"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rafizi dicabar apa masalahnya?

Hishamuddin Aun

Timbalan presiden PKR sedia hadapi pertandingan demi perkuat parti.

Seperti kesudahan drama Melayu di televisyen yang sesetengahnya tergantung dan membiarkan penonton membuat kesimpulan sendiri, Rafizi Ramli mengesahkan akan mempertahankan jawatan timbalan presiden PKR pada 23 Mei ini.

Logik atau tak logik jalan ceritanya seperti puluhan episod dalam slot drama TV adalah perkara kedua tetapi Rafizi nampaknya telah memainkan peranan utamanya dengan baik hingga beliau digambarkan merajuk dan kecewa sebelum menamatkan teka-teki ramai.

Seperti satu sindiran pelawak Harith Iskander bahawa pelakon drama Melayu kerap ditunjukkan bercakap kepada diri sendiri – cara paling mudah agar penonton dapat memahami apa suara hatinya dalam sesuatu babak – Rafizi harus sudah banyak bercakap kepada dirinya sepanjang beberapa hari lalu hingga sampai kepada keputusannya itu.

“Patutkah aku tarik diri (daripada pemilihan) atau patutkah aku bertanding dan biarkan perwakilan buat pilihan?” begitulah kira-kira skrip yang bermaksud bertanyakan soalan kepada dirinya di sebalik apa saja yang dikatakan ramai di luar sana.

Kalau diikutkan penjelasannya pada Rabu, penyandang timbalan presiden PKR itu tidak kisah menang atau kalah dalam pertandingan yang bakal menyusul, malah tidak ambil pusing kalau pun kehilangan jawatan menteri dalam Kabinet Anwar Ibrahim.

Seandainya jawatan nombor dua dalam parti dapat dikekalkan, maka peranan beliau dalam parti dan kerajaan dapat diteruskan.

Jika sebaliknya pula, beliau bertekad untuk kembali sebagai pemimpin akar umbi yang akan terus lincah berkempen di bawah – sesuatu yang tidak dapat dilakukannya jika masih memegang jawatan menteri ekonomi.

Pertandingan jawatan timbalan presiden bukan baru bagi Rafizi. Selepas tewas tipis kepada penyandang Azmin Ali dalam pemilihan yang dipalit kontroversi pada 2018, beliau menang dengan majoriti 16,668 undi mengatasi Saifuddin Nasution Ismail pada pemilihan 2022.

Apa agaknya yang mendorong Rafizi dilaporkan menyuarakan hasrat berundur daripada jawatan timbalan presiden dalam satu mesyuarat bersama penyokongnya selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR pada 23 April lalu?

Satu, beliau tidak puas hati terhadap sistem pemilihan parti yang dianggap tidak adil hingga beliau mencadangkan kepada Anwar supaya sebuah syarikat audit luar negara mengaudit sistem pemilihan PKR didorong suara tidak puas hati berterusan mengenai sistem pemilihan sedia ada.

Dua, antara nama besar dari ‘kem Rafizi’ tewas pada pemilihan bahagian sebelum ini termasuk Naib Presiden Nik Nazmi Nik Ahmad di Setiawangsa, Pengarah Strategi PKR Akmal Nasrullah Mohd Nasir di Johor Bahru dan Pengarah Komunikasi PKR Lee Chean Chung di Petaling Jaya.

Namun, Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh memaklumkan pada Isnin lalu bahawa semua keputusan peringkat cabang itu dimuktamadkan selepas pembentangan laporan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) serta audit pihak ketiga.

Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) sehari sebelum itu – yang turut dihadiri Rafizi — sebulat suara bersetuju menerima keputusan pemilihan yang telah dijalankan, dengan Anwar meminta semua pihak menghentikan polemik berkaitan keputusan pemilihan dan mahu parti terus bergerak ke hadapan.

“Mustahil (beliau mahu letak jawatan kerana kekalahan rakan-rakannya). Rafizi seorang yang rasional dan berprinsip tidak akan membuat keputusan tergesa-gesa dan merugikan diri sendiri,” kata Exco Hal Ehwal Agama Islam Selangor Mohammad Fahmi Ngah, antara yang terawal memberi reaksi.

“Tak benar (dakwaan itu),” kata Setiausaha Politik Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim pula.

Penganalisis pula cepat menyimpulkan kekalahan ‘kem timbalan presiden’ pada pemilihan bahagian menunjukkan pengaruh Rafizi semakin merosot yang membuka ruang kepada pertandingan jawatan disandangnya.

