"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penyanyi ditangkap khalwat pernah beberapa kali gagal dalam perkahwinan

Najiy Jefri
am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: "Dia pernah beberapa kali gagal dalam perkahwinan," kata sumber Harian Metro mengenai identiti penyanyi wanita yang ditangkap khalwat bersama lelaki berstatus suami orang, Selasa lalu.

Menurut sumber, penyanyi itu juga sudah memiliki cahaya mata hasil perkahwinan terdahulu.

"Dia turut mempunyai anak," katanya.

Sumber yang sama turut mengesahkan penyanyi itu adalah bekas peserta program realiti popular yang ditayangkan pada 2010.

Kelmarin, laman sembang kecoh apabila berita seorang penyanyi yang juga bekas peserta program realiti didakwa ditangkap khalwat bersama kekasih berstatus suami orang di rumah sewa mereka, kira-kira jam 2 petang.

Sementara itu, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) tidak akan mendedahkan identiti penyanyi terbabit.

Pegawai Perhubungan Awam Jais, Nur Syamira Md Suffri berkata, keputusan itu dibuat bagi menjaga aib individu itu selain siasatan masih lagi dijalankan.

"Jais mengesahkan tangkapan khalwat berlaku membabitkan selebriti namun kami tidak akan mendedahkan maklumat peribadi individu yang ditangkap," katanya ketika dihubungi.

Kelmarin, turut tular di media sosial di mana, penyanyi, Nadeera Zaini dikatakan sebagai penyanyi yang ditangkap khalwat itu.

Pengurusnya, Acap yang kemudiannya tampil menafikan dakwaan itu berkata, Nadeera sedang sibuk menjalani latihan untuk pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-39 yang bakal berlangsung Ahad ini.

"Memang kita sudah jelaskan individu ditangkap khalwat bukan Nadeera.

"Tiada sebarang komen daripada Nadeera dan dia tak perlu menjawab apa-apa kerana itu bukan dirinya.

"Semalam, Nadeera ada latihan dan 'fitting' baju, jadi tak mungkin dia kena tangkap," katanya.

Ekoran berita berkenaan, Acap berkata, perkara itu sedikit sebanyak mengganggu tumpuan penyanyi lagu Bukan Lagi Kita itu.

"Berita itu memang mengganggu tumpuan latihan Nadeera untuk AJL 39. Sejak berita heboh diperkatakan ramai menghubunginya untuk kepastian.

Jais turut menafikan individu yang ditangkap khalwat itu adalah Nadeera tetapi mengesahkan individu terbabit adalah penyanyi.

Kelantan: Tuan Maimun disyaki kebas duit tuan rumah RM2,500 diburu polis

MUHAMMAD AYMAN GHAFFA
Tuan Maimun yang dipercayai melarikan beg tangan berisi wang berjumlah RM2,500 pada majlis kesyukuran di Pasir Mas pada 1 Februari lalu diburu polis.
PASIR MAS – Seorang wanita warga emas yang dipercayai menyamar sebagai tetamu sebelum melarikan beg tangan berisi wang berjumlah RM2,500 pada majlis kesyukuran di sebuah rumah di Kampung Tasek Berangan di sini pada 1 Februari lalu diburu polis.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed berkata, suspek yang dikenal pasti dalam kes itu ialah Tuan Maimun Che Tuan, 61.

Menurutnya, alamat terakhir warga emas itu di Jalan Dusun Muda, Kota Bharu dekat sini.

“Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas sedang mengesan seorang suspek bagi membantu siasatan kes curi dalam rumah di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

“Sehubungan itu, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai Tuan Maimun untuk menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superintendan Wan Noraida Wan Hamat di talian 03-793 2222,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, majlis kesyukuran anjuran sebuah keluarga di sini bertukar suram apabila beg tangan berisi wang berjumlah RM2,500 telah dilarikan oleh seorang wanita yang menyamar sebagai tetamu pada 1 Februari lalu.

Berdasarkan maklumat oleh Ameer Hakimi, wanita berkenaan pada awalnya dikatakan ingin menumpang tandas di rumah kakak iparnya itu.

