"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rangka manusia ditemui di dalam pohon

Penduduk jumpa rangka manusia di dalam pokok

KOSMO!
RANGKA manusia yang ditemukan di dalam pohon aren di Sergai, Sumut. - Foto Polis Sergai
JAKARTA – Polis masih menyiasat penemuan rangka manusia di dalam pokok enau di Sei Rampah, wilayah Sumatera Utara, lapor portal berita detiknews hari ini.

Menurut agensi berita rasmi Antara, rangka manusia itu mula-mula ditemui penduduk setempat bernama Rian, 17, pada Selasa lalu. 

Ketika itu, Rian bersama dua rakannya sedang memetik buah kelapa sawit.

Rian terlihat tulang di dalam pokok enau yang sudah tumbang dan mati. 

Dia kemudian memberanikan diri membuka pokok kulit enau tersebut.

Susulan penemuan itu, polis menggesa orang ramai yang kehilangan ahli keluarga supaya membuat laporan di balai polis berdekatan. 

Polis bersama pasukan forensik turun ke lokasi untuk memindahkan  rangka manusia tersebut.

Pada rangka itu polis turut menemui  pemetik api, seluar panjang berwarna hitam, baju -T berwarna biru, gelang besi dan telefon bimbit Nokia.

“Kami menggesa penduduk yang ada kehilangan ahli keluarga supaya membuat laporan di  balai polis terdekat,” kata Ketua Balai Polis Firdaus, Inspektor Ahmad Albar. – AGENSI

Fitnah YDP Sabah berkait Zara, suri rumah didenda RM10,000

Bernama

KOTA KINABALU: Suri rumah didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen selepas mengaku bersalah membuat satu hantaran palsu dan berbaur fitnah terhadap Yang Dipertua Negeri Sabah di Facebook, berkaitan kes kematian pelajar Tingkatan Satu Zara Qairina Mahathir, Julai lalu.

Hakim Marlina Ibrahim menjatuhkan hukuman itu terhadap Asmaziah Sedek, 32, dan memerintahkan wanita itu dipenjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda.

Asmaziah didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang palsu sifatnya menerusi akaun Facebook ‘Ash Qiey’ dengan niat mengganggu orang lain, pada 9.21 malam, 29 Julai.

Hantaran komunikasi tersebut telah dibaca Setiausaha Perhubungan Yang Dipertua Negeri Sabah Abdullah Hussin di kediaman Yang Dipertua Negeri Sabah, Sri Anggerik, Luyang, pada 10 pagi, 31 Julai.

Pertuduhan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Eugenie Meredith Gilbert memohon hukuman berat sebagai pengajaran kepada tertuduh, kerana telah menyebarkan berita palsu melibatkan Yang Dipertua Negeri Sabah.

Asmaziah yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan atas alasan tidak bekerja, selain suaminya baru mendapat kerja serta tinggal jauh daripadanya dan anak-anak.

“Saya harap hukuman denda saya diringankan kerana saya juga mempunyai anak berusia lapan bulan yang masih menyusu dan seorang anak yang bersekolah di sekolah rendah,” katanya.

Inkues Zara Qairina: Kemungkinan arwah tergelincir, jatuh secara terus tipis

IVAN AMIRUL

KOTA KINABALU – Prosiding inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir yang memasuki hari keenam hari ini tertumpu kepada dua senario simulasi bina semula jatuhan menggunakan tiga patung.

Pakar patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Jessie Hiu ketika memberi keterangan di Mahkamah Koroner menyatakan bahawa senario kedua lebih hampir dengan dapatan perubatan.

Menurutnya, senario pertama melibatkan patung dalam keadaan duduk sebelum ditolak dari belakang yang menyebabkan patung jatuh dengan muka menghempap tanah pada jarak lebih jauh dari bangunan.

“Dalam senario kedua, patung dijatuhkan secara berdiri dan mendarat ke dalam parit berhampiran bangunan dengan kedudukan kedua-dua kaki.

“Senario kedua ini lebih hampir dengan keadaan sebenar berdasarkan dapatan perubatan kerana mangsa didapati mendarat dengan kedua-dua kaki sebelum bahagian belakang kepala menghentak permukaan keras,” katanya.

Dr Jessie menjelaskan dua parameter utama yang dibandingkan dalam simulasi ialah kecederaan pada kaki dan jarak tubuh dari bangunan.

Menurutnya senario kedua menunjukkan ciri yang lebih konsisten dengan kecederaan yang dialami arwah termasuk patah pada tulang tibia dan calcaneum (tumit).

Merujuk kepada eksibit I2, Dr Jessie turut menerangkan mengenai beberapa tanda tompokan gelap yang dilihat pada tubuh arwah antaranya di belakang leher, dada kiri, abdomen kiri, lengan, siku, lengan bawah serta bahagian belakang paha.

“Tompok gelap itu berkemungkinan kesan kulit mereput atau tanda lain. Saya cuba menanggalkannya tetapi ia melekat pada kulit,” jelasnya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai punca hematoma, Dr Jessie menyatakan kecederaan boleh berlaku akibat hentakan objek tumpul namun dalam kes ini ia lebih konsisten dengan kecederaan jatuhan dari ketinggian.

Dr Jessie turut bersetuju bahawa kecederaan yang dialami arwah adalah konsisten dengan keadaan mendarat menggunakan kaki sebelum belakang kepala menghentak tanah.

Dr. Jessie berkata, berdasarkan proses bina semula, kemungkinan arwah tergelincir dan jatuh secara terus ke bawah adalah tipis.

“Untuk sampai ke lokasi ditemui, tubuh mangsa mesti teranjak ke hadapan sebelum mendarat dengan kaki terlebih dahulu,” katanya. – KOSMO! ONLINE.