Hanya pada 1 Mac lalu, Anwar meminta agar Rafizi diberi ‘laluan mudah’ untuk mempertahankan jawatannya sebagai timbalan presiden sambil menambah beliau telah mengamanahkan menteri ekonomi itu untuk menjadi timbalannya, dan harus diberi ruang bagi menjalankan tugas dan tanggungjawabnya.

Sambil permintaannya itu yang dibuat pada majlis perasmian mesyuarat agung tahunan cabang Selangor di Petaling Jaya itu bukan dalam nada berseloroh, apakah hasrat Anwar itu telah diingkari?

Mungkin kerana itu juga Rafizi memohon cuti selama sebulan sehingga 31 Mei, yang bagaimanapun dipendekkannya apabila kembali bertugas dengan menyertai Anwar dalam satu perjumpaan dengan bekas perdana menteri Jepun Kishida Fumio di Pejabat Perdana Menteri pada Selasa.

Dalam tempoh cuti singkatnya itu, Rafizi dalam penjelasannya semalam turut berkongsi bahawa beliau ada menyatakan kepada Anwar dan Saifuddin kesediaannya tidak bertanding merebut jawatan timbalan presiden PKR dan sedia memberi laluan kepada menteri dalam negeri itu pada pemilihan parti dan meletakkan jawatan dalam Jemaah Menteri.

“Saya bersedia untuk tidak bertanding timbalan presiden dan tidak menyertai Kabinet untuk memberi tumpuan kepada kempen akar umbi. Kebimbangan saya banyak berkisar kepada keadaan semasa yang mana kempen kerajaan dilihat terlalu bertahan dan tidak menyerang seperti rentak PKR semasa menjadi pembangkang.

“Kedudukan saya sebagai seorang menteri menyebabkan saya terikat dengan konsensus pentadbiran kerajaan dan menyukarkan saya bersuara dengan lebih bebas seperti sebelum ini. Ia menyumbang sedikit-sebanyak kepada keadaan kempen PKR yang dilihat tidak agresif,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, Rafizi juga membuktikan dirinya seorang yang sedia mendengar pandangan hingga membawa kepada keputusannya untuk bertanding timbalan presiden di samping mengalu-alukan persaingan terhadap jawatan yang disandangnya sejak 17 Julai 2022 – sesuatu yang wajar diraikan dalam semangat demokrasi.

“Kedua-dua mereka (Anwar dan Saifuddin) memberi pandangan bahawa ada keperluan untuk saya kekal bertanding timbalan presiden dan menjadi sebahagian daripada Kabinet,” tambahnya sambil mengalu- alukan penyertaan Nurul Izzah Anwar – dilaporkan menerima banyak sokongan sebahagian besar bahagian PKR di Selangor, Perak, Pahang, Johor, Kedah dan Melaka – di samping Saifuddin.

Kedua-dua bakal calon itu belum mengumumkan keputusan, namun dijangka berbuat demikian sebelum tarikh pencalonan untuk MPP yang dijadualkan semula dari 3 dan Mei kepada 8 dan 9 Mei.

Seperti disimpulkan Anwar dalam hantaran Facebooknya: “Sejak tahun 2010 lagi, jawatan timbalan presiden sentiasa ada perlawanan. Penyandang dicabar itu perkara biasa. Jangan kita tiba-tiba jadi regresif dan buatkan calon nak berlawan tu jadi serba salah.

“Jadi, kenapa tahun ni tiba-tiba jadi isu kalau ada yang nak berlawan jawatan timbalan presiden? Dah empat penggal berturut-turut jawatan timbalan presiden dipertandingkan. Tak pernah jadi isu dan masalah. Itulah demokrasi dalam PKR.”

Tiada pemenang Nurul Izzah, Rafizi tembung jawatan no 2 PKR

Minderjeet Kaur

PETALING JAYA: Pertembungan antara Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar bagi jawatan nombor dua dalam PKR boleh menyebabkan parti pemerintah itu semakin berpecah, kata beberapa pemimpin parti.

“Tiada pemenang sebenar dalam pertandingan ini jika ia berlaku,” kata seorang sumber kanan parti.

“Kalau Rafizi menang, akan ada yang kata beliau sudah tidak mendapat keyakinan penuh parti. Kalau Nurul Izzah menang, pengkritik akan kata ia kerana pengaruh bapanya. Kalau dia kalah, orang akan kata anak perdana menteri pun tidak mampu kalahkan Rafizi.”

