"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘TikToker’ tipu janda, tinggalkan hutang RM27,000

KOSMO!
Por berkenalan dengan P pada 2021 menerusi TikTok. – 3NewsPlus
BANGKOK – Seorang pesohor TikTok di Thailand didakwa memperdaya seorang wanita untuk mengahwininya sebelum meninggalkan mangsa yang terpaksa menanggung hutang sebanyak 200,000 baht (RM26,910) seorang diri, lapor laman berita Thaiger hari ini.

Mangsa yang hanya dikenali sebagai P,  menghantar surat kepada seorang pengacara program berita Channel 3, Kanchai Kamnedploy  bagi meminta dia mendedahkan perkara tersebut.

Menurut P, dia dan pesohor dikenali sebagai Por itu berkenalan pada 2021 menerusi platform TikTok.

Selepas berjanji untuk berkahwin dengannya, P membelikan Por sebuah kereta Honda City dan membayar wang pendahuluan sebanyak 15,000 baht (RM2,018).

Ibu tunggal kepada dua anak itu turut menjual beberapa utas rantai emas serta membuat pinjaman sebanyak 120,000 baht (RM16,146) untuk Por membuka kedai alat ganti kereta.

Penipuan Por mula terbongkar apabila dia didapati menjalinkan hubungan sulit  dengan beberapa wanita lain termasuk bekas teman wanitanya.

Meskipun menandatangani sijil perkahwinan pada Februari lalu, Por tidak mengubah sikapnya meskipun P memberikan wang tambahan sebanyak 60,000 baht (RM8,073) bagi menyokong perniagaan lelaki tersebut.

Namun, selepas P kehilangan pekerjaan dan kehabisan wang, Por mula menjauhkan diri daripadanya dan memulangkan kereta yang dibayar oleh wanita itu.

Por turut menyekat panggilan P sekali gus memaksa wanita berkenaan menggunakan media sosial  sebagai platform untuk menghubungi suaminya.

Selepas perkara itu didedahkan, Por tampil menafikan dakwaan P dan menjelaskan bahawa semua wang milik wanita itu dihabiskan untuk kegunaan mereka bersama. Disebabkan itu, Por berkata, dia tidak bersalah.

Dia juga mengaku cuba menceraikan P beberapa kali, namun wanita tersebut enggan dilepaskan. – AGENSI 

Bella disyaki diculik, teman lelaki ditahan

Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my
BELLA, gambar fail. FOTO Ihsan Keluarga
BELLA, gambar fail. FOTO Ihsan Keluarga
Batu Pahat: Polis mengesahkan sudah menahan seorang individu dipercayai teman lelaki Mila Sharmila Samsusah, 32, atau Bella bagi membantu siasatan berhubung kehilangan wanita itu, pada 14 Disember lalu.

Penahanan suspek berusia 24 tahun yang bekerja di syarikat kurier itu dipercayai mampu merungkai misteri kehilangan wanita itu selepas keluar rumahnya di Taman Soga, pada jam 11.50 malam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

"Ya, saya mengesahkan kita menahan lelaki terbabit pada 25 Disember lalu dan suspek masih direman sehingga 30 Disember ini, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat," katanya.

Ismail berkata, suspek direman sehingga 30 Disember ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana culik.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai pasukan penyiasat meminta barangan peribadi Bella, Ismail berkata, pihaknya tidak dapat mendedahkan kerana siasatan berjalan.

"Polis masih menjalankan siasatan namun saya tidak mengulas lanjut berkenaan kes ini kerana boleh mengganggu siasatan," katanya.

Kelmarin, Ismail memaklumkan pihaknya juga memanggil lima individu untuk merekodkan keterangan berhubungan kehilangan ibu tunggal kepada seorang anak lelaki berusia empat tahun.

Bella dilaporkan hilang selepas keluar rumah pada malam 14 Disember lalu bersama teman lelakinya untuk ke sebuah kedai dobi di Simpang Rantai.

Bagaimanapun, wanita itu bersama teman lelaki disyaki tidak ke kedai dobi terbabit sebaliknya melencong ke tempat lain.

