"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wanita didakwa cederakan bekas suami


Kuala Lumpur – Seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan mencederakan bekas suaminya minggu lepas.

Norazlin Razlan, 28, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Mahyudin Mohmad Som.

Tertuduh didakwa menyebabkan kecederaan di bahagian muka Mohd Faizal Abd Latif, 36, di sebuah bangunan di Bandar Tun Razak, Cheras, di sini pada 4 petang, 13 Disember lepas mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adilah Noordin menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh, bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam S. Narasimham memohon jaminan rendah atas alasan tertuduh tidak bekerja dan bapanya hanya bekerja sebagai pekebun.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Januari depan untuk sebutan semula kes. 
-Bernama

Sumbang mahram: Bapa dihukum penjara 115 tahun, 24 sebatan

SEORANG bapa dijatuhi hukuman penjara 115 tahun dan 24 kali sebatan oleh Mahkamah Sesyen di Kuantan hari setelah mengaku bersalah atas lima tuduhan sumbang mahram dan merogol anak kandungnya antara Oktober 2013 hingga Oktober lepas.

Tertuduh berusia 53 tahun dari sebuah kampung di Pekan dituduh melakukan perlakuan itu terhadap anak perempuannya yang kini berusia 20 tahun dalam dua prosiding di Mahkamah Sesyen berasingan.

Di Mahkamah Seysen 1, tertuduh yang merupakan nelayan sungai dikenakan hukuman penjara selama 40 tahun oleh Hakim Unaizah Mohd atas dua pertuduhan melakukan sumbang mahram pada 20 Oktober 2013 dan 24 Oktober 2014.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan keji itu di sebuah rumah rakit di tepi Sungai Pahang, Kampung Tebat kira-kira jam 8.30 malam pada tarikh berkenaan ketika anak sulung daripada lima beradik itu berusia 16 dan 17 tahun.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun atau maksimum 30 tahun dan sebatan.

Unaizah mengenakan hukuman penjara 20 tahun bagi setiap pertuduhan dan mengarahkannya dijalankan secara berasingan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Shahrul Ekhsan Hassim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu di Mahkamah Sesyen 4 pula, tertuduh dikenakan hukuman penjara 75 tahun dari tarikh tangkap dan 30 sebatan atas tiga pertuduhan merogol anak kandungnya yang sama pada 14 dan 22 September serta 3 Oktober lalu di lokasi sama serta waktu sama.

Hakim Siti Aminah Ghazali menjatuhkan hukuman 25 tahun penjara dan 10 kali sebatan terhadap setiap pertuduhan setelah mendengar hujah daripada pihak pendakwaan yang dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Haryati Abdullah.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan 10 kali sebatan, bagaimanapun hukuman sebatan ke atas tertuduh dikurangkan berikutan Seksyen 288 Kanun Tatacara Jenayah memperuntukkan seseorang pesalah hanya boleh disebat maksimum 24 sebatan.

Sebelum itu dalam hujahannya, Haryati memaklumkan mangsa melarikan diri dari kediamannya pada 6 Disember lalu selepas tidak tahan diperkosa oleh tertuduh sejak empat tahun lalu sebelum bertindak membuat laporan polis pada 13 Disember lepas.

Mangsa sebelum ini hanya berdiam diri kerana takut setelah diugut oleh tertuduh bahawa dia akan melakukan perbuatan yang sama kepada adik perempuan mangsa yang lain jika perkara itu dilaporkan kepada pihak berkuasa mahupun kepada orang lain.

Walaupun perbuatan itu telah diadukan kepada ibunya, namun tiada sebarang tindakan diambil kerana ibu mangsa juga takut akibat sering dipukul dan ditendang oleh lelaki itu biarpun hanya melakukan kesalahan kecil.

Sehubungan itu Haryati berkata tertuduh wajar dikenakan hukuman yang berat atas perbuatan kejinya kerana sebagai seorang bapa, dia sepatutnya melindungi anak-anaknya dan bukan menjadi perosak kepada masa depan anak-anaknya.

