"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Percaturan demi menghancurkan PAS


Suasana sukar yang dilalui oleh PAS hari ini adalah merupakan antara ujian paling getir yang pernah dilaluinya.

Suasana PAS dalam keadaan sekarang tidak meninggalkan kita banyak pilihan ia hanya dua iaitu antara PAS undur ke belakang atau PAS maju ke depan.

Pencapaian PAS tidak pernah difikirkan oleh pemimpin PAS sebelum ini apabila dengan izin Allah adanya Pakatan Rakyat telah membolehkan PAS berada pada tahapnya hari ini.

Di Pulau Pinang walaupun berbekalkan hanya satu kerusi PAS dapat berperanan sebagai kerajaan berbanding dengan Johor yang ada empat kerusi PAS namun peranannya adalah sebagai pembangkang sahaja.

Pencapaian PAS dalam memecahkan tembok perkauman dipermudahkan dengan adanya PR di mana telah terbukti di tempat yang kerusi campuran PAS berjaya menembusi dengan sokongan pengundi Cina dan India.

Sentimen pengundi Cina dan India banyak dipengaruhi oleh asakan Pakatan dan manisfesto yang dibawa. PAS telah berjaya memanfaatkan sokongan ini apabila ia bersama PR dan berjaya mendapat sokongan pengundi bukan Melayu.

Umno kecewa

Perkembangan dan pencapaian PAS sangat menyakiti Umno, sebab itulah sejak pasca 2008 lagi, Umno cuba melemahkan kebangkitan PAS. Taktik Umno menggunakan umpan “perpaduan Melayu” bagi melemahkan kemaraan PAS.

Usaha sejak 2008 tanpa henti kononnya Melayu perlu bersatu-padu dan mengharapkan PAS dan Umno dapat melakukannya. Digerakkan slogan palsu ini bukan kerana Melayu perlu bersatu tetapi supaya PAS menjadi lemah dan memecahbelahkan kekuatan Pakatan.

Slogan “perpaduan Melayu” naik satu tahap lagi dengan mempertaruhkan Islam sebagai umpan untuk PAS. Maka bermulalah episod isu Islam untuk menggoda PAS supaya PAS dipisahkan dari Pakatan. Mereka membawa isu sentimen Islam dengan mempromosikan PKR sebagai liberal Islamnya manakala DAP adalah anti-Islam.

Serangan media ini bermula sejak 2008 hingga kini namun PAS tidak berganjak menyatakan komitmen kepada PR. Isu perpaduan Melayu dan Islam hanyalah usha untuk melemahkan kemaraan PAS dan tanda kekecewaan Umno, tidak lebih dan tidak kurang.

Usaha pecah saf PAS

Salah satu taktik Umno melemahkan PAS ialah menyokong dari dalam PAS mereka yang sedia mengambil jalur keras untuk membawa Islam.

Hujah yang selama ini dibawa oleh ISMA dan PERKASA sudah menyusup dalam PAS kononnya untuk memelihara dasar parti, Pakatan tidak menguntungkan Islam dan mara ke Putrajaya hanya untuk memenuhi kehendak Anwar dan PAS menjadi kuda tunggangan DAP.

Begitu juga isu keputusan Tahaluf Siyasi PAS dituntut beberapa kali oleh Multaqa Ulama PAS untuk dibuat penilaian semula walaupun PAS berpegang dengan tahalufnya.

Percaturan kali ini bukan aturan dan aturcara yang ditetapkan oleh PAS dalam mencari penyelesaian. Kalau hendak dikatakan PAS tidak pernah berkonflik itu satu pembohongan tetapi PAS ada caranya sendiri.

Namun kali ini ‘orang luar’ yang mencaturkan PAS dan penyelesaiannya adalah mengikut skrip yang tamat ceritanya ialah “lemahkan PAS dan kemudian hancurkannya!”

Membentuk kelompok

Walaupun selama ini isu kelompok memang tidak dapat dielakkan dalam PAS tetapi ia hanya perbezaan pendapat yang masih di bawah kawalan. Namun semenjak kebelakangan ini usaha memecahkan lebih berstruktur dan canggih.

Taktik musuh PAS cuba membahagikan dua kelompok antara yang mempertahankan keberlangsungan Pakatan yang mereka gelar “Anwarinas” dan kelompok yang kononnya mempertahankan dasar PAS iaitu “ulama”.

