"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penunjuk perasaan desak Azam letak jawatan, ancam buat himpunan Bersih 6

Alyaa Alhadjri

Ratusan turun ke jalan raya di Kuala Lumpur hari ini bagi menggesa peletakan jawatan dan penahanan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki.

Ia susulan skandal pemilikian sahamnya serta dakwaan yang disiarkan laporan Bloomberg, yang pegawai SPRM bersekongkol dengan ahli perniagaan untuk mengambil alih syarikat lain secara paksa.

Selain Azam, peserta himpunan Tangkap Azam Baki 2.0 hari ini turut menyasarkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang menurut mereka mempertahankan Azam daripada desakan letak jawatan sementara siasatan bebas dijalankan terhadapnya.

Dengan peserta mula berkumpul sekitar pusat beli-belah Sogo pada jam empat petang tadi, penganjur himpunan daripada NGO Mandiri didekati oleh seorang anggota polis berpakaian biasa dan mengarahkan mereka agar memindahkan himpunan beberapa ratus meter dari situ, bagi menghalang orang awam yang ingin membeli-belah sempena Tahun Baru Cina dan bulan puasa beberapa hari lagi.

Wakil-wakil masyarakat sivil serta beberapa anggota Parlimen menyampaikan ucapan sambil berdiri di belakang sebuah trak pikap.

Antara yang berucap adalah Anggota Parlimen Pandan Rafizi Ramli, yang mengingatkan kerajaan bahawa lebih banyak protes akan dibuat jika tiada tindakan diambil terhadap Azam.

Menurutnya, himpunan hari ini hanyalah untuk melihat tindak balas kerajaan atas dakwaan terhadap ketua pesuruhjaya SPRM itu.

“Jika kerajaan masih tak mahu gantung Azam dan tak mahu adakan siasatan yang bebas dan telus, maka kita tiada pilihan lain kecuali turun berkali-kali sehingga Azam turun,” kata bekas menteri ekonomi itu.

Rafizi turut mengingatkan Anwar bahawa dia, sebagai ketua pembangkang pada 2022, pernah menyokong gesaan agar Azam berundur.

Justeru, kata bekas timbalan presiden PKR itu lagi, rakyat hari ini memang menjangkakan pendirian dan tindakan yang sama daripada Anwar.

Dia turut berkata Anwar, sebagai presiden PKR, pernah menyindir ahli parti itu yang dianggap “merengek” tanpa memberi sumbangan produktif.

“Kepada Anwar, kami (ahli PKR) merengek dan merungut sebab kami cintakan negara…jadi bila rakyat marah anda, anda juga tak jatuh bersama-sama dengannya (Azam),” katanya lagi.

Dengan sentimen yang sama, Pengerusi Bersih Muhammad Faisal Abdul Aziz memberi amaran himpunan lebih besar akan diadakan, dengan membayangkan kemungkinan penganjuran Bersih 6.

“Ini peringatan daripada rakyat. Kita tidak mahu ada lagi rasuah, terutama bila libatkan Azam,” katanya, yang turut mengimbas kembali protes terhadap Azam - juga berhubung isu pemilikan saham - pada 2022.

Dakwaan berkaitan lain

Sementara itu, Anggota Parlimen Subang Wong Chen berkata jawatankuasa yang ditubuhkan kerajaan bagi menyiasat pemilikan saham Azam seharusnya turut meneliti dakwaan lain yang berkaitan.

“Azam kata dia sudah jual sahamnya, tapi dia rugi RM400,000 dan kelihatan langsung tak kisah.

“Jadi beritahu rakyat - apakah aset semasa anda? Saya cabar anda. Apa kereta yang anda ada? Rumah? Ada berapa isteri?” soal Wong.

Terdahulu hari ini, Azam berkata dia akan memberi kerjasama penuh kepada jawatankuasa yang menyiasatnya.

Dia juga memberikan komitmen untuk bekerjasama penuh termasuk mengemukakan dokumen yang diperlukan.

Turut berucap Anggota Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad, yang mengingatkan Anwar berkenaan himpunan-himpunan besar yang pernah diadakan sejak dua dekad lalu, termasuk gerakan Reformasi yang dicetuskannya sendiri.

“20 tahun lalu, kita berkumpul untuk melawan kezaliman. 10 tahun lalu, (kita lawan) 1MDB.

“Hari ini juga sama. Kita tak mahu orang ambil wang negara,” katanya.

Keadilan dalam penguatkuasaan

Selepas ucapan, orang ramai mula berarak menuju Dataran Merdeka, diiringi paluan gendang, lagu protes dan laungan “Tangkap Azam Baki”. Anggota polis beruniform berkawal di sepanjang jalan.

