"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pertembungan dua kumpulan bersenjata di Gombak, 3 cedera

HARRITH HISHAM
Tangkap layar kejadian
GOMBAK – Polis sedang mengesan ahli dua kumpulan lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam rusuhan dan pergaduhan di Selayang Jaya, Batu Caves malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.10 tengah malam itu, tiga lelaki tempatan mengalami kecederaan selepas diserang beberapa individu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, kumpulan suspek disyaki menyerang kumpulan mangsa dengan menggunakan senjata.

Bagaimanapun, katanya, identiti individu terlibat belum dapat dikenal pasti.

“Tiga mangsa berusia 18 hingga 36 tahun yang mengalami kecederaan telah dibawa ke Hospital Selayang untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Noor Ariffin berkata, motif kejadian masih dalam siasatan dan pihak polis sedang berusaha mengenal pasti suspek yang terlibat.

Katanya, kes disiasat dibawah seksyen 324 dan Seksyen 148 kanun keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat jenayah, Inspektor Mohammad Shafiq Md Shapawi di talian 013-5154065.

Terdahulu tular klip video di media sosial memaparkan kejadian membabitkan sekumpulan individu menyerang mangsa di kawasan parkir rumah kedai. – KOSMO! ONLINE

Khalwat: Janda sempat capai selimut, dicekup dengan 'atuk'

Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my
PENGUATKUASA JAINJ menyerbu sebuah inap desa. FOTO ihsan JAINJ
PENGUATKUASA JAINJ menyerbu sebuah inap desa. FOTO ihsan JAINJ
Batu Pahat: Seorang janda sempat menggapai selimut bagi menutupi tubuhnya selepas sebuah inap desa di daerah ini diserbu pegawai dan anggota penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) kerana disyaki berkhalwat, semalam.

Wanita berusia 40-an itu ditemukan dalam keadaan hanya berselimut ketika bersembunyi dalam tandas dalam operasi pencegahan maksiat pada 10 pagi.

Menurut JAINJ, ketika serbuan dilakukan wanita terbabit didapati berdua-duaan dengan lelaki berstatus 'datuk' berusia 60-an di inap desa itu.

"Sebaik melalui taman perumahan, penguatkuasa membuat keputusan untuk memeriksa sebuah inap desa. Secara kebetulan, terdapat kereta seolah-olah ada penyewa di premis itu.

"Pada masa sama, penguatkuasa mendapati pendingin hawa terpasang dan inap desa itu mengenakan bayaran serendah RM60. Penguatkuasa mengetuk pintu dan seorang lelaki berumur senja berseluar panjang dan baju T membukanya.

"Apabila ditanya dia bersama siapa dalam bilik, lelaki memberitahu berseorangan namun penguatkuasa sudah dapat menghidu ada orang lain bersamanya," katanya dalam kenyataan.

Katanya lagi, penguatkuasa kemudia mendapati pintu tandas tertutup dan berkunci dari dalam dan pemeriksaan mendapati terdapat seorang wanita hanya menutupi tubuh dengan selimut.

"Apabila ditanya hubungan mereka, wanita itu menjawab lelaki terbabit adalah rakan dan mereka kenal sudah lama memandangkan berjiran. Rumah lelaki itu terletak kira-kira 30 kilometer dari inap desa ini.

"Lelaki masih berstatus suami orang sudah mempunyai ramai cucu manakala wanita itu, janda ada anak. Wanita ini pernah dua kali bernikah sebelum ini namun kedua-duanya berpisah.

"Mereka mendaftar masuk inap desa pada 9.30 pagi sebelum dicekup 30 minit selepas itu. Lelaki itu juga memberi alasan mereka bersama berbincang hal berkaitan perniagaan.

"Malah, lelaki juga berhasrat untuk menjadikan wanita itu sebagai isteri kedua namun disebabkan kekangan membataskan niatnya itu," katanya.

Katanya, pasangan itu ditahan dan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut dan akan didakwa mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997.

