"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Terengganu: Bomoh muda mengaku salah cabul kanak-kanak

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang bomoh muda mengaku bersalah di Mahkamah Seksyen Kemaman atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan 11 tahun bulan lalu.

Harian Metro melaporkan Muhammad Adiq Alqbab Zanuddin, 20, menangis di kandang tertuduh ketika pertuduhan dibacakan di depan Hakim Wan Suhaila Mohd.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKKSTKK) 2017 yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan disebat.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, dia didakwa mengikut Seksyen 14(d) AKKSTKK yang juga boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan disebat kerana melakukan amang seksual fizikal bagi maksud seksual terhadap mangsa.

Tiga kesalahan itu dilakukan pada 1 pagi 31 Jan lalu di sebuah rumah di Bandar Seri Bandi, Chukai.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Asyikin Hashim, manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Ahnaf Zaimi yang memohon hukuman dijatuhkan ke atas tertuduh selepas laporan sosial diperoleh daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 13 Mac ini untuk menjatuhkan hukuman serta laporan sosial dan fakta.

Hempap basikal ke arah rakan sebelum mati ditikam

ADNAN IBRAHIM
KAWASAN Perindustrian Sri Gading, Batu Pahat lokasi seorang lelaki warga Nepal mati dibunuh oleh seorang warga Bangladesh dalam kejadian Ahad lalu.
BATU PAHAT – Seorang lelaki warga Nepal ditemui mati dipercayai ditikam dengan pisau pemotong sayur dalam kejadian di Kawasan Perindustrian Sri Gading, di sini, malam Ahad lalu.

Kematian lelaki berusia 30 tahun itu disyaki dilakukan rakan sekerjanya lelaki Bangladesh yang berpunca akibat salah faham dan mabuk.

Sumber berkata, kejadian berlaku sewaktu mangsa pulang ke asrama penginapan dalam keadaan mabuk sehingga tercetus perselisihan dengan suspek.

Katanya, pada masa sama, berlaku provokasi antara mangsa dan suspek yang menyebabkan salah seorang daripada mereka berang.

“Mangsa menghempap basikal ke arah suspek hingga berlaku pergelutan. Beberapa rakan sekerja suspek turut campur tangan hingga menyebabkan berlakunya kekecohan.

“Suspek yang tidak berpuas hati kemudian mengambil sebilah pisau lalu menikam belakang kiri, perut dan pinggang mangsa.

“Mangsa parah akibat tikaman itu disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba di lokasi tersebut,” katanya.

Susulan kejadian itu, polis menahan lima individu termasuk suspek utama berusia 24 hingga 27 tahun bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.-KOSMO! ONLINE

Bakal pengantin dituduh cabul, miliki video lucah

Ahmad Hasbi
am@hmetro.com.my
AZRUL Afiq didenda RM7,500 di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan mencabul kehormatan wanita dan memiliki video lucah. FOTO Ahmad Hasbi.
AZRUL Afiq didenda RM7,500 di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan mencabul kehormatan wanita dan memiliki video lucah. FOTO Ahmad Hasbi.
Seremban: Bakal pengantin didenda RM7,500 di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan mencabul kehormatan wanita dan memiliki video lucah pada Isnin lalu.

Majistret Nurul Saqinah Rosli menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Azrul Afiq Adzelan Ahmad, 25, yang membuat pengakuan bersalah sebaik kedua-dua pertuduhan dibacakan.

Mahkamah menetapkan Azrul Afiq didenda RM4,000 bagi pertuduhan mencabul kehormatan seorang wanita, jika gagal bayar boleh dipenjara tujuh bulan.

Bagi pertuduhan memiliki video lucah, Azrul Afiq didenda RM3,500, jika gagal bayar boleh dipenjara enam bulan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati melakukan kekerasan jenayah kepada seorang wanita berusia 21 tahun dengan maksud mencabul kehormatannya.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira jam 12.15 tengah malam, di dalam sebuah kedai serbaneka Hentian Rehat dan Rawat (RnR) Seremban, Lebuhraya Utara- Selatan (Plus), arah Selatan, di sini, 10 Februari lalu.

Justeru itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua dari hukuman itu.

Bagi pertuduhan seterusnya, tertuduh didapati dalam milikan mempunyai tiga video lucah dalam telefon bimbitnya jenis iPhone 16 Pro warna hitam.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira 5 petang, 10 Februari lalu di lokap Balai Polis Nilai.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang boleh didakwa di bawah akta sama, memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai tiga tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nik Nur Aqilah Syarfa Nik Zaidi memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ng Yunn Yiing yang mewakili tertuduh memohon hukuman denda paling rendah atas alasan tertuduh bakal melangsungkan perkahwinan pada 25 Februari depan.

"Tertuduh juga menanggung ibu bapa dan tiga adik beradik yang lain. Malah, dia hanya belajar sehingga tingkatan lima dan tiada pekerjaan tetap.

"Kesalahan itu bukan disengajakan dan tertuduh sudah insaf," katanya.