"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pegawai akaun didakwa tunjuk jari tengah, pintas polis iringi TPM

Malaysiakini

Seorang eksekutif akaun syarikat pengiklanan didakwa di dua Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur hari ini atas dua pertuduhan menunjukkan isyarat lucah dan menghalang tugas anggota polis dengan memintas kenderaan yang mengiringi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, minggu lepas.

Joshua Chong Tien Kit, 28, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Aina Azahra Arifin dan S Mageswary.

Di hadapan Majistret Mageswary, Joshua didakwa menghalang Sarjan Mohd Faiz, Sarjan Mejar Francis, Koperal Fazlil dan Koperal Timotius daripada menjalankan tugas hakiki dengan memintas kenderaan yang mengiringi kenderaan dinaiki timbalan perdana menteri itu di persimpangan jalan hadapan sebuah kedai makan di Taman Tun Dr Ismail pada 2 petang, 8 Feb lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di hadapan Majistret Aina Azahra, lelaki berkenaan didakwa memberi isyarat kurang senonoh dengan menunjukkan jari tengah pada tempat, masa dan tarikh sama mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Inspektor Muhammad Faiz Abu Samah dan Timbalan Pendakwa Raya Hench Goh masing-masing menawarkan jaminan RM5,000 dan RM4,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Peguam Rajsurian Pillai yang mewakili Chong memohon jaminan rendah dengan alasan anak guamnya masih bujang dan tiada risiko untuk melarikan diri selain tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

"Mangsa-mangsa dalam kes ini merupakan anggota polis dan pengiring kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan tidak mungkin tertuduh akan mengganggu mana-mana saksi atau mangsa dalam kes ini," kata peguam itu.

Kedua-dua mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin berjumlah RM5,900 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 April ini untuk sebutan kes.

- Bernama

Lelaki hilang lebih RM3 bilion di tapak pelupusan sampah

KOSMO
James Howells mahu membeli tapak pelupusan sampah selepas kehilangan Bitcoin bernilai RM3.3 bilion. - Shutterstock
LONDON – Seorang lelaki nekad membeli sebuah tapak pelupusan sampah di Wales, United Kingdom selepas dia kehilangan sejumlah besar  Bitcoin secara tidak sengaja, lapor laman berita Sky News semalam. 

Pekerja sektor teknologi maklumat (IT), James Howells, 39, berkata, kejadian berlaku apabila bekas teman wanitanya membuang cakera keras yang mengandungi beribu-ribu Bitcoin miliknya pada 2013. 

“Bitcoin itu dianggarkan bernilai lebih £600 juta (RM3.3 bilion) dalam pasaran hari ini.  

“Saya mahu membeli tapak itu sebelum ditutup oleh Majlis Bandar Raya Newport supaya saya boleh mencari harta yang hilang ini,” kata Howells. 

Howells membawa kes itu ke mahkamah, namun pada bulan lalu, hakim tidak memihak kepadanya.

Dalam samannya, Howells meminta dia dibenarkan menggeledah tapak pelupusan sampah itu atau pihak dewan bandar raya membayar pampasan sebanyak £495 juta (RM2.7 bilion) kepadanya.

Pihak pentadbiran Newport memberikan hujah di mahkamah bahawa penutupan tapak pelupusan itu  semata-mata untuk membolehkan Howells mencari Bitcoin miliknya akan memberi kesan buruk kepada penduduk setempat.

“Saya menjangkakan tapak tersebut akan ditutup beberapa tahun lagi tetapi tidak menyangka ia secepat ini. 

“Sekiranya Majlis Bandar Raya Newport bersedia, saya berminat untuk membeli tapak pelupusan itu dan telah membincangkan pilihan ini dengan rakan kongsi pelaburan saya,” tambah Howells. – AGENSI 

Pelancong ‘lepas hajat’ dekat kereta timbalan ketua polis

KOSMO!
DUA orang dipercayai membuang air kecil di tepi kereta. - Foto Amarin TV
PATTAYA – Sebilangan pelancong di Thailand membuang air kecil dan besar berhampiran kereta milik Timbalan Ketua Polis di Pattaya, lapor laman berita The Pattaya News kelmarin.

Ia berlaku selepas tandas balai polis bandar itu ditutup kerana bekalan air terputus.

Menurut wartawan tempatan, terdapat kumpulan pelancong tempatan dan asing kerap berkumpul di hadapan Balai Polis Pattaya untuk menikmati minuman dan suasana tepi laut. 

Bagaimanapun, ujarnya, ramai pelancong bergantung kepada tandas balai polis untuk melepaskan ‘hajat’ mereka. 

Baru-baru ini, anggota polis meletakkan notis di pintu masuk yang menyatakan bahawa bekalan air telah terputus, menyebabkan tandas tidak beroperasi sejak tiga hingga empat hari lalu.

Ini menyebabkan beberapa pengunjung terpaksa menggunakan tandas persendirian berhampiran dengan bayaran 5 baht (RM0.65) hingga 10 baht (RM1.30).

Beberapa pelancong bagaimanapun bertindak membuang air kecil berhampiran pintu masuk rumah pangsa polis di tepi jalan berhampiran.

Seorang daripada mereka dilaporkan membuang air besar berhampiran kereta Timbalan Ketua Polis Pattaya.

Tidak dinyatakan mengenai sebarang tindakan yang mungkin diambil ke atas mereka. – AGENSI