"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Politik Malaysia: Dua wajah Parlimen kita

Hishamuddin Aun

Tenang hanya seketika sebelum kecoh dan layanan didakwa berbeza-beza di antara pihak kerajaan dan pembangkang timbulkan tanggapan berlawanan.

Selesai sudah seminggu lagi mesyuarat pertama Parlimen ke-15 bagi penggal keempat bermula 3 Feb lalu, dengan sidang pada 18 Feb lepas cukup untuk menggambarkan betapa berlawanannya sikap ahli-ahli yang berhormat kita semua.

Memulakan sidang pada pagi Selasa lalu dengan Speaker Johari Abdul mengalu-alukan lawatan delegasi Parlimen United Kingdom yang diketuai speakernya Sir Lindsay Hoyle, ahli-ahli Dewan tidak pun perlu diingatkan untuk menjaga kelakuan masing-masing.

Boleh difahami bahawa Parlimen kita mengikut acuan Westminster — sebuah sistem Parlimen kerajaan demokratik yang dimodelkan mengikut acuan kerajaan United Kingdom. Tidak perlulah rasanya dihuraikan di sini kerana ramai yang dah faham.

Tidak usahlah juga bayangkan bahawa Hoyle dan delegasinya akan menilai sidang Parlimen kita berdasarkan lawatan singkat mereka itu. Lama sebelum kunjungan berkenaan, mereka harus sudah terdedah kepada suasana umpama sarkas ketika Dewan Rakyat kita bersidang daripada banyaknya video yang boleh diakses di YouTube antaranya.

Kalau ada pun, mereka harus berasa hairan dengan apa yang disaksikan sepanjang sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) pada pagi berkenaan. Kalaulah mereka menunggu lebih lama sehingga waktu perbahasan titah diraja pada sebelah petangnya, barulah mereka dapat melihat sendiri betapa berbezanya keadaan.

Sesi MQT pagi itu berjalan penuh tertib dengan lima wakil rakyat — Bentong, Jerantut, Bagan, Indera Mahkota dan Muar — mengajukan soalan kepada menteri. Ini disusuli Batu, Padang Besar, Bagan Serai, Shah Alam, Batu Pahat, Kangar, Padang Terap, Bakri, Jerantut, Sri Gading, Kalabakan, Gerik, Paya Besar, Batu Gajah dan Jerlun untuk pertanyaan bagi jawapan lisan yang mengakhiri sesi berkenaan.

Sesi petangnya menyambung perbahasan titah diraja yang didahului oleh giliran Ahli Parlimen Cheras dan Marang. Baru sampai ke giliran Pendang — wakil rakyat keempat berbahas daripada 32 semuanya yang digilirkan petang itu — Dewan sudah pun kecoh apabila Awang Hashim mendakwa Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) cuba mencampuri urusan orang Islam sejak dua tahun lalu.

Mendakwa Koo Ham yang mencadangkan pakar perlembangan bukan Islam dilantik dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri Untuk Menggubal Undang-Undang Islam pada September 2023, Awang juga menuduh tindakan menteri dan wakil rakyat DAP termasuk Koo Ham antara punca menjejaskan keharmonian dan merenggangkan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Bukankah ini cabaran kepada Islam? Buat apa campur, orang Melayu Islam tak ganggu agama kamu, apa kamu buat? Kalau tak ada niat memperlekeh, menghina, semua ini bermula apabila DAP menjadi kerajaan, sebelum ini tiada masalah,” katanya.

Koo Ham kemudian mencuba untuk mencelah beberapa kali dengan mendakwa Pendang cuba menimbulkan sangkaan jahat sehingga situasi tegang itu ditenteramkan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Ramli Mohd Nor bagi mengawal keadaan.

Rugi — atau beruntung bagi Ahli Parlimen kita — Hoyle dan delegasinya sudah mengakhiri kunjungan mereka ketika itu.
Keesokannya Awang menimbulkan kekecohan lagi apabila mendakwa Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan menyebut angka Keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku kedua 2024 sebanyak 5.1% yang mengelirukan — berbanding 5.9% dalam titah Yang di-Pertuan Agong pada 3 Feb lepas.

“Biar menteri habis jawab dulu, sebab kalau tak dia terputus-putus, habis menteri jawab, apa juga dibangkitkan, bangkitkan, kalau tidak, dia tidak ada kesinambungan,” tegur Johari tetapi Awang bangkit lagi kemudian menyuarakan rasa tidak puas hatinya.

Barangkali ada yang tidak bersetuju tanggapan terhadap Parlimen kita dibuat hanya berdasarkan satu hari persidangan tetapi mereka yang mengikutinya setiap hari akan menerima kekecohan sudah jadi lumrah hingga Ramli sendiri pernah berkongsi ada yang bertanyakannya bagaimana keadaan sarkas (merujuk kepada sidang Parlimen kita) ketika itu.

