditembak mati selepas melanggar dua anggota polis yang cuba menahannya di Jalan Plum Oil Industrial Cluster (POIC) Phase 2, Lahad Datu, semalam.

Terdahulu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Lahad Datu menahan Perodua Viva dipandu seorang lelaki untuk pemeriksaan kerana disyaki terbabit aktiviti pengedaran dadah pada 11.45 pagi.

Ketua Polis Lahad Datu, Rohan Shah Ahmad berkata suspek tiba-tiba mengundur keretanya dengan agresif dan melanggar seorang anggotanya.

Katanya, suspek kemudian membuat pusingan U dan memecut keretanya melawan arus, sebelum melanggar seorang lagi anggota polis yang cuba menghalangnya.

“Bagaimanapun, anggota terbabit sempat melepaskan tembakan ke arah kereta suspek bagi tujuan mempertahankan diri sebelum dilanggar.

“Suspek memecut keretanya kerana cuba melarikan diri daripada ditahan pasukan serbuan dan kemudian dilihat terbabas pada jarak 400m dari tempat kejadian,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati warga tempatan berusia 28 tahun itu tidak sedarkan diri dan terbaring di tempat duduk penumpang sebelah kiri dan dia disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

“Hasil pemeriksaan lanjut, polis merampas dadah disyaki syabu seberat 7.45g bernilai RM1,490, dua (pedang) samurai dan Perodua Viva itu.

“Semakan mendapati suspek mempunyai lima rekod kesalahan lampau membabitkan jenayah narkotik dan komersial.”

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cuba bunuh dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 atas kesalahan pengedaran dadah.