Ameer Hakim turut berkongsi video daripada rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di dalam rumah berkenaan yang jelas memaparkan wanita itu mengambil beg tangan berwarna putih di atas sebuah kabinet dan terus berlalu pergi.

“Majlis Kesyukuran kakak ipar berubah suram. Aktiviti majlis perkahwinan tetamu tidak diundang mengambil harta bukan miliknya.

“Menyamar sebagai tetamu, tumpang tandas dan melarikan wang ringgit sebanyak RM2,500,” katanya pada satu hantaran di Facebook,” katanya.

Dalam masa sama, Ameer Hakim juga meminta bantuan orang ramai untuk berkongsi video berkenaan bagi menjejak pelakunya selain menggesa wanita itu memulangkan kembali harta yang telah dicuri. – KOSMO! ONLINE

PAS buat boleh, orang lain buat salah

Malaysiakini 

PAS dikritik kerana menentang cadangan seorang ahli parlimen agar kerajaan melantik menteri bertanggungjawab terhadap hal ehwal bukan Islam.

Ahli Parlimen PKR, Sim Tze Tzin menyifatkan PAS sebagai hipokrit, membangkitkan pada tahun 2009, kerajaan Pakatan Rakyat yang memerintah Selangor menubuhkan Jawatankuasa Khas Negeri bagi Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme.

“Ada exco yang memegang portfolio tersebut.

"Parti PAS menganggotai kerajaan Selangor dari 2008 hingga 2018 selama 10 tahun. Portfolio agama bukan Islam tidak pernah menjadi isu.

"Agama Islam terus dimartabatkan di negeri Selangor. Hal ehwal agama bukan Islam diberi hak seperti termaktub dalam perlembagaan negeri.

"Kenapa sekarang menjadi isu? PAS buat boleh, orang lain buat tak boleh. Adakah ini satu hipokrasi,” soalnya di platform X hari ini.

Untuk rekod, PAS ketika itu merupakan sebahagian daripada gabungan Pakatan Rakyat bersama PKR dan DAP.

Semalam, Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui (gambar bawah) mencadangkan supaya portfolio hal ehwal agama di Jabatan Perdana Menteri dibahagikan kepada dua, iaitu Islam dan agama-agama lain.

Chow menjelaskan beberapa kerajaan negeri telah melantik wakil rakyat untuk bertanggungjawab ke atas hal ehwal bukan Islam.

“Kerajaan negeri seperti Pulau Pinang, Perak dan Negeri Sembilan telah lama mempunyai exco yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal bukan Islam.

“Jadi, perkara ini boleh dicontohi di peringkat Persekutuan untuk memastikan hak semua rakyat terpelihara.

“Dengan kerajaan melantik seorang menteri bertanggungjawab terhadap hal ehwal Islam dan seorang lagi bagi hal ehwal bukan Islam, ia bukan sahaja memastikan pengurusan lebih adil dalam isu berkaitan agama, tetapi juga mengukuhkan perpaduan nasional serta mengelakkan mana-mana kumpulan daripada dipinggirkan,” katanya.

‘Langgar perlembagaan’

Bagaimanapun, cadangan Chow mendapat kritikan beberapa pihak, termasuk Ketua Dewan Ulama PAS, Ahmad Yahaya (gambar bawah) yang menyifatkannya sebagai cubaan menyamakan Islam dengan agama lain di Malaysia.

Persatuan Peguam Muslim Malaysia turut membantah cadangan tersebut, mendakwa ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, yang menetapkan Islam agama rasmi Persekutuan.

Walaupun Sim secara khusus menyasarkan PAS dalam kritikannya, Umno tidak ketinggalan membantah cadangan ini.

Umno hari ini meminta wakil rakyat bukan Islam menghormati Perlembagaan Persekutuan berhubung perkara tiga mengenai kedudukan Islam dan raja-raja Melayu.

Oleh itu, Setiausaha Agungnya Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan tiada keperluan untuk kerajaan mewujudkan portfolio menteri khusus untuk mentadbir hal ehwal agama bukan Islam.

"Tiada keperluan menteri hal ehwal agama lain. Menteri perpaduan yang patut jalankan kerja," katanya pada hantaran di Facebook.