Carian mudah di Google atas kata carian ‘Dewan Rakyat kecoh’ atau ‘sidang Parlimen kecoh’ akan menemukan banyak arkib berita berkaitan sebagai membayangkan bukanlah sidang Dewan Rakyat namanya jika sunyi daripada keriuhan, bertegang urat dan bertikam lidah di antara ahli dari dua blok bertentangan.

Tidak kira siapa pun memulakannya — baik daripada penyokong kerajaan mahupun pembangkang — kedua-dua pihak sebenarnya sama-sama bertanggungjawab kerana apa yang dimulakan tidak akan merebak jika api yang dilihat asalnya kecil tidak dicurahkan petrol hingga ia terus marak.

Yang di-Pertuan Agong ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 bagi Dewan Rakyat dan Dewan Negara, mengingatkan semua ahli bahawa Parlimen bukan tempat untuk bertegang urat, memaki hamun atau menabur fitnah, sebaliknya dewan mulia untuk membahaskan agenda kepentingan rakyat dan kemakmuran negara.

Susulan itu, Johari mahu semua Ahli Parlimen terus mengamalkan budaya politik matang, beretika dan bertanggungjawab dalam menjalankan tugas dengan menjadikan titah baginda sebagai peringatan yang bermakna.

“Parlimen harus menjadi platform demokrasi yang memperjuangkan kepentingan rakyat, medan perbahasan yang sihat serta konstruktif, dan bukannya tempat pertelingkahan yang memecahbelahkan rakyat,” katanya.

Adakah Ahli-ahli Parlimen mendengar dan patuh?

Kenyataan terbaharu Johari pada Jumaat — bahawa tindakan pembangkang membabitkan soalan berkaitan isu sama berulang kali dan soalan tidak relevan hanya membuang masa berharga Dewan Rakyat — harus menjawab persoalan itu.

“Kalau kita melayan soalan-soalan berbaur politik, kita berisiko menyelesaikan persidangan pada tengah malam atau 1 pagi… ini tidak boleh. Saya menetapkan persidangan mesti tamat selewat-lewatnya jam 8.30 malam. Saya pernah bertugas sehingga 5 pagi sebelum ini, dan ia tidak produktif,” tegasnya.

Hanya sehari sebelum itu, Ketua Pembangkang Hamzah Zainuddin mendakwa Ahli Parlimen pembangkang kini tidak lagi bebas menyuarakan pandangan di Dewan Rakyat, lantas akan menganjurkan siri jelajah ke seluruh negara bagi membawa suara rakyat.

Mendakwa pembangkang dilayan seperti budak sekolah yang dikenakan pelbagai sekatan, tindakan sedemikian didakwanya menyebabkan pembangkang sukar untuk menyuarakan keperluan rakyat.

Tidakkah itu satu lagi petanda dua wajah Parlimen kita yang berlawanan?

Haji Hadi dengan penjodoh bilangannya

Mohsin Abdullah

Jika Hadi mohon maaf apa yang ditunjukkan kelak ialah sikap rendah diri, jiwa besar, tidak ego dan berani.

Adakah Hadi Awang salah dalam menggunakan penjodoh bilangan ‘ekor’ pada hal yang dirujuknya ialah manusia? Jika salah wajarkah beliau meminta maaf? Pada hemat saya iya salah sekali gus wajar minta maaf.

Sebelum hurai lanjut, imbau semasa presiden PAS itu selaku Ahli Parlimen Marang membahas usul menjunjung kasih titah diraja di Dewan Rakyat tempoh hari. Beliau menzahirkan kekecewaan kerana kata beliau bahasa Melayu masih terpinggir manakala bahasa asing (baca: khususnya Inggeris) masih menjadi keutamaan termasuk dalam urusan kerajaan.

Setuju atau tidak dengan pandangan beliau terpulang tetapi jika nawaitu beliau memang untuk mempertahan dan mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan saya kira Hadi wajar disokong malah dipuji.

Dalam mempertahankan bahasa Melayu beliau berkata: “Apa berlaku hari ini bercelaru, kedai di bandar, ibu negara semua bahasa ada, bahasa Melayu kadang-kadang halus sahaja, bahasa Inggeris besar, Inggeris dah tak ada”. Bagi saya jika ini pandangan atau pemerhatian beliau, setuju atau tidak ia harus dihormati. Tidak ada masalah.

Namun beliau juga berkata: “Dalam majlis orang putih ada tiga ekor sahaja, yang orang kita ni ramai semua boleh berbahasa Melayu, cakap Inggeris, juga surat rasmi, bicara dalam mahkamah masih Bahasa Inggeris”.