Persaingan kepimpinan parti semakin panas menjelang penamaan calon hari ini, dengan Rafizi menyatakan hasrat mempertahankan jawatan timbalan presiden, manakala spekulasi semakin meningkat bahawa Nurul Izzah – anak kepada presiden PKR dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim – mungkin didesak untuk mencabar Rafizi susulan rasa tidak puas hati dalaman dan insiden dalam pemilihan peringkat bahagian baru-baru ini.

Dilaporkan Rafizi, yang juga menteri ekonomi, hadir ke pejabat kementeriannya seperti biasa pada Selasa, sekali gus menamatkan spekulasi mengenai peletakan jawatannya daripada Jemaah Menteri selepas mengambil cuti baru-baru ini.

Sumber itu berkata pada awalnya, pertandingan timbalan presiden dijangka menyaksikan pertembungan semula antara Rafizi dan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail, namun pertemuan antara kedua-dua mereka baru-baru ini mungkin menyebabkan Saifuddin menarik diri daripada bertanding.

Sumber itu juga berkata persaingan jawatan timbalan presiden pada mulanya dilihat antara Rafizi dan Saifuddin, namun ‘gerakan dalaman telah menaikan nama Nurul Izzah’.

Rafizi sebelum ini menewaskan Saifuddin dalam saingan sengit bagi jawatan timbalan presiden pada pemilihan 2022, dengan kempen berteraskan reformasi dan akauntabiliti dalaman. Kemenangan itu mengukuhkan peranan Rafizi sebagai tokoh utama dalam kem reformis PKR, namun turut meninggalkan kesan perpecahan dalam parti.

Pertembungan terus antara anak perdana menteri dan seorang menteri boleh menjadi dilema politik buat Anwar, yang sekian lama menekankan perpaduan parti dan agenda reformasi.

Penamaan calon bagi pemilihan parti dibuka hari ini dan esok, dengan pengundian dijadualkan berlangsung pada 23 Mei.

Nurul Izzah menyertai politik selepas pemecatan Anwar pada 1998 yang mencetuskan gerakan reformasi dan membawa kepada penubuhan PKR.

Beliau sebelum ini berkata akan bertanding jawatan naib presiden PKR tahun ini, jawatan yang dipegangnya melalui lantikan selepas tidak bertanding dalam pemilihan 2022.

Bagaimnapun, insiden dalam pemilihan peringkat bahagian – termasuk masalah teknikal dan dakwaan salah urus undi – mencetuskan spekulasi bahawa ada pihak dalam parti tidak berpuas hati dengan kepimpinan Rafizi dan kini mendesak Nurul Izzah menyertai persaingan.

Rafizi semalam berkata beliau bersedia melepaskan jawatan dalam parti dan Kabinet serta fokus kepada kerja akar umbi sekiranya tidak dipilih semula dalam pemilihan kali ini.

Pemimpin seperti Ketua PKR Selangor Amirudin Shari dan Ketua Wanita PKR Fadhlina Sidek menyuarakan sokongan agar Nurul Izzah bertanding jawatan timbalan presiden, selain turut mendapat sokongan dari bahagian di Selangor, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Melaka, Johor, dan Sarawak.

Bagaimanapun, Nurul Izzah masih berteka-teki tentang hasratnya untuk bertanding. Semalam, Nurul Izzah berkata beliau menghormati pandangan akar umbi dan pemimpin yang menyarankan beliau menyertai saingan jawatan nombor dua dalam parti, sambil menambah beliau akan beri ‘keputusan terbaik’.

Seorang lagi pemimpin parti berkata ketidaktentuan sama ada Nurul Izzah akan bertanding memberikan gambaran kurang baik kepada PKR.

“Orang ramai sedang perhatikan PKR. Kita adalah parti pemerintah sekarang. Kita tidak mampu biarkan ketidaktentuan dalaman ini tersebar ke ruang awam dan berlarutan,” kata sumber yang rapat dengan kepimpinan parti.

“Nampak macam satu langkah ‘ad hoc’. Tiada siapa jangka nama Nurul Izzah akan muncul. Tapi kalau beliau bertanding… bagus juga ada saingan.”

Bersatu ‘tinjau-tinjau’ sekutu PRU16 tatkala momentum PN makin lemah

Minderjeet Kaur

PETALING JAYA: Bersatu kini ‘meninjau-ninjau’ sekutu politik menjelang PRU16, memandangkan wujudnya isyarat pemimpin parti semakin tidak senang duduk dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) yang diasaskannya bersama.