Umno tahu selagi kelompok yang mahu melihat PAS maju ke depan melalui Pakatan menguasai parti maka amat sukar strategi Umno melemahkan PAS dari dalam.

Taktik pecah seterusnya ialah menanamkan kebencian kepada kelompok yang mahu bersama Pakatan dengan tohmahan dan fitnah seolah kelompok ini lebih pentingkan kuasa dan sedia menggadaikan perjuangan PAS demi bersama Pakatan.

Kelompok ini difitnah sebagai mengamal Islam liberal, tunduk kepada Lim Guan Eng dan menjadi barua kepada parti lain malah hilang wala’ kepada parti.

Taktik ini berjaya didoktrinkan sehingga perpecahan dalam PAS bukan lagi perbezaan pendapat biasa tetapi perpecahan yang menguntungkan strategi musuh yang sudah merekrut unsur dalam PAS sendiri.

Alat paling berkesan ialah sosial media yang menjadi rujukan utama doktrin pemisahan kelompok oleh musuh. Anasir dalam PAS digunakan untuk mengapikan lagi kebencian sehinggakan tidak ada lagi perasaan hormat menghormati malah ramai yang menjadi mangsa doktrin ini tanpa disedari.

Grand Design dan End Game

Trend memisahkan kelompok dalam PAS ini sejak 2008 adalah untuk membina momentum bagi Mesyuarat Agung Tahunan parti di mana ia adalah usaha penghapusan satu kelompok dalam PAS untuk membuka jalan supaya PAS akan lebih mesra Umno dan seterusnya meninggalkan PR.

Ini adalah “Grand Design” dan “End Game” yang ingin dicapai oleh elemen Umno dalam PAS. Para konspirator melontarkan isu hudud, isu persempadanan semula dan isu anti Islam sebagai umpan menarik PAS lebih jauh ke dalam perangkap jahat mereka.

Pencapaian objektif strategi mereka ialah pecahkan PAS supaya PAS tiada lagi dalam Pakatan dan kerana itu lebih mudah untuk Umno menguasai PAS dan sekaligus melemahkan PAS yang sudah jauh ke hadapan kini.

Seruan saya

Mari kita secara jujur dan ikhlas serta dengan mendapat petunjuk Allah untuk berfikir sejenak kegilaan apakah yang telah menimpa PAS hari ini.

Ulama, wala’ dan dasar parti cuba dipertaruhkan bagi tujuan kelompok kecil yang bekerja untuk tuan-tuan besar di luar PAS yang mahu melihat PAS lemah dan kemuncaknya hancur.

Ketahuilah bahawa ia bukan soal ada “Anwarinas”, “liberal”, “anti hudud” atau “broker dan barua” dalam PAS seperti yang cuba dimomok-momokkan, ia adalah tentang satu konspirasi jahat dan para konspirator ada di kalangan ahli PAS dan pimpinan PAS sendiri di semua sektor parti.

Tentera setia mereka ialah di kalangan facebookers hantu, bloggers upahan dan pengadu domba yang cap jarinya menyertai PAS belum pun kering lagi.

Pesan saya, jaga dan selamatkanlah PAS dari para konspirator dan PAS pada saat ini memerlukan kepimpinan yang tegas dan kembali kepada landasan perjuangan yang betul, berhemah dan berperinsip.

Lebih utama PAS memerlukan ahlinya yang bijak membaca gerak geri para konspirator, umpama pepatah, “sekilas ikan di air sudah kutahu jantan betina”.
-malaysiakini-

GST: Penerangan parti keris jadi bahan ketawa

DR AZMAN IBRAHIM
Hari ini penamaan calon PRK Rompin. Siapa menang dan siapa kalah dalam PRK Rompin ini tak akan mengubah kerajaan yang memerintah. Tetapi sebenarnya PRK Rompin mempunyai manifestasi yang besar dalam arus politik negara.

Rompin adalah satu kawasan parlimen di negeri asal Perdana Menteri. Kedudukan Parlimen Rompin bersempadan dengan Parlimen Pekan yang diwakili PM. Allahyarham bekas Ahli Parlimen Rompin adalah sahabat baik Perdana Menteri yang sentiasa berada di belakang Ahli Parlimen Pekan tersebut dan salah seorang penasihat yang berperanan untuk memastikan kelangsungan kuasa beliau di Sri Perdana, Putrajaya. Kemalangan helikopter berlaku ketika dalam perjalanan balik dari kenduri kahwin anak Perdana Menteri. Rompin dan Pekan sama-sama kawasan majoriti pengundi Melayu dengan peratusan melebihi 87%.

