"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Fuad A Kiram (Gambar), Waris Sultan Sulu disenarai sebagai pengganas

'Ainin Wan Salleh

PUTRAJAYA: Seorang lelaki yang mengaku waris kesultanan Sulu diisytihar sebagai pengganas oleh kerajaan.

Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri, Khairul Dzaimee Daud berkata, Kementerian Dalam Negeri menyenaraikan Fuad A Kiram sebagai pengganas.

Katanya, Fuad dikaitkan dengan satu entiti yang diklasifikasikan sebagai kumpulan pengganas iaitu Tentera Diraja Sulu di bawah Seksyen 66B Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Pengisytiharan itu berkuatkuasa bermula 6 April.

Fuad antara lapan individu yang mendakwa waris Sultan Sulu yang membuat tuntutan terhadap beberapa aset milik Malaysia di luar negara pada tahun lalu.

Khairul berkata, kerajaan perpaduan akan mengambil pendekatan baharu dalam menangani tuntutan waris Sulu.

“Sebelum ini, pendekatan (untuk menangani kes itu) adalah dalam bentuk ‘memadam api’ berhubung negara terbabit,” katanya pada sidang media.

Beliau berkata, sebelum ini, kerajaan akan merayu terhadap keputusan mahkamah luar negara dan berusaha mengetepikan anugerah diberikan.

Bagaimanapun, beliau berkata, di bawah kepimpinan baharu, pendekatan itu telah ditukar kepada mod “serangan”, sambil menambah bahawa “pertahanan terbaik adalah (untuk) menyerang”.

Khairul juga berkata, Jemaah Menteri juga bersetuju dengan pelantikan firma perhubungan awam berpangkalan di UK untuk menguruskan naratif global dan strategi media berhubung kes itu.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan nama firma itu.

Beliau menambah, bahagian hal ehwal undang-undang akan berhubung dengan pihak berkepentingan di Sabah mengenai kes itu.

Beliau juga berkata, Wisma Putra telah menghantar nota diplomatik kepada 171 negara di mana anugerah USD14.92 bilion (RM62.59 bilion) yang diberikan oleh mahkamah timbang tara Perancis kepada waris sultan Sulu terakhir boleh dikuatkuasakan di bawah Konvensyen New York.

Khairul berkata, menteri dalam negeri juga akan membuat lawatan ke empat negara terlibat dalam timbang tara kes itu iaitu Perancis, Sepanyol, Luxembourg dan Belanda untuk menjelaskan kepada rakan sejawatannya mengenai isu dan fakta menyelubungi tuntutan itu.

Pemimpin PKR 'sekolahkan' Sanusi: PM tiada kuasa lantik Majlis Kewangan Negara

Malaysiakini 

Perdana menteri tidak mempunyai sebarang kuasa untuk melantik sesiapa sahaja dalam Majlis Kewangan Negara selain daripada yang dicadangkan oleh sultan sesebuah negeri itu, kata Naib Pengerusi PKR Kedah Nor Azrina Surip.

Dia merujuk kenyataan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor semalam yang mendakwa terdapat komplot untuk memecatnya sebagai wakil rakyat negeri dalam Majlis Kewangan Negara.

"Walhal di dalam Perkara 108 Perlembagaan Persekutuan menetapkan Majlis Kewangan Negara perlu diketuai perdana menteri atau mana-mana menteri dilantik manakala setiap negeri diwakili individu diperkenan Sultan atau Yang Di-Pertua Negeri. 

"Jelas menunjukkan tiada kuasa perdana menteri untuk menamakan orang lain selain individu yang diperkenan Sultan jika mengambil konteks dalam negeri Kedah,” kata Nor Azrina (gambar, bawah) pada satu kenyataan hari ini.

Justeru, dia menggesa Sanusi supaya berhenti berbohong mengenai kerajaan persekutuan atau Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Nor Azrina mengingatkan Sanusi mengenai titah baginda Tuanku Sultan Kedah ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam, Dewan Undangan Negeri Kedah ke-14 pada Mac.

Katanya, baginda telah berpesan supaya mengelak berpolitik secara berlebihan dan sentiasa berusaha menjaga hubungan di antara satu sama lain khususnya antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.