Ini ada masalah. Bukan kerana beliau tuduh orang kita guna bahasa Inggeris tetapi beliau kata ‘orang putih ada tiga ekor’. Saya setuju dengan seorang kawan lama, Syed Putra Ahmad, bekas pengarang Harakah. Kata beliau, ‘ekor’ sebagai penjodoh bilangan bagi manusia bukan sahaja salah dari segi bahasa tetapi juga salah dari aspek adab sopan.

“Apatah lagi apabila ia datang daripada ilmuan agama terkenal, pemimpin parti politik besar dan Ahli Parlimen veteran yang sepatutnya sudah cukup dewasa untuk tidak bersikap selekeh dan sewenang-wenang sedemikian,” kata Syed di Facebook.

Kata beliau tidak terkecuali Hadi juga bercakap tentang tasamuh dan kepelbagaian kaum serta budaya tetapi tanpa ragu telah ‘membinatangkan’ orang putih.

“Bagi saya,” kata Syed, “sewajarnya Tan Sri Hadi memohon maaf kepada Dewan dan rakyat amnya atas keterlanjurannya ini”. Sekali lagi saya kata saya setuju.

Syed menggunakan istilah ‘keterlanjuran’. Ya mungkin Hadi begitu bersungguh-sungguh atau penuh emosi mahu menguatkan hujah sehingga ‘terlanjur’?

Apa pun kata Syed beliau disanggah beberapa orang yang membaca catatan Facebook itu. Mereka mempertahankan Hadi dengan memberi pelbagai alasan termasuk penggunaan bahasa dialek, bahasa kolokial dan sebagainya.

Bagi saya reaksi seperti itu memang dijangkakan. Penyokong Hadi akan kata beliau tidak ada niat menghina dan istilah ‘ekor’ adalah percakapan biasa orang kampung yang simple.

Kata Syed mohon maaf adalah jalan keluar terhormat Hadi atas kesilapannya. Adakah beliau akan berbuat demikian? Menurut saya jika beliau mohon maaf apa yang ditunjukkan kelak ialah sikap rendah diri, jiwa besar, tidak ego dan berani.

Tetapi kemungkinan besar Hadi tidak akan mohon maaf, jika beliau sendiri mahu pun penyokongnya tidak akan membenarkan. Bagi mereka Tuan Guru tidak bersalah mengapa minta maaf? Adalah memalukan alim ulama dan presiden parti besar meminta maaf. Mungkin itu kata mereka.

Kata Syed dengan menggunakan alasan-alasan yang sama iaitu bahasa dialek atau kolokial, bolehkah menerima dan mewajarkan penggunaan dan penjodoh bilangan yang sama (yakni ‘ekor’) bagi ustaz, penceramah, mufti, menteri, naib presiden PAS, MB negeri-negeri PAS dan seterusnya.

Beliau beri kesimpulan terbaik: “Kepanasan api akan lebih mudah difahami dan dirasai jika ia terkena kulit sendiri”. Tepat.

Guru tuisyen ditemukan maut berlumuran darah

Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
am@hmetro.com.my

Ipoh: Seorang guru tuisyen ditemukan terlantar dalam keadaan berlumuran darah dalam sebuah rumah kedai di Jalan Chung Ah Ming, Taman Hoover, di sini petang tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohamad Sajidan Abdul Sukor berkata, laporan penemuan mayat wanita berusia 53 tahun itu dibuat suaminya pada jam 5 petang.

Menurutnya, pemeriksaan di lokasi kejadian menjumpai mayat wanita itu atas lantai di tingkat dua sebuah rumah kedai yang dijadikan pusat tuisyen.

"Mayat wanita itu ditemukan dengan kesan luka di leher dan lengan. Selain itu turut ditemukan pisau lipat berhampiran mayatnya.

"Wanita itu dipercayai meninggal dunia kurang dari enam jam sebelum mayatnya dijumpai," katanya hari ini.

Menurutnya lagi, siasatan di tempat kejadian bagaimanapun tidak menjumpai unsur jenayah atau sebarang kesan pergelutan yang boleh dikaitkan dengan perlakuan jenayah.

Mohamad Sajidan berkata, suami mangsa mendakwa wanita itu mengalami tekanan selepas mengalami kesakitan atau nanah pada mata, dan kali terakhir berjumpa adalah Khamis lalu.

"Mangsa baru sahaja menjalani pembedahan untuk mengeluarkan nanah pada matanya pada 19 Februari lalu. Dia juga pernah memberitahu suami dan keluarganya tidak tahan dengan kesakitan dan tahap penglihatan yang semakin berkurangan," katanya.

Katanya lagi, pemeriksaan awal pakar forensik mendapati punca kematian mangsa itu dipercayai akibat kecederaan kelar pada leher, dengan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.