Petanda paling jelas dilihat baru-baru ini apabila timbalan presiden parti, Hamzah Zainudin, memberikan bayangan kemungkinan membaiki hubungan dengan bekas seterunya, khususnya Umno.

Penganalisis berkata, langkah itu didorong oleh keperluan.

“Dapat dirasakan Bersatu benar-benar gelisah tentang jangka hayat perkongsiannya dengan PAS,” kata Syaza Shukri daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

“Kini lebih jelas Bersatu sedang pertimbang pelbagai pilihan kerana sedar momentum PN semakin lemah,” katanya kepada FMT.

Bersatu dan PAS sudah lama menggambarkan diri mereka sebagai barisan bersatu dalam mempertahankan kepentingan Melayu-Islam. Namun kini, keretakan di sebaliknya mula terserlah.

PAS menggenggam sokongan akar umbi yang kuat dan mempunyai pengaruh agama yang kukuh dalam kalangan orang Melayu, manakala Bersatu – yang terbentuk oleh serpihan Umno – berdepan kesukaran membuktikan kewibawaan politiknya.

Parti berasaskan Islam itu turut mengelak daripada menamakan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri bagi pakatan pembangkang, mencadangkan ia mungkin memilih antara tokohnya sendiri memandangkan parti itu membentuk blok terbesar dalam PN dengan 43 kerusi Parlimen.

Bulan lepas, Hamzah turut mengakui kebimbangan bahawa PAS kini beroperasi lebih bebas dalam PN, menerajui kerajaan negeri Perlis, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Menurut Syaza, ketidakseimbangan itu menyemarakkan ketegangan di belakang tabir.

“Memang ada sedikit sebanyak ketegangan. Walaupun (kedua-dua pihak mendakwa) perjuangan mereka atas nama Islam dan perpaduan Melayu, kaedah mereka berbeza.

“(Tindakan) Bersatu menjauhkan diri daripada PAS kini lebih mudah dibayangkan berbanding sebelum ini,” katanya.

Umno mungkin pilih bersama PH

Penyatuan semula Umno dan Bersatu mungkin tidak akan berlaku sebegitu mudah.

“Umno mungkin lebih terbuka mengalu-alukan ahli Bersatu kembali secara individu, berbanding berunding dengan Bersatu sebagai sebuah parti.”

“Tetapi ini politik Malaysia. Sedangkan Umno dan DAP boleh duduk semeja, apatah lagi Umno dengan Bersatu,” kata Syaza.

Namun, parut lama masih terasa. Penyerpihan Bersatu daripada Umno selepas PRU 2018 dan peranannya dalam kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2020 kekal menjadi duri dalam daging bagi ramai penyokong setia Umno, kata Azmi Hassan, felo kanan di Akademi Nusantara.

Atas sebab itu, katanya, Umno mungkin cenderung memilih bekerjasama dengan PH.

“Rundingan kerusi lebih mudah diurus dengan PH kerana kurang pertindihan,” kata Azmi kepada FMT.

“Dengan Bersatu, terdapat pertindihan yang besar kerana kira-kira 80% kerusi mereka menyasarkan kawasan majoriti Melayu yang sama, dan itu suatu kekusutan strategik.”

Kenyataan Hamzah baru-baru ini dalam episod audio siar bersama bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim, yang memberikan bayangan Umno dan Bersatu mungkin mewujudkan pakatan berdasarkan ideologi bersama, mencetuskan semula spekulasi.

Bagaimanapun, Hisomuddin Bakar daripada Ilham Centre segera memberi peringatan agar kenyataan Hamzah itu tidak ditafsir dengan terlalu mendalam.

“Komen Hamzah mencerminkan pandangan peribadinya, bukan dasar parti. Beliau juga secara tidak langsung menuding jari kepada Presiden Umno Zahid Hamidi sebagai batu penghalang utama,” katanya kepada FMT.

Ketegangan itu dapat dilihat pada PRK Ayer Kuning, apabila Hamzah mencadangkan PN membentuk kerajaan negeri Perak bersama Umno-BN jika menang. Idea itu kemudian disangkal Zahid, mengukuhkan pendirian parti itu menolak sebarang penyatuan rasmi dengan Bersatu.

Syaza berkata, langkah Bersatu masih mempertimbangkan pilihan mempunyai kelebihan dan kekurangannya.

“Dari satu segi, ia menunjukkan fleksibiliti. Namun, ia memberi gambaran (parti itu) tiada hala tuju yang jelas.”