Susulan kes Shamsul, Anwar gesa menteri pantau rapat pegawai

Qistina Nadia

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengingatkan semua menteri agar memantau secara rapat pegawai masing-masing susulan dakwaan rasuah yang mengaitkan bekas pegawai kanannya, Shamsul Iskandar Md Akin.

Jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil berkata Anwar memberi peringatan itu ketika membentangkan perkembangan berkaitan Shamsul, yang telah meletakkan jawatan sebagai setiausaha politik kanan Perdana Menteri.

“PM beri peringatan kepada semua jemaah menteri untuk sentiasa pantau, terutama pegawai-pegawai. Tiada (sesiapa) akan dilindungi sekiranya berlaku apa-apa perkara mungkin bersifat salah laku.

“Tiada sesiapa yang terkecuali daripada undang-undang dalam negara kita,” katanya semasa sidang media selepas mesyuarat kabinet di Putrajaya hari ini.

Dia berkata Anwar turut mengulangi jaminannya bahawa tiada perlindungan akan diberikan kepada sesiapa, tanpa mengira kedudukan mereka, jika ada perkara yang perlu disiasat pihak berkuasa termasuk SPRM.

Ditanya mengenai kemungkinan PKR mengambil tindakan terhadap Shamsul yang juga Pengerusi PKR Melaka, Fahmi berkata belum ada perbincangan di peringkat parti setakat ini dan perkembangan lanjut mungkin hanya diketahui pada mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat yang seterusnya.

RM629,000, cerut, sut, ubah suai rumah

Sebelum peletakan jawatan Shamsul pada 25 November lalu, ahli perniagaan, Albert Tei mendakwa dia telah membelanjakan RM629,000 untuk Shamsul selepas diyakinkan bahawa dia boleh membantunya mendapatkan semula wang yang disalurkan kepada ahli politik di Sabah.

Selain membiayai kerja ubah suai, peralatan dan perabot untuk dua hartanah, Tei turut mendakwa dia membelanjakan ribuan ringgit untuk cerut premium dan sut tempahan khas buat Shamsul, yang juga didakwa meminta wang daripada Tei ketika ke luar negara.

Satu rakaman video yang disiarkan di media sosial turut memaparkan Tei berbual dengan seorang wanita — didakwa proksi Shamsul — yang memberitahunya bahawa Anwar telah memberi restu agar ahli politik Sabah dirakam secara rahsia. 

Berdasarkan tanda masa dalam video, rakaman itu dibuat pada Jumaat lalu.

Shamsul telah membuat laporan polis terhadap Tei, mendakwa tuduhan berbaur fitnah yang dipaparkan dalam video itu adalah konspirasi jahat untuk mencemarkan imej Anwar.

Namun, Shamsul tidak menyatakan sama ada laporan itu turut merangkumi dakwaan Tei berhubung perbelanjaan wang ke atas dirinya.

‘Tiada wartawan yang patut diserang’

Dalam isu berlainan, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata Anwar mengecam serangan terhadap wartawan, Haresh Deol.

“Kejadian beberapa hari lalu di Bangsar tak patut berlaku kepada mana-mana wartawan, terutama ketika mereka menjalankan tugas,” katanya.

Menurut Fahmi, kabinet menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan menyeluruh.

Terdahulu hari ini, individu bernama Krishnan Rajendran, 37, mengaku bersalah atas pertuduhan menyerang Haresh. Tertuduh didakwa bersama seorang lagi individu yang masih bebas.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000, atau kedua-duanya.

Haresh, pengasas bersama portal berita Twentytwo13, sebelum ini menyatakan harapan agar polis berjaya menahan semua individu yang terlibat bagi mendapatkan gambaran tepat mengenai apa yang sebenarnya berlaku.

Terdapat spekulasi serangan terhadap Haresh mungkin berkaitan dengan pandangannya yang lantang dalam beberapa isu, termasuk kontroversi kewarganegaraan melibatkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).