Satu tagline yang paling jelas, inilah PRK yang pertama selepas perlaksanaan GST. Kita mendengar keluhan rakyat di pelbagai peringkat sampai Ahli Parlimen Umno pun turut mengeluh apabila anak Ahli Parlimen tersebut dimasukan ke hospital swasta dan kena GST walaupun beliau sendiri yang turut sokong untuk meluluskan GST! Kalau kata bodoh kan marah!

Benar sebagaimana yang dicanangkan oleh Pak Menteri bahawa rakyat akan semakin faham GST selepas perlaksanaannya. Memang sekarang rakyat dah faham termasuklah rakyat Umno.

Walaupun jentera penerangan parti keris ini cuba masuk kampung untuk menjelaskan bahawa punca harga barang naik bukan disebabkan GST tetapi kerana salah peniaga yang menaikkan harga barangan namun nampaknya usaha ini menjadi bahan ketawa orang ramai.

Setakat duduk berdegar-degar marahkan Umno dan GST dalam kedai kopi, ianya tak memberi banyak makna, kita buat himpunan bantah GST, Perdana Menteri jeling sebelah mata sahaja. Kita tulis macam-macam artikel penjelasan GST, Pak Menteri peduli apa! Jadi kita nak bercakap dalam bahasa apa supaya Perdana Menteri faham akan rintihan rakyat? Inilah yang dinamakan bahasa undi. Dalam hal ini rakyat Rompin sangat bertuah kerana mereka akan diberi peluang untuk mengadili tindakan-tindakan kerajaan yang telah meletakkan kehidupan rakyat dalam suasana yang sukar.

Sekiranya mereka mengambil jalan terhormat untuk menyatakan kepada kerajaan bahawa kami bantah segala tindak-tanduk kamu dengan undi kami, keberanian rakyat Rompin ini akan dikenang sebagai wira dan diingati untuk satu tempoh yang panjang. Anak-anak mereka kelak akan menghargai keberanian ibu bapa mereka.

Angka majoriti kemenangan BN di Rompin dalam PRU13 dengan lebih 15 ribu undi sebenarnya tak terlalu banyak kerana setiap pengundi hanya mempunyai 1 undi. Kalau semua orang bertekad nak buat perubahan, masing-masing dengan kuasa 1 undi wajar mengambil tindakan untuk jangan undi BN!

Kalau rakyat Rompin sayang sangat dengan Najib dan Allahyarham Jamaludin Jarjis, jangan bimbang kerana dengan tak mengundi BN di Rompin, Najib tetap akan menjadi PM dan Rosmah tetap akan jadi first lady!

Tetapi satu undi anda kepada BN bermakna anda setuju dan sokong GST! Setuju dan sokong GST bermakna anda redha untuk menerima segala kesan dan akibat perlaksanaan GST

Hanya di Brunei: Bapa Sultan Terkaya, Anak Qari Al-Quran Terbaik Dunia (Gambar)

Tranungkite
Sungguh cantik sungguh manis pasangan diraja yang baru melangsungkan pernikahan iaitu YTM Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Malik dan YAM Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi'atul 'Adawiyyah.

Kecantikan dan keayuan Raabiatul Adawiyah sememangnya tidak mampu disangkal lagi. Bahkan, beliau juga mempunyai pencapaian tinggi dan terpuji biarpun baru berusia 22 tahun.

Yang paling menarik, Raabiatul pernah mencapai gelaran Pembaca Al-Quran Terbaik Muslimah (Best Muslimah Al-Quran Recital) pada tahun 2013 kerana berjaya mewaliki negara dalam Pertandingan Wanita Muslimah di Republic Indonesia.

