"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki hilang 2 bulan ditemui maut kemalangan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Misteri kehilangan seorang lelaki hampir dua bulan terjawab selepas mayatnya ditemui dalam sebuah kereta yang dipercayai terbabit dalam kemalangan di Kilometer 7, Jalan Juasseh-Bahau di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Ketua Polis Kuala Pilah, Amran Mohd Gani berkata, kereta dinaiki mangsa ditemui orang awam di satu kawasan cerun bersemak di tepi jalan tersebut.

“IPD Kuala Pilah menerima panggilan telefon dari orang awam menyatakan terdapat kemalangan jalanraya di Jalan Juasseh-Bahau membabitkan kereta.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku membabitkan kereta jenis Perodua Kancil yang ditemui bersama pemandunya di bahu jalan bercerun,” katanya menurut Harian Metro.

Katanya, turut ditemui di dalam kereta yang remuk itu adalah kad pengenalan dan lesen memandu mangsa.

“Hasil semakan pada kad pengenalan itu, mangsa dilaporkan hilang pada 6 Jun lalu oleh ibunya yang membuat laporan di Balai Polis Terachi di Kuala Pilah.

“Mangsa dilaporkan menaiki kereta Perodua Kancil berwarna kelabu berseorangan dan gagal dihubungi sehingga dijumpai,” katanya.

Tambah beliau, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah bagi tujuan bedah siasat.

BN beri laluan kepada Amanah untuk PRK Pulai, Simpang Jeram

FMT Reporters

PETALING JAYA: Pimpinan Barisan Nasional sepakat memberikan laluan kepada Amanah untuk bertanding PRK Parlimen Pulai dan PRK DUN Simpang Jeram, di Johor pada 9 Sept ini.

Pengerusi Zahid Hamidi berkata pimpinan BN merasakan Amanah berhak mempertahankan kerusi tersebut, yang kosong susulan kematian timbalan presiden parti itu, Salahuddin Ayub.

“Kita akan mendukung kedua-dua calon untuk kerusi itu,” katanya, lapor Utusan Malaysia.

Salahuddin, 61, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah pada 23 Julai setelah ditidurkan selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak.

Pada PRU15, Salahuddin menewaskan calon BN dan Perikatan Nasional dengan majoriti 33,174 undi di Pulai.

Pada PRU14, Salahuddin menepis cabaran calon BN, PAS, dan bebas dengan kelebihan 7,687 undi, atas tiket PKR.

Saifuddin dedah gambar lawatan MB, dakwa Sanusi tahu kecurian REE

FMT Reporters

PETALING JAYA: Saifuddin Nasution Ismail mendakwa memiliki gambar menunjukkan Sanusi Nor ketika menjadi menteri besar tahu mengenai kecurian unsur nadir bumi (REE) di Kedah.

Menteri dalam negeri itu mendedahkan gambar tersebut pada sidang media petang tadi, yang menunjukan Sanusi mengadakan lawatan tapak dikatakan di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik pada 19 Feb.

Bagaimanapun, tiada tindakan diambil berkaitan perkara itu, kata Saifuddin menurut Sinar Harian.

“Dia tengok sendiri bagaimana kemusnahan kawasan, bagaimana cari gali yang secara intensif dilakukan,” kata Saifuddin di bilik gerakan DUN Jitra.

“Namun dari tarikh itu tiada tindakan yang benar-benar serius telah diambil oleh beliau setelah usai lawatan ke lokasi kejadian.”

Sementara itu, Saifuddin yang juga setiausaha agung PKR berkata beliau tidak gentar dengan ugutan Sanusi untuk memfailkan saman terhadapnya, berkait dakwaan-dakwaan berkenaan.

Awal minggu ini, Saifuddin menunjukkan gambar Sanusi bersama seorang individu yang dikatakan bernama So Loi Fat, yang didakwa salah seorang daripada dua individu berkemahiran dibawa masuk oleh Perbadanan Menteri Besar Kedah (MBI Kedah) untuk melombong REE.

Saifuddin menunjukkan surat yang dikatakan ditandatangani oleh CEO MBI Kedah, Sobri Osman yang menamakan dua warga China, termasuk So.

Sanusi menjelaskan bahawa warga China itu mempunyai urusan dengan MBI Kedah dan perjanjian untuk melombong REE sebelum beliau menjadi menteri besar.

Pemimpin PAS itu turut mendakwa Perdana Menteri Anwar Ibrahim pernah memperkenalkan seorang warga Indonesia kepada prospek melombong REE di Kedah.

Katanya, Anwar dan warga Indonesia itu melawat Kedah beberapa minggu sebelum DUN dibubarkan.