"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Warga asing tanam mayat kawan di tapak lupus sampah ditahan polis

Bernama

SHAH ALAM: Polis menahan tujuh warga asing termasuk dua wanita bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang lelaki di Bandar Sentosa, Klang, pada 20 Jun lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Supt Kamalariffin Aman Shah berkata, kesemua suspek berusia antara 20 hingga 34 tahun ditahan di sekitar Klang susulan laporan yang diterima daripada seorang wanita warga asing pada 23 Julai lepas.

Menurutnya, wanita itu memaklumkan kepada polis mengenai kejadian pembunuhan yang berlaku di sebuah rumah kedai di Lorong Laksamana 20, Bandar Sentosa.

Hasil siasatan mendapati mangsa, seorang lelaki warga asing berusia 28 tahun, telah ditikam di bahagian badan dan leher oleh teman serumahnya.

"Pertengkaran tercetus antara suspek dan mangsa semasa mereka minum minuman beralkohol, sebelum suspek bertindak menikam mangsa sehingga menyebabkan kematian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kamalariffin berkata, enam lelaki lain yang turut berada di rumah kedai tersebut kemudian membawa mayat mangsa dan menanamnya di kawasan pelupusan sampah.

Hasil siasatan terhadap suspek yang ditahan membawa kepada penemuan mayat mangsa berserta senjata iaitu pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian.

Beliau berkata, kertas siasatan telah dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya, dan kesemua suspek telah diarahkan untuk didakwa di Mahkamah Klang hari ini.

"Suspek utama, lelaki berusia 34 tahun, akan didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Empat lagi suspek lelaki akan dituduh di bawah Seksyen 201 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan mayat, manakala kesemua yang ditahan turut berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah," katanya.

-- BERNAMA

MP PAS dakwa PM salah guna kuasa arah SKMM siasat Muhyiddin

Malaysiakini 

Ahli Parlimen PAS, Ahmad Fadhli Shaari, mendakwa perdana menteri menyalahgunakan kuasa eksekutif apabila mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat penafian Muhyiddin Yassin berhubung dakwaan pemimpin Bersatu itu menyokong warga asing menerima subsidi minyak.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata tindakan Anwar Ibrahim adalah penyalahgunaan kuasa eksekutif serius, yang melibatkan campur tangan politik ke atas badan penguat kuasa yang sepatutnya bertindak bebas dan profesional.

Ahmad Fadhli berkata penafian Muhyiddin tidak membawa sebarang unsur ancaman, penghinaan atau komunikasi tidak wajar yang boleh dikenakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

"Seksyen ini hanya terpakai ke atas penyebaran kandungan berbentuk lucah, palsu yang menyakitkan hati, mengugut atau mengganggu dan tidak meliputi penafian terhadap kenyataan politik yang dibangkitkan dalam Dewan Rakyat.

"SKMM bukan alat eksekutif dan tidak boleh diarah sewenang-wenangnya.

"Mengikut Seksyen 4(2) Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 (Akta 589), SKMM hendaklah menjalankan fungsinya secara bebas dan tidak tertakluk kepada arahan mana-mana pihak, kecuali jika dinyatakan dengan jelas dalam undang-undang.

"Maka, arahan lisan atau terbuka oleh Perdana Menteri terhadap SKMM berhubung perkara yang menyentuh pertikaian politik peribadi adalah tidak wajar dan menyalahi semangat kebebasan institusi,” kata Ketua Penerangan PAS itu lagi.

Arahan tersebut dikeluarkan semalam selepas Muhyiddin, yang juga Pengerusi PN menafikan pernah membuat kenyataan seperti yang didakwa dan mencabar Anwar untuk mengemukakan bukti bahawa dia mempertahankan warga asing dalam isu subsidi tersebut.

Dalam satu kenyataan berasingan, SKMM mengesahkan telah menerima arahan daripada perdana menteri dan memaklumkan akan mengambil tindakan segera.

Ahmad Fadhli berkata arahan kepada SKMM untuk menyiasat kenyataan penafian yang bersifat politik boleh ditafsirkan sebagai suatu penggunaan jawatan bagi memperoleh manfaat politik dan menekan lawan.

Ia katanya berpotensi jatuh di bawah skop Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang memperuntukkan kesalahan menggunakan jawatan atau kedudukan awam bagi mendapatkan suapan atau manfaat.

Tambahnya, tindakan Anwar itu juga boleh dilihat sebagai mencabuli hak Muhyiddin sebagai warganegara yang dijamin oleh Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan, iaitu hak kebebasan bersuara.