Perkara itu dikongsikan sendiri oleh Prince Abdul Malik melalui luahan dibawah;

  • "YANG Mulia Dayangku Raabi'atul 'Adawiyyah binti Pengiran Haji Bolkiah sudah terbiasa dengan didikan keagamaan dan sikap bersopan santun daripada kedua-dua ayahanda dan bonda dalam menjaga akhlak dan juga sikap hormat-menghormati di antara satu dengan yang lain bahkan keupayaannya dalam menjaga adinda-adinda ketika keduanya sibuk dengan tugasan merupakan satu kelebihan yang dimilikinya.
  • "Sikap dan keupayaan Yang Mulia Dayangku Raabi'atul 'Adawiyyah tertanai begitu sebati dalam diri membawanya melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan yang paling menonjol ialah keagamaan. Berkat didikan keagamaan yang begitu kuat daripada sekolah agama lagi serta bimbingan daripada ayahanda dan bonda yang begitu memperhatikan pendidikan agama, lebih-lebih lagi bondanya Pengiran Hajah Noor'aismah binti Pengiran Haji Ismail, seorang guru agama mengajar pelajaran Al-Qur'an telah memberi inspirasi kepadanya mengikuti beberapa Peraduan Membaca Al-Qur'an antaranya mewakili sekolah agama dan menyertai pertandingan tersebut yang diadakan di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah pada tahun 2005 dan mengikuti Skim Tilawah Al-Qur'an Remaja pada tahun 2008 serta menyertai Pertandingan Dikir Dabai'ie Di Antara Sekolah-Sekolah Menengah dan Maktab-Maktab Senegara pada tahun 2008, di samping pernah mengikuti program Membaca Mandiri Minda di Sekolah Menengah Menglait pada tahun 2005. Dengan kejayaan ini turut membawanya berjaya mendapat gelaran Pembaca Al-Qur'an Terbaik Muslimah (Best Muslimah Al-Qur'an Recital) keseluruhan dari kesemua aspek pada tahun 2013 apabila berjaya mewakili negara dalam Pertandingan Wanita Muslimah di Republik Indonesia yang bersangkut-paut dengan aktiviti keagamaan.
  • "Tidak hairanlah jika Yang Mulia Dayangku Raabi'atul 'Adawiyyah begitu aktif dalam aktiviti kebajikan yang melibatkan kaum Muslimah dan membolehkannya memberikan pertolongan sewaktu mengikuti Pertandingan Wanita Muslimah yang menghendaki mengikuti beberapa aktiviti yang bermanfaat. Kejayaannya dalam usia yang begitu muda memegang gelaran Pembaca Al-Qur'an Terbaik Muslimah keseluruhan setelah berjaya mengalahkan peserta-peserta dari negara-negara Islam yang lain seharusnya dijadikan contoh dan ikon bagi remaja dan wanita Brunei kitani dalam memperjuangkan hak asasi wanita di negara ini bahkan penyertaan tersebut bukan hanya sekadar suka-suka tetapi telah membuktikan keupayaan Muslimah negara ini menjalankan apa jua aktiviti-aktiviti kebajikan dan keagamaan setaraf dengan negara-negara Islam di dunia. Perjuangannya dalam menyertai pertandingan tersebut bukan terhenti di situ sahaja setelah berjaya merangkul gelaran tersebut bahkan semangat yang dimiliki Yang Mulia terus diperjuangkan setelah kembali ke negara ini dengan berhasrat menyumbangkan aktiviti amal kebajikan terutama sekali kepada hal ehwal kesejahteraan kaum wanita, ibu-ibu dan remaja.
  • "Dalam kalangan keluarga dan rakan-rakannya, Yang Mulia terkenal sebagai seorang pelajar yang berhemah tinggi, bersopan santun dan sangat menghargai kedua-dua orang tua dan guru, di samping seorang peramah, suka beramah mesra dengan semua peringkat. Bagi ayahanda dan bonda, Yang Mulia memang kakanda contoh yang sangat menyayangi adindaadindanya. Dari sejak awal lagi, Yang Mulia sudah dilatih dengan sifat keibuan oleh ayahanda dan bonda bilamana Yang Mulia sering kali dipertanggungjawabkan untuk menjaga dan memeduli keperluan adinda-adinda yang lain sepanjang ketiadaan kedua-dua ayahanda dan bonda keluar menjalankan tugas.
  • "Semasa lapang, Yang Mulia gemar bermain badminton dan skuasy serta mendengar muzik. Dengan sifat ketekunan itu, Yang Mulia adalah sumber inspirasi dengan kejayaan wanita di negara ini." luah Prince Abdul Malik.

OHMEDIA: Kami mengucapkan semoga terus berbahagia di dunia dan akhirat buat pasangan yang sangat cantik dan sepadan ni. Semoga Allah merahmati pasangan diraja ini. Love from Malaysia.