"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Saifuddin: Mungkin lebih 19 MP tak setuju tindakan lembaga disiplin Bersatu

Haspaizi Zain

Saifuddin Abdullah memberi gambaran kemungkinan lebih 19 daripada 25 ahli parlimen yang Bersatu tidak bersetuju dengan tindakan disiplin yang dikenakan terhadap tiga ahli parlimen termasuk Timbalan Presiden, Hamzah Zainudin.

Ini selepas pendedahan surat bertarikh 23 Nov yang dihantar kepada presiden Muhyiddin Yassin, mengandungi tandatangan 16 ahli parlimen Bersatu yang membantah tindakan lembaga disiplin parti memanggil Hamzah, selain pemecatan Wan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan dan penggantungan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal,.

Saifuddin berkata, mengambil kira 16 ahli parlimen itu, selain Wan Saiful, Wan Fayhsal dan Hamzah sendiri, sekurang-kurangnya 19 tidak bersetuju dengan tindakan lembaga disiplin parti.

Namun, katanya, angka itu mungkin lebih daripada 19.

"Kami sengaja tidak approach dua orang naib presiden yakni Ronald dan Radzi. Jadi, apa maksudnya... maksudnya daripada 25 ahli parlimen sekurang-kurangnya 19 tak bersetuju apa yang sedang berlaku.

"Jadi, dia mungkin lebih 19 (ahli parlimen) kan (jika termasuk dua naib presiden). Sengaja kita tak approach," katanya ketika ditemui dalam siri Jelajah Semarak di Ampang, hari ini.

Hadir sama sebagai ahli panel dalam program itu ialah Wan Saiful dan Wan Fayhsal.

Semalam tular satu surat yang dihantar kepada Muhyiddin sebagai luahan rasa kebimbangan terhadap tindakan disiplin yang dikenakan terhadap tiga ahli parlimen Bersatu.

Surat yang ditandatangani 16 ahli parlimen Bersatu itu membantah tindakan Lembaga Disiplin Bersatu terhadap Wan Saiful dan Wan Fayhsal, serta tidak bersetuju untuk lembaga itu memanggil Hamzah.

Untuk rekod Hamzah mengambil keputusan untuk tidak hadir ke prosiding lembaga disiplin parti.

Enam belas ahli parlimen Bersatu yang menandatangani surat berkenaan termasuk Saifuddin (Indera Mahkota); Khlir Mohd Nordan (Ketereh); Muhammad Islahuddin Abas (Mersing); Fathul Huzir Ayob (Gerik); Ku Abd Rahman Ku Ismail (Kubang Pasu); Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah); Abdul Khalib Abdullah (Rompin); Nordin Ahmad Ismail (Lumut) dan Zakri Hassan (Kangar).

Turut menandatangani surat itu, Rosol Wahid (Hulu Terengganu); Muslimin Yahaya (Sungai Besar); Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah); Roslan Hashim (Kulim Bandar Baharu); Azahari Hasan (Padang Rengas); Kalam Salan (Sabak Bernam); dan Mohd Nazri Abu Hassan (Merbok).

Menurut surat berkenaan, tindakan memecat Wan Saiful dan menggantung Wan Ahmad Fayhsal adalah tidak bijak mengganggu momentum sokongan rakyat selain boleh menggugat usaha Perikatan Nasional (PN) mencapai kemenangan dalam PRN Sabah.

Sementara itu, Saifuddin ketika ditanya kemungkinan tindakan disiplin terhadapnya kerana mendesak Muhyiddin berundur berkata dia bersedia menghadapi sebarang tindakan.

Namun dia tetap menganggap gesaannya tidak bercanggah dengan peraturan parti.

Bahkan katanya, Muhyiddin juga pernah mendesak bekas presiden Umno, Abdullah Ahmad Badawi berundur ketika di dalam Umno suatu masa dahulu.

"Ini risiko yang terpaksa dihadapi, saya bersedia, sebab pada saya, saya tak buat apa-apa...meminta presiden berundur tidak menyalahi perlembagaan (Bersatu).

"Dalam Perlembagaan Malaysia hak bersuara dijamin dan Muhyiddin sendiri pernah minta Pak Lah berundur, jadi apa masalah dia," katanya lagi.

Muhyiddin dilihat sebagai salah seorang pemimpin utama yang mendesak Allahyarham Abdullah untuk meletakkan jawatan sebagai presiden dan perdana menteri Umno pada 2009.

Dia kemudiannya, berpaling tadah dan turut menentang pengganti Abdullah, Najib Razak, pada kemuncak skandal 1MDB.