"Jelas menunjukkan harapan yang tinggi agar mengekalkan profesionalisme demi rakyat Kedah," katanya.

Sultan Kedah juga, kata Nor Azrina menekankan bahawa negara, negeri dan rakyat memerlukan kestabilan politik untuk memperoleh manfaat melalui pembangunan projek ekonomi dan program kesejahteraan rakyat yang dirancang.

"Namun, Sanusi telah berulang kali membangkitkan isu yang boleh menyebabkan pergeseran antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan seperti mendakwa bulan lalu bahawa beliau telah dihalang daripada acara persekutuan.

"Saya yakin Yang Amat Berhomat Menteri Besar amat memahami bahawa Islam mengajar umatnya agar sentiasa berlaku jujur dalam apa jua perbuatan termasuklah pertuturan. 

"Memetik pandangan Imam Al-Nawawi Rahimahullah, dalam Syarah Sahih Muslim, Al Nawawi bohong ini didefinisikan sebagai - mengkhabarkan sesuatu berbeza dengan keadaan sebenarnya, sama ada dengan sengaja atau tidak dan sama ada perkhabaran itu akan perkara yang telah berlaku atau akan datang.”

"Dari pandangan di atas jelas menunjukkan bahawa pembohongan seperti itu tidak wajar dilakukan meskipun bertujuan berjenaka untuk menarik perhatian atau sokongan orang," kata Nor Azrina lagi.

Sanusi semalam mendakwa terdapat komplot untuk memecatnya sebagai wakil negeri dalam Majlis Kewangan Negara.

Sanusi berkata gerakan itu cuba menggantikannya dengan Setiausaha Kerajaan Kedah Norizan Khazali.

Dia bagaimanapun tidak memberikan sebarang bukti dakwaannya.

Dia juga sebelum ini mendakwa disekat hadir majlis kerajaan persekutuan termasuk Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (Lima 2023) bulan depan.

Seorang lagi anggota polis didakwa bunuh pemandu e-panggilan

Bernama

TAWAU: Seorang anggota polis yang sebelum ini menjadi saksi kes pembunuhan pemandu e-panggilan di Tawau pada Jan lalu, didakwa di Mahkamah Majistret atas tuduhan membunuh bagi kes yang sama.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, John Kennedy Sanggah, 44, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Dzul Elmy Mohd Yunus.

Berdasarkan pertuduhan, John Kennedy bersama enam individu yang telah dituduh, didakwa mencapai niat bersama membunuh Nurman Bakaratu, 61, antara 7.30 malam hingga 11.30 malam di ladang kelapa sawit berdekatan Jalan Anjur Juara, Jalan Apas Batu 5, Tawau pada 13 Jan lalu.

Pertuduhan dibacakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad, Muhammad Ilmami Ahmad, Low Win Hui dan Mohammad Fakhrurazzi Ahmad Salim.

Tertuduh John Kennedy diwakili barisan peguam Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki dan Chen Wen Jye.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 7 Julai ini.

Pada 8 Feb lalu, John Kennedy bersama anggota polis Usman Lanaga serta seorang awam, Shim Vui Nyen diberikan bon jaminan sebagai saksi pendakwaan, manakala lima anggota polis iaitu Rosdi Rastam, 44, Dennis Enit, 44, Fabian Rungam, 43, Khairul Azman Bakar, 47, Mohd Azlan Sakaran, 39, dan orang awam, Vivien Fabian, 34, dituduh di Mahkamah Majistret Tawau dengan niat bersama membunuh Nurman.

Pada hari sama, seorang pegawai kanan polis iaitu Mat Zaki Md Zain, 58, turut didakwa bersubahat dengan enam individu berkenaan untuk membunuh lelaki tersebut.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret sama, Dzul Elmy turut menetapkan 7 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes ke atas Mat Zaki bagi pertuduhan bersubahat mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang di baca bersama Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Di Mahkamah Majistret berasingan, Majistret Leona Dominic Mojiliu juga menetapkan 7 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes ke atas Rosdi, Dennis, Fabian, Khairul Azman, Mohd Azlan dan Vivien bagi pertuduhan membunuh mangsa yang sama mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.