Sepanjang kedua-dua prosiding itu berjalan dan sebaik hukuman dibacakan, tertuduh kelihatan bersahaja tanpa sebarang reaksi.
-Bernama

Usia tujuh tahun sudah ‘tarik bulan’

MALAYSIA DATELINE
Murid sekolah rendah majoriti Melayu didapati ramai ketagih hidu ‘gam’.

Beberapa kanak-kanak termasuk seorang yang berusia tujuh tahun didakwa turut menghidu gam atau ‘tarik bulan’ di sekitar Banda Hilir Melaka.

Pendedahan oleh seorang remaja berusia 17 tahun di akhbar Harian Metro hari ini juga memberitahu terdapat 17 ahli kumpulan mereka yang aktif menghidu gam juga mengutip upah menjaga parkir kenderaan di lokasi tersebut.

Dia yang ketagihan menghidu gam sejak dua tahun lalu pernah ditangkap dan dikurung di rumah oleh abangnya yang bekerja sebagai anggota keselamatan.

Menurut remaja berasal dari Sabah itu, kegiatan menghidu gam basikal jauh lebih ‘power’ (mengkhayalkan) berbanding dadah dan minuman keras.

Mereka juga boleh berkongsi bahan merosakkan itu dengan menjadikan bangunan rumah kedai tinggal di beberapa lokasi berasingan sekitar Banda Hilir sebagai tempat melepaskan gian dan tidur.

“Setakat ini kami tak pernah terputus bahan sebab pasti akan ada saja orang yang beri duit sebagai upah jaga parkir,” ujarnya ketika ditemui pemberita semalam.

Seorang lagi penghidu gam berusia 27 tahun dilapor berkata, dirinya telah beberapa kali disumbat ke lokap polis tetapi ketagihannya masih tidak hilang.

Dia juga memberitahu, pihak berkuasa tidak mampu mengenakan tindakan lebih daripada itu memandangkan kegiatan menghidu gam tidak tergolong sebagai kesalahan dalam Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kalau kena tangkap pun, esok lusa kami dah keluar semula dan terus hisap gam. Nak dakwa kami ambil dadah atau mabuk arak pun tak boleh,” dipetik daripada Harian Metro.

Kumpulan terbabit turut dikatakan merekrut anggota baru terutama remaja, tidur di kaki lima atau bangunan lama dengan bekalan gam yang tidak putus selain makanan percuma daripada sebuah pertubuhan agama.

Penagihan gam sukar dibanteras kerana bahan itu mudah dibeli manakala peranan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam membantu aspek pemulihan masih bergantung atas permintaan keluarga.

Gam setakat ini dimasukkan dalam jadual Akta Racun 1952 tetapi peningkatan kes menghidu gam dalam kalangan remaja semakin membimbangkan.

Bungkusan plastik berisi getah gam cair sentiasa bersama penagih bahan berbahaya itu yang lazimnya tampil berkeadaan khayal dan tidak terurus.

Penagihan gam bukan satu masalah sosial baharu tetapi kembali mendapat perhatian orang ramai susulan kes Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Azizan Manap, 44, yang dihadapkan ke mahkamah selepas mendenda muridnya kerana kesalahan menghidu gam.

Murid lelaki Darjah 5 di Sekolah Kebangsaan Taman Semarak, Nilai itu turut dikatakan mempengaruhi rakan, buli, memukul murid serta ponteng sekolah.

Bagaimanapun, Cikgu Azizan didakwa menyebabkan kecederaan pada pipi kiri murid itu di hadapan tapak perhimpunan sekolah pada jam 7 pagi, 6 April lalu.

Semalam, beliau dilepas tanpa dibebaskan di Mahkamah Majistret Seremban dengan lebih 300 guru dan penduduk sekitar Taman Semarak hadir bagi memberi sokongan moral.