Mayat lelaki ditemui dalam rumah berkunci

ASLIZA MUSA
ANGGOTA bomba membawa keluar mayat seorang lelaki yang ditemui dalam sebuah rumah yang berkunci di Hala Pulai Timur 1, Taman Chandan Desa, Ipoh hari ini.
IPOH – Seorang lelaki ditemukan dalam keadaan tidak bernyawa di dalam sebuah rumah berkunci di Hala Pulai Timur 1, Taman Chandan Desa di sini hari ini.

Mayat mangsa yang berusia 34 tahun dijumpai di bahagian dapur oleh anggota bomba yang membantu membuka pintu rumah tersebut selepas menerima panggilan daripada pihak polis pada pukul 3.38 petang.

Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak, Shazlean Mohd. Hanafiah berkata, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai yang tiba di lokasi itu dimaklumkan terdapat seorang mangsa di dalam rumah tersebut.

“Anggota bomba yang memakai pakaian perlindungan diri (PPE) memotong mangga menggunakan peralatan khas. Selepas pintu dibuka, kita menemukan seorang lelaki di bahagian dapur. Pemeriksaan mendapati mangsa sudah meninggal dunia,” katanya di sini hari ini.- KOSMO! ONLINE

Rafizi: Kalau Dr M mungkin tak akan joget dengan Trump

Malaysiakini 

Bekas Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata dia percaya sekiranya Dr Mahathir Mohamad yang menyambut Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump baru-baru ini, bekas perdana menteri itu kemungkinan tidak akan meraikannya dengan berjoget.

Dalam episod terbaru podcast 'Yang Berhenti Menteri', Rafizi berkata kearaban yang ditunjukkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim terhadap Trump menimbulkan pelbagai telahan, ketika seluruh dunia mengkritik sikap Amerika terhadap serangan Israel ke atas Gaza.

“Kalau kita tengok pimpinan Eropah yang semakin banyak tidak bersetuju dengan sokongan ‘blank cheque’ Amerika Syarikat kepada Israel dan Netanyahu, mereka pun berjumpa Trump.

“Tapi kita boleh tengok bahawa body language, dari segi percakapan itu, semuanya dibuat dalam suasana yang rasmi dan tidak menunjukkan hubungan peribadi yang akrab. They actually keep a distance.

“Bila timbul soal berjoget semua ni, saya fahamlah, mungkin Datuk Seri Anwar was caught at the moment.

“Saya rasa kalau Tun Mahathir yang berada di tepi, dia takkan berjoget. Mungkin Najib (Razak) dan Datuk Seri Anwar berjoget, kerana rasa perlu menunjukkan keakraban dan penerimaan orang lain di peringkat antarabangsa terhadap mereka.

“Besar kemungkinan Tun Mahathir, contohnya, saya tak rasa dia berjoget. I do my job as Prime Minister, I respect you as the President of the US, but we are not friends, because I disagree with a lot of things. I disagree with you personally as a person, I disagree with your decisions as the President of the US,” kata ahli parlimen Pandan itu.

Aksi Anwar menari mengikut tarian Trump ketika ketibaannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 26 Okt lalu mencuri tumpuan apabila video mengenainya meraih puluhan juta tontonan.

Ia merupakan kali pertama Trump tiba ke Malaysia selepas dijemput sebagai tetamu pada Sidang Kemuncak Asean ke-47.

Ketika tiba di Kompleks Bunga Raya KLIA, Trump disambut sekumpulan penari kebudayaan sebelum dia dilihat turut menari mengikut irama bersama penari berkenaan.

Anwar yang ada bersama juga kelihatan terhibur dengan gelagat Presiden AS itu, sambil turut menggerak-gerakkan badannya. Aksi itu kemudian menerima pelbagai reaksi daripada netizen.

Dalam pada itu, Rafizi berkata dunia tahu pandangan Trump dan pendirian parti Republikan yang tidak menyebelahi Palestin.

“Bila dia (perdana menteri) menunjukkan keakraban yang melebihi daripada garis rasmi di antara dua orang yang mewakili negara masing-masing, ia akan jadi bahan telahan ramai orang," katanya.

Rafizi turut merujuk kepada satu ciapan di X oleh seorang rakyat Palestin yang melahirkan rasa kecewa terhadap sambutan yang diberikan kepada Trump.

Namun katanya, rakyat Palestin itu menerima kecaman daripada segelintir netizen Malaysia yang mengatakan mereka tidak berterima kasih terhadap bantuan yang diberikan negara ini.

"Bila saya baca dua tiga komen daripada rakyat Malaysia... saya malu sebenarnya, sebab kalau kita berada di tempat orang Palestin, what do you expect..

"Memanglah dia rasa (kecewa).. dia (rakyat Palestin) tiap-tiap hari bertempur dan terpaksa melalui penderitaan itu.

“Dan dua tokoh utama yang menyebabkan perkara itu, Netanyahu dan Presiden US yang memberi backing, sudah tentu mereka akan kata 'what are you doing'.." kata Rafizi.