Kehilangannya mula disedari pada keesokannya selepas kakak Bella, Norhisham, 36, gagal menghubunginya.

Susulan itu, laporan polis pertama dibuat kakaknya di IPD Batu Pahat pada 16 Disember disusuli laporan kedua, dua hari kemudian.

‘Biar siasatan SPRM ke atas Mahathir, anaknya’

Malaysiakini

Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Shamsul Iskandar Md Akin mencabar Dr Mahathir Mohamad, yang menggesa kerajaan menahan reman semua yang memegang gelaran Tun, jika mereka tidak mendedahkan sumber kekayaan membenarkan siasatan SPRM ke atas bekas perdana menteri itu sendiri, termasuk anak-anaknya.

“Tun, cakap siang pandang - pandang. Cakap malam, dengar - dengar. Saya yakin Tun berani disiasat,” kata pemimpin PKR itu dalam satu kenyataan yang turut dimuatkan di media sosialnya.

Menurut Shamsul Iskandar, kenyataan bernada sindiran Dr Mahathir supaya 'tahan reman' semua orang yang memiliki pangkat Tun jika mereka enggan mendedahkan hasil kekayaan mereka, menunjukkan “kesombongan sikapnya”.

Ini, katanya memandangkan SPRM sedang menyiasat rakan baiknya, bekas menteri kewangan, Daim Zainuddin berhubung siasatan ke atas kes pengubahan wang haram.

Shamsul seterusnya mengingatkan bahawa semua orang termasuk mereka yang bergelar Tun, tidak berada di atas undang-undang.

“Umum mengetahui mengapa Dr Mahathir membuat kenyataan sebegini, kerana dia sememangnya tidak senang dengan Anwar Ibrahim sejak tahun 1998 lagi.

“Ini kerana keengganan Anwar yang ketika itu menjadi menteri kewangan untuk menyelamatkan syarikat-syarikat milik anak-anak Dr Mahathir ketika krisis ekonomi Asia 1997-98, yang mengakibatkan pemecatan Anwar dan mencetuskan krisis politik sehingga ke hari ini.

“Tetapi jika jujurlah kata-kata Mahathir sekiranya dia mahu semua Tun disiasat, kita boleh mulakan siasatan ke atas beliau dan anak-anaknya dahulu,” kata Shamsul.

Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu seterusnya menggesa SPRM menyelongkar sumber kekayaan anak-anak Mahathir dan juga menyiasat semula kes penyelewengan dana dan projek-projek negara yang merugikan seperti Perwaja Steel, Empangan Hidroelektrik Bakun, MISC Berhad, Pelabuhang Klang dan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), Maminco dan Kenchana Petroleum.

Semalam, Mahathir mengeluarkan kenyataan sinis susulan tindakan SPRM melancarkan siasatan terhadap bekas menteri kewangan Daim Zainuddin - seorang lagi yang bergelar Tun dan adalah sekutu rapat Mahathir - berhubung dakwaan pengubahan wang haram dan rasuah.

“Saya bersetuju sepenuhnya bahawa Tun perlu disiasat. Jika mereka tidak dapat menjelaskan di mana atau bagaimana mereka mendapat wang itu, harta mereka harus disita.

“Tidak perlu mendapatkan bukti dokumentari tentang salah laku mereka. Syak wasangka sahaja sudah memadai.

“Tun bukan sahaja perlu disiasat. Mereka juga perlu direman sehingga mereka mendedahkan sumber wang mereka.

"Jika mereka tidak berbuat demikian, ia pasti kerana mereka mahu menyembunyikannya,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.

Minggu lalu, SPRM menyita Menara Ilham, sebuah bangunan bernilai komersial tinggi, milik Daim dan keluarganya.

Tindakan itu dikatakan dibuat selepas tokoh korporat itu enggan mematuhi arahan SPRM untuk mengisytiharkan pegangan kewangan miliknya dan keluarganya.

Ia dilaporkan sebagai  sebahagian daripada siasatan antipengubahan wang haram yang bermula pada Mei lalu berkaitan transaksi korporat bernilai RM2.3 bilion pada November 1997.

Urusniaga itu melibatkan Renong Bhd dan United Engineers Malaysia Bhd (UEM).