"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wanita dipenjara tebuk kondom pasangan lelaki

KOSMO!

BERLIN – Seorang wanita Jerman dijatuhi hukuman penjara selama enam bulan kerana mencuri sperma pasangannya dengan membuat lubang pada kondom yang digunakan lelaki tersebut, lapor portal berita MailOnline kelmarin.

Wanita yang berhasrat untuk hamil itu mensabotaj kondom pasangannya tanpa kebenaran untuk mendapatkan sperma lelaki itu.

Mahkamah di barat Jerman memaklumkan bahawa tindakan mensabotaj kondom tanpa kebenaran dianggap sebagai ‘mencuri’. 

Pasangan itu bertemu dengan kerap untuk melakukan hubungan intim sejak awal tahun 2021.

Mahkamah di wilayah Bielefeld berkata, wanita itu mempunyai perasaan yang tidak berbalas kerana lelaki itu selesa dengan hubungan mereka yang sedia ada.

Bagaimanapun, wanita itu dilaporkan gagal dalam percubaannya untuk hamil. 

Dia sebelum itu menghantar mesej melalui aplikasi perbualan Whatsapp dengan mengaku bahawa dia hamil dan telah mensabotaj kondom tersebut.

Lelaki itu kemudian memfailkan tuduhan jenayah terhadap wanita itu yang akhirnya mengaku cuba memanipulasi pasangannya. – Agensi

Umno Terengganu lebih yakin, Pas mungkin tumbang PRU-15

MOHD SAYUTI OMAR

Pengerusi Umno Terengganu Ahmad Said kata parti itu tidak akan berpakat dengan mana-mana pihak dalam pilihan raya akan datang dan akan meletakkan calon di semua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan lapan kerusi Parlimen.

Hari ini juga tokoh sanjungan Pas Terengganu, Abdul Hadi Awang kata, tidak perlu Parlimen didesak agar dibubarkan dan biarlah ia berakhir hingga habis penggal.

Memahami kenyataan kedua-dua politis Terengganu itu menggambarkan Umno lebih berani dan yakin untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Sebaliknya, Tok Dor Hadi pula seperti tidak yakin dan tidak berani untuk menghadapi pilihan raya. Kalau Pas Terengganu yakin boleh menang dengan selamat, tentu Tok Dor Hadi tidak melarang desakan Parlimen dibubarkan dan biarlah pilihan raya diadakan segera.

Sudah nampak cula dan roma akan kebimbangan Tok Dor mengenai nasib dan masa depan Pas di negeri Penyu Menangis itu. Apakah kebimbangan Hadi itu memandangkan kemelut dalam Pas di negeri itu kini makin serius?

Keretakan dalam Pas Terengganu bermula ekoran pengunduran ahli Parlimen Kuala Nerus Khairuddin Aiman Razali daripada parti berkenaan.

Walaupun pengunduran Khairuddin itu dilihat secara peribadi, tetapi di belakangnya dipercayai ada beberapa lagi pemimpin lain yang akan membuat tindakan sama.

Apakah Terengganu akan jadi salah satu negeri pertama di pantai timur yang dikuasai Pas akan tumbang kali ini?

Tiga lelaki rompak wang tunai RM1 juta, barang kemas dari kedai pajak

Syaherah Mustafa

am@hmetro.com.my

Pasir Mas: Tiga lelaki menjadi buruan selepas terbabit dalam rompakan wang tunai bernilai RM1 juta dan pelbagai barangan kemas di sebuah kedai pajak gadai, di sini, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira 4.45 petang ketika pemilik bersama lima pekerja di premis berkenaan.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, premis terbabit didatangi tiga lelaki bertopeng dengan dua daripadanya bersenjata dipercayai pistol dan seorang lagi menggunakan pisau.

Menurutnya, mangsa bersama pekerjanya diikat dan diarahkan berada di bawah meja.

Katanya, mereka dipaksa membuka pintu besi dan mengisi wang tunai serta barangan kemas ke dalam beg yang diberikan oleh salah seorang suspek.

"Suspek kemudian mengambil kunci Perodua Alza berwarna putih milik mangsa sebelum melarikan diri.

"Susulan kejadian, polis mengadakan Ops Tutup dan sekatan jalan raya (SJR) di seluruh Kelantan selain kawalan serta sekatan di pintu sempadan Malaysia-Thailand.

"Polis juga memantau pangkalan haram yang terdapat di sepanjang Sungai Golok bagi mengesan kesemua suspek serta kenderaan yang dilarikan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhammad Zaki berkata, sepasukan anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA8) berjaya menemui Perodua Alza terbabit di Kuala Jambu, Tumpat pada 12.30 tengah malam tadi.

"Anggota kemudian membuat pemerhatian serta mendapati kenderaan pelbagai guna (MPV) berkenaan dalam keadaan tidak berkunci dan kunci ditemui di kerusi penumpang hadapan.

"Kesemua mangsa dan saksi dipanggil untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 serta Seksyen 397 Kanun Keseksaan," katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.