Para peserta turut mengangkat sepanduk besar, antaranya memaparkan karikatur Azam dan Anwar, masing-masing dengan tanda X.

Peserta yang berada di hadapan pula mengangkat kain rentang dengan tulisan “Lawan Dua Darjat” - tuntutan agar keadilan ditegakkan dalam penguatkuasaan terhadap dakwaan rasuah.

Turut serta wakil pelbagai kumpulan termasuk Parti Sosialis Malaysia, Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Center) dan Mandiri.

Bagaimanapun para anggota Parlimen yang hadir di himpunan itu tidak menyertai perarakan.

Para peserta kemudian berkumpul di hadapan bangunan Sultan Abdul Samad yang baru dinaik taraf.

Himpunan ditamatkan sekitar jam enam petang, dengan wakil sejumlah kumpulan pelajar menyuarakan sejumlah tuntutan, dan menegaskan masa depan mereka terencam jika tiada tindakan serius diambil untuk menangani akar punca rasuah di negara ini.

Hubungan Bersatu-PAS dijangka lebih buruk selepas Hamzah dipecat

Dineskumar Ragu

PETALING JAYA: Hubungan yang semakin renggang antara PAS dan Bersatu dijangka lebih buruk selepas pemecatan Hamzah Zainudin, yang sebelum ini bertindak sebagai orang tengah antara kedua-dua parti, kata penganalisis politik.

Bekas timbalan presiden Bersatu dan ketua pembangkang itu dipecat daripada parti pada Jumaat, bersama 16 lagi pemimpin parti yang sehaluan dengannya.

“Sekarang Hamzah sudah tiada, Muhyiddin Yassin bersendirian dan saya ragui beliau mempunyai hubungan yang baik dengan PAS,” kata Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia kepada FMT.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia juga berkata penyingkiran Hamzah dan sekutunya daripada Bersatu akan menimbulkan rasa kurang senang dalam PAS terhadap Bersatu dan Muhyiddin sendiri, ‘memandangkan PAS sememangnya rapat dengan Hamzah’.

“PAS mempunyai banyak pertikaian dengan Muhyiddin. Saya pasti pemecatan Hamzah tidak mendapat restu PAS. Muhyiddin mungkin tidak akan menikmati kerjasama yang lebih baik daripada PAS pada masa depan,” katanya.

Pada Sabtu, Hamzah memberitahu perhimpunan penyokongnya bahawa beliau tidak akan membuat rayuan terhadap pemecatannya dan menggalakkan mereka menyertai perjuangannya untuk ‘reset’ agenda mereka. Beliau juga melancarkan serangan keras terhadap Muhyiddin, dengan mengisytiharkan dirinya sebagai ‘musuh nombor satu’ presiden Bersatu itu.

Adakah Hamzah akan sertai PAS?

Syaza berkata ada kemungkinan Hamzah menyertai parti itu. Gambar yang dimuat naiknya ketika bertemu pemimpin PAS tidak lama selepas pemecatan dilihat sebagai petanda beliau tidak lagi memerlukan parti lamanya kerana kini mempunyai pilihan lain. Beliau lebih berkemungkinan menyertai PAS berbanding Umno.

Syaza berkata pertemuan Hamzah dengan PAS menunjukkan parti itu lebih selesa bekerjasama dengan kumpulannya berbanding Muhyiddin. “Saya fikir ini kerana wujud rasa lebih menghormati (daripada kumpulan Hamzah) terhadap Hadi,” katanya.

Gambar yang dimuat naik di Facebook menunjukkan Hamzah berada di Masjid Rusila bersama Presiden PAS Abdul Hadi Awang, Naib Presiden Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan dan Penolong Setiausaha Agung Syahir Sulaiman.

Takiyuddin menolak spekulasi bahawa PAS memihak kepada mana-mana puak dalam Bersatu dan menegaskan ia tidak campur tangan dalam krisis dalaman parti itu. Ketua whip Perikatan Nasional (PN) itu juga berkata Hamzah akan terus berkhidmat sebagai ketua pembangkang kerana beliau masih ahli Parlimen pembangkang.

Hamzah berkata dalam perhimpunan Sabtu itu bahawa beberapa pilihan terbuka kepada kumpulannya, termasuk menubuhkan parti baharu atau ‘parti lama dalam rumah baharu’. Katanya, sebarang keputusan sama ada kekal dalam PN atau membentuk jajaran baharu akan dibuat secara bersama.

Mazlan menjangkakan PAS mungkin menyokong Hamzah menubuhkan parti baharu yang boleh menggantikan Bersatu sebagai rakan kerjasama.

Beliau berkata kenyataan sinis Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari dan Bendahari Iskandar Abdul Samad terhadap Bersatu selepas pemecatan Hamzah menunjukkan PAS semakin letih dengan hubungannya bersama Muhyiddin. “PAS kini mengharapkan jajaran atau kerjasama baharu yang dipimpin Hamzah,” katanya.

Pada Jumaat, Fadhli dalam hantaran Facebook ringkas berkata sukar untuk hidup dengan ‘jiran yang bising’, berserta gambar seorang lelaki menutup telinga dengan bantal ketika dua jiran bertengkar. Iskandar pula menulis bahawa ‘kapal yang bergolak tidak boleh memimpin armada, lebih-lebih lagi jika ia sedang tenggelam.’

Lelaki warga Pakistan enggan serah kunci motosikal, polis terpaksa dipanggil

Meor Riduwan Meor Ahmad
am@hmetro.com.my
ANGGOTA polis memeriksa lelaki warga Pakistan yang enggan menyerahkan kunci motosikal kepada anggota JPJ. FOTO Ihsan JPJ Melaka.
ANGGOTA polis memeriksa lelaki warga Pakistan yang enggan menyerahkan kunci motosikal kepada anggota JPJ. FOTO Ihsan JPJ Melaka.
Melaka: Seorang lelaki Pakistan bersikap 'kepala batu' apabila enggan bekerjasama dan menyerahkan kunci motosikalnya selama hampir sejam biarpun diarahkan anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka dalam operasi penguat kuasaan harian di seluruh negeri ini.

Pengarah JPJ Melaka, Siti Zarina Mohd Yusop berkata, berikutan itu pihaknya terpaksa mendapatkan bantuan pihak polis bagi memujuk lelaki berusia 30-an itu.

Menurutnya, lelaki itu antara empat penunggang motosikal warga asing antara yang ditahan dalam operasi kelmarin selepas gagal mengemukakan lesen memandu yang sah.

"Individu terbabit enggan memberi kerjasama dan tidak menyerahkan kunci motosikalnya walaupun diarahkan anggota penguat kuasa bagi tujuan dokumentasi dan penyitaan.

"Tindakannya menyebabkan proses penguatkuasaan mengambil masa hampir sejam, sebelum berjaya diselesaikan dengan bantuan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang hadir bagi memujuk dan mengawal keadaan," katanya dihubungi di sini.

Beliau berkata, operasi penguatkuasaan itu bertujuan membanteras pemanduan dan penunggangan kenderaan tanpa lesen memandu yang sah, khususnya membabitkan pemandu warga asing (PEWA).

Siti Zarina berkata, sebuah van dipandu warga asing membawa bakul-bakul sayur turut ditahan atas kesalahan sama.

"Hasil pemeriksaan mendapati van itu dipercayai dipinjamkan oleh majikan kepada pemandu terbabit.

"Tindakan tegas tetap diambil kerana memandu tanpa lesen adalah satu kesalahan serius yang membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain," katanya.

Menurutnya, keseluruhan enam kenderaan iaitu empat motosikal dan masing-masing sebuah van dan kereta disita dalam operasi itu dan kesemuanya dibawa ke kandang sita JPJ untuk tindakan lanjut.

Katanya, pemilik kenderaan tidak boleh 'lepas tangan' dengan membenarkan individu tanpa lesen atau warga asing memandu atau menunggang kenderaan mereka.

"Pemilik boleh dikenakan tindakan undang-undang kerana bersubahat atau cuai dan JPJ tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang," katanya.

Dalam perkembangan lain, Siti Zarina berkata, pihaknya sudah melakukan pemeriksaan bas di empat depoh bas di negeri ini bermula 9 Februari lalu hingga semalam oleh anggota Bahagian Kejuruteraan Automotif JPJ Negeri Melaka dengan kerjasama unit Laporan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA) dan Pemeriksa Kereta Motor (PKM).

Katanya, pemeriksaan itu sebagai langkah proaktif memastikan kenderaan perkhidmatan awam (KPA) khususnya bas ekspres yang beroperasi sentiasa mematuhi peraturan keselamatan dan spesifikasi teknikal ditetapkan.

"Antara fokus pemeriksaan kita adalah penggunaan tayar mengikut piawaian, kefungsian sistem brek dalam keadaan baik, pemeriksaan lampu, cermin dan pembalik cahaya, pengaktifan Sistem Kedudukan Sejagat (GPS) serta pemasangan serta pemantauan Speed Limitation Device (SLD)," katanya.