"Malah, Perkara 8(1) menjamin bahawa semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang adil. Apabila agensi kerajaan digunakan untuk menyiasat individu atas kenyataan politik yang tidak melanggar undang-undang, maka asas keadilan dan kesaksamaan ini telah dinodai,” katanya lagi.

SPRM wajar siasat PM

Sementara itu Ahmad Fadhli berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) wajar membuka siasatan terhadap kemungkinan salah guna kuasa oleh perdana menteri di bawah Seksyen 23 Akta 694.

Seksyen itu merujuk kepada kesalahan menggunakan jawatan atau kedudukan untuk mendapatkan suapan.

Ahmad Fadhli juga mencadangkan agar Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen atau Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) memanggil SKMM dan Pejabat Perdana Menteri untuk memberikan penjelasan tentang asas dan justifikasi arahan terhadap Muhyiddin itu.

"Hakikatnya, jika ini bukan satu salahguna kuasa, apakah lagi nama yang sesuai? Malaysia adalah negara hukum. Tiada siapa, hatta perdana menteri sekalipun, boleh bertindak sesuka hati menggunakan agensi kerajaan untuk mendiamkan musuh politiknya. Tindakan ini mesti dipersoalkan dan dipertanggungjawabkan," katanya.

Wakil rakyat Pasir Puteh terperangkap agenda politik PAS

Nora Mahpar

PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik percaya Ahli Parlimen Pasir Puteh dari PAS, Nik Muhammad Zawawi Salleh terperangkap agenda politik partinya, selepas mendakwa usaha kerajaan menoktahkan kemiskinan tegar bercanggah dengan fitrah kejadian manusia.

Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya berkata semua pihak sedar usaha membasmi kemiskinan adalah tuntutan kepada semua kerajaan yang mentadbir negara, malah sejarah pentadbiran Islam dahulu membuktikan kemiskinan tegar wajib dibasmi.

“Adakah Ahli Parlimen PAS ini lupa pada sejarah bahawa pada zaman pentadbiran Khalifah Umar Abdul Aziz tidak ditemukan lagi orang yang berhak menerima zakat dan keprihatinan negara, sehingga harta itu dibawa kembali ke baitulmal,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas kenyataan Zawawi ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat pada Isnin yang dilaporkan mendakwa istilah menoktahkan kemiskinan sebagai retorik kosong dan bercanggah dengan fitrah kejadian manusia.

“Saya kadang-kadang rasa agak terkejut bila perkataan ‘menoktahkan kemiskinan’ disebut. Istilah sebegini sebenarnya jadi sembang kosong.

“Ia bercanggah dengan naluri fitrah sebenar yang Allah cipta manusia. Mana-mana negara mesti ada kemiskinan,” katanya seperti dilaporkan Harakah Daily.

Mengulas lanjut, Tawfik berpandangan sekiranya jumlah penduduk miskin bertambah maka implikasinya besar sehingga memerlukan kerajaan menambah peruntukan subsidi yang pada asalnya boleh dialihkan kepada peruntukan pembangunan lain.

“Ini menyebabkan kebergantungan berterusan golongan berkenaan kepada pihak kerajaan tanpa berusaha keluar daripada kelompok miskin tegar,” katanya.

Justeru, beliau menegaskan kemiskinan tegar tidak wajar dibiarkan tanpa sebarang tindakan, strategi dan usaha tuntas daripada kerajaan.

“Malah menoktahkan kemiskinan itu adalah tanggungjawab utama dan menggerakkan usaha yang dilakukan oleh kerajaan hari ini merupakan kejayaan dalam proses pelaksanaan,” katanya.

Pengerusi Yayasan Basmi Kemiskinan Zainal Abidin Sakom pula berkata sebagai badan menggerakkan pelbagai usaha membasmi kemiskinan sejak ditubuhkan pada 1990, ia berjaya membantu mengurangkan kadar miskin tegar dari 137,000 kepada hanya 20,000 orang ketika ini.

“Kita sudah menunggu 35 tahun untuk capai matlamat supaya tiada lagi miskin tegar dan Alhamdulillah di Selangor kita dah capai pada tahun ini,” katanya.

Tegasnya, usaha menoktahkah kemiskinan memerlukan komitmen bersungguh dari semua pihak, bukan ‘berkelahi antara satu sama lain’.

“Bincang (usaha basmi kemiskinan) tetapi jangan berkelahi,” katanya sambil menambah pihaknya komited terus melaksanakan program membasmi kemiskinan melalui pelbagai program kemasyarakatan.