"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hubungan PAS dan BERSATU sukar untuk kembali bertaut

Penganalisis politik ramal sukar hubungan PAS dan BERSATU kembali bertaut
Muhamaad Razis Ismail
razis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Hubungan tegang PAS dan BERSATU mencerminkan keretakan struktural yang semakin mendalam dalam Perikatan Nasional (PN) sekali gus menimbulkan persoalan terhadap kestabilan gabungan itu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Afifi Abdul Razak berkata, pengakuan Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah yang bersedia membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya undi tidak percaya diluluskan menunjukkan situasi politik dalam PN kini semakin rapuh.

Katanya, kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa parti itu sedang mengkaji semula kerjasama dengan BERSATU juga memberi gambaran jelas terhadap hubungan antara kedua-dua parti utama dalam gabungan berkenaan semakin tegang.

"Ketegangan ini sebenarnya telah lama membara. PAS kini memerintah Kelantan, Terengganu dan Kedah dengan akar umbi yang kukuh, manakala BERSATU semakin bergantung kepada sokongan PAS untuk kekal relevan.

"Kenyataan Abdul Hadi bukan sekadar ugutan, sebaliknya tekanan strategik untuk memaksa BERSATU akur kepada terma PAS dalam rundingan kerusi akan datang," katanya kepada Harian Metro.

Muhammad Afifi berkata, dari sudut pilihan raya, implikasi keretakan itu cukup serius kerana Perlis berisiko tinggi jatuh ke tangan pembangkang sekiranya PRN diadakan ketika PN berada dalam keadaan berpecah.

"Di peringkat persekutuan pula, pemecahan undi Melayu-Islam dalam PRU-16 boleh menjejaskan pencapaian PN yang pada PRU-15 lalu yang kebanyakannya (dimenangi) dengan majoriti tipis.

"Ringkasnya, keretakan ini bukan lagi isyarat amaran, ia adalah ancaman nyata kepada keupayaan PN bersaing secara efektif dalam mana-mana pilihan raya yang bakal menjelang," katanya.

Sementara itu, Pengarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur, Prof Madya Dr Mazlan Ali melihat hubungan PAS dan BERSATU kini berada pada titik yang paling kritikal.

"Sekiranya, PRN Perlis berlaku, ada kemungkinan PAS akan bertanding sendirian menentang BERSATU.

"Saya yakin akan berlaku penjajaran semula dalam PN ini di mana PAS dan kumpulan Reset berkemungkinan akan menjadi satu ketumbukan yang utama dalam gabungan itu.

"Sama ada BERSATU akan bersama dengan Pakatan Harapan (PH), itu adalah antara kemungkinan yang boleh berlaku. Yang pasti, hubungan antara PAS dan BERSATU akan menjadi sangat buruk jika benar pembubaran DUN Perlis ini berlaku," katanya.

Ditanya kemungkinan hubungan PAS dan BERSATU dapat diperbaiki, beliau berpandangan perkara itu sukar untuk direalisasikan.

"Kita lihat tindakan BERSATU dan PAS nampak saling bertentangan termasuk beberapa isu termasuk perbezaan pendirian di Sabah, pertikaian dana pilihan raya dan krisis politik di Perlis. Kita nampak hubungan mereka nampak tegang.

"Jadi peluang untuk mereka kembali bertaut itu sangat mencabar," katanya.

Kedah: Pemain ragbi Sukma P Pinang meninggal dunia ketika latihan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang pemain ragbi Sukan Malaysia (Sukma) Pulau Pinang meninggal dunia ketika menjalani latihan di padang bola Batalion 2 Pasukan Gerakan Am di Kulim, Kedah.

Timbalan Ketua Polis Kulim, Tengku Mohd Faisal Tengku Yeng, berkata ibu pemain itu dimaklumkan jurulatih ragbi bahawa anaknya rebah dan tidak sedarkan diri ketika menjalani latihan kira-kira 5.30 petang semalam.

Menurutnya, Muhammad Adam Putra Syahril, 21, yang tidak memberikan sebarang respons selepas diberikan bantuan awal, dibawa ambulans ke Hospital Kulim untuk mendapatkan rawatan.

“Pegawai perubatan Kementerian Kesihatan mengesahkan pemuda itu sudah meninggal dunia sebaik tiba di hospital.

“Siasatan mendapati beliau tidak mempunyai sejarah penyakit sebelum ini dan mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar untuk proses bedah siasat,” katanya menurut Berita Harian sambil menambah kes diklasifikasikan mati mengejut.

Beliau berkata, mangsa menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi di Arau, Perlis dan sedang menjalani latihan amali di Kulim.

Kelantan: Anggota tentera didakwa tendang perut, tampar muka anak

KOSMO!

KOTA BHARU – Seorang anggota tentera didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menganiaya anak lelakinya yang berusia 10 tahun dengan cara menendang perut dan menampar muka kanak-kanak itu di sebuah rumah di sini, dua tahun lalu.

Tertuduh, Zainudin Zainal Abidin, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menganiaya seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun sebulan ketika kejadian dengan cara menendang perut dan menampar muka sehingga mungkin menyebabkan kecederaan fizikal selain gangguan emosi terhadap mangsa.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Kijang di sini kira-kira pukul 7.30 malam pada 11 Mei 2024.

Pertuduhan terhadap Zainudin dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Kamilah Che Ibrahim manakala tertuduh diwakili peguam, Samsul Bahrin.

Terdahulu, Nur Kamilah tidak mencadangkan jaminan sebelum Samsul memohon ikat jamin yang rendah diberikan kepada anak guamnya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 24 Jun depan untuk sebutan semula kes.

Tertuduh membayar jaminan yang ditetapkan mahkamah. – KOSMO! ONLINE