BERNAMA
Ipoh: Cuba menyusup masuk ke perairan negara ini pada waktu dini hari.
Itu taktik sindiket penyeludupan warga asing yang dikesan membawa masuk 34 pendatang tanpa izin melalui laluan laut di Lumut sekitar jam 4.20 pagi kelmarin.
Kegiatan itu bagaimanapun berjaya dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak bersama Pasukan Gerakan Am (PGA).
Pengarahnya Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, operasi bermula Sabtu lalu, membabitkan dua aset iaitu kapal KM Nusa dan Bot Penggalang 1639.
Menurutnya, aset APMM terbabit melaksanakan rondaan, pengesanan serta pemintasan terhadap bot yang disyaki membawa pendatang berkenaan.
Beliau berkata, pada jam 4.20 pagi kelmarin, Bot Penggalang 1639 mengesan bot dipercayai datang dari Indonesia, dan disyaki membawa pendatang tanpa izin.
"Bot itu bergerak dalam keadaan gelap menuju Pantai Teluk Frigi.
"Menyedari kehadiran aset penguat kuasa, bot tersebut bertindak memecut laju menuju ke arah pantai sebelum menghampiri kawasan berkenaan. Tim Darat PGA yang berada di lokasi kemudiannya bertindak pantas dan berjaya menahan 34 pendatang tanpa izin pada jam 5 pagi," katanya tadi.
Mohamad Shukri berkata, kesemua yang ditahan membabitkan 22 lelaki dan 12 perempuan.
"Mereka diserahkan kepada pihak PGA untuk tindakan lanjut," katanya.
Beliau berkata, kejayaan operasi itu membuktikan keberkesanan kerjasama dan tindakan bersepadu antara APMM dan PGA dalam mengekang cubaan kemasukan pendatang tanpa izin serta aktiviti rentas sempadan melalui laluan laut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan