KOSMO!
PETALING JAYA – Jeritan seorang wanita di dalam tren Transit Aliran Ringan (LRT) di Laluan Kelana Jaya pagi tadi mencetuskan tanda tanya dalam kalangan penumpang.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 8.30 pagi ketika tren berada berhampiran Stesen LRT Setiawangsa.
Menerusi perkongsian di Threads, seorang pengguna mendakwa terdengar seorang wanita menjerit sebelum beberapa individu dilihat memegang seorang lelaki.
“Apa jadi dekat LRT Setiawangsa lebih kurang 8.30 pagi tadi? Ada perempuan jerit-jerit dan beberapa orang pegang seorang lelaki. Harapnya tak ada apa-apa,” tulisnya.
Perkongsian itu kemudian mendapat perhatian pengguna lain termasuk individu yang mendakwa berada di lokasi ketika kejadian.
Seorang pengguna mendakwa wanita terbabit meminta bantuan polis selain menuduh lelaki berkenaan menyentuhnya ketika berada di dalam tren.
“Aku ada depan pintu tadi. Dia jerit-jerit panggil polis. Dia kena ‘sexual assault’ (gangguan seksual) kot. Dia cakap lebih kurang, ‘kau ingat aku tak rasa ke kau pegang aku? Aku dari Sri Rampai tadi’. Lepas itu dia tampar lelaki itu tiga kali depan polis,” dakwanya.
Seorang lagi pengguna pula mendakwa ahli keluarganya yang berada di dalam tren turut memaklumkan berlaku kejadian melibatkan seorang wanita sebelum tren tiba di Setiawangsa.
“Nampak tadi dia jerit kuat dan seperti menarik seorang lelaki,” kata pengguna lain.
Terdapat juga penumpang mendakwa jeritan wanita berkenaan boleh didengari dari gerabak tengah, malah ada yang menyatakan suara itu turut kedengaran dari kawasan parkir berhampiran.
Bagaimanapun, punca sebenar kejadian serta dakwaan gangguan seksual tersebut belum dapat dipastikan setakat ini.
Tiada kenyataan rasmi daripada pihak polis atau Rapid Rail berhubung kejadian berkenaan ketika artikel ini ditulis. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan