"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kedah: Wanita ditahan tunjuk jari tengah, ludah polis

FMT Reporters

Kejadian berlaku ketika dua anggota polis cuba menenangkan suspek yang menumbuk rakan sekerjanya di Alor Setar.
Serang ludah kereta polis
Video tular seorang wanita yang menunjukkan isyarat jari tengah dan meludah ke arah anggota polis dalam satu kejadian di Alor Setar.
PETALING JAYA: Polis menahan seorang wanita di Alor Setar, Kedah kerana menunjukkan isyarat lucah dan meludah ke arah seorang anggota polis dalam satu kejadian petang tadi.

Ketua Polis Kota Setar, Syed Basri Syed Ali, berkata polis menerima laporan pada 1.11 petang mengenai seorang individu dipercayai kurang siuman yang menumbuk seorang pekerja di premis sebuah syarikat di Mergong, Alor Setar.

Menurutnya, setibanya di lokasi, dua anggota polis cuba menenangkan keadaan selepas mendapati wanita tersebut, yang merupakan pekerja di syarikat berkenaan membuat kacau dan mengganggu ketenteraman awam.

“Bagaimanapun, suspek secara tiba-tiba bertindak agresif dengan meninggikan suara, memaki hamun anggota polis serta menunjukkan jari tengah ke arah salah seorang daripada mereka.

“Suspek turut membaling MyKad miliknya dan meludah ke arah anggota berkenaan sebanyak dua kali, serta meludah ke arah beberapa rakan sekerja yang turut berada di lokasi.

“Suspek juga mengeluarkan kata-kata menghina agama Islam. Kejadian itu telah dirakam oleh orang awam dan tular di media sosial,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata wanita itu kemudiannya ditahan pada 2.30 petang dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Setar esok bagi permohonan reman.

Kes disiasat mengikut kesalahan menggunakan kekerasan jenayah untuk menakutkan penjawat awam daripada menjalankan tugas, dengan sengaja menyinggung perasaan penganut mana-mana agama, dan mengaibkan kehormatan dengan membuat isyarat tidak senonoh.

BN-PH boleh tewaskan Pas di Perlis

Harapandaily

Pas berdepan risiko kekalahan sekurang-kurangnya di dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perlis sekiranya Pilihan Raya Kecil (PRK) dilaksanakan, kata bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Mahiaddin Yassin, Marzuki Mohamad.

Menurutnya, analisis data keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) serta trend beberapa PRK sebelum ini menunjukkan corak pengundian semakin memihak kepada kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Bagi DUN Chuping, Marzuki berkata, calon Perikatan Nasional (PN) daripada Pas pada PRU15 memperoleh 5,873 undi, mengatasi calon BN yang meraih 3,453 undi manakala calon PH dengan 1,602 undi, sekaligus menang dengan majoriti 2,420 undi.

“Kemenangan calon PN dari parti Pas sebahagian besarnya disebabkan oleh gelombang sokongan Melayu kepada PN pada PRU15 dan perpecahan undi antara BN dan PH.

“Ketika ini gelombang PN dalam PRU-15 telah surut dan trend beberapa PRK sebelum ini menunjukkan undi BN dan PH adalah ‘transferable’,” jelasnya yang menyambut baik keputusan Pas untuk tidak mengadakan PRK bagi tiga kerusi terbabit iaitu Chuping, Guar Sanji dan Bintong.

Beliau berpendapat jika BN meletakkan calon melawan Pas, penyokong PH akan ‘solid’ menyokong calon BN sepertimana yang ditunjukkan dalam PRK Mahkota dan Ayer Kuning.

“Jika berlaku 100% perpindahan undi PH kepada BN, majoriti calon PN di kerusi ini akan berkurang kepada hanya 818 undi sahaja.

“Dengan kemelut yang sedang melanda PAS di Perlis, hubungan dingin parti itu dengan istana Perlis dan trend kembalinya penyokong UMNO mengundi UMNO semula, 818 undi ini berkemunginan boleh melayang dengan mudah,” katanya.

Bertindak rasional

Dalam masa sama, Marzuki turut menolak anggapan bahawa pertelagahan terbuka antara UMNO dan DAP berhubung isu pengampunan Datuk Seri Najib Razak akan memberi kelebihan kepada Pas jika PRK diadakan.Buku biografi Najib

Ujarnya, meskipun wujud perang mulut antara UMNO dan DAP, kedua-dua parti akan bertindak secara rasional demi kepentingan mengekalkan Kerajaan Perpaduan.

“Bagi DAP/PH apa pun perang mulut antara parti itu dan UMNO, mereka akan tetap menyokong calon UMNO dalam pilihan raya.

“Ini kerana menyokong UMNO bermaksud mengekalkan Kerajaan Perpaduan. Mengekalkan Kerajaan Perpaduan bermaksud mengekalkan DAP/PH di tampuk kuasa.

“Jadi, menyokong calon UMNO adalah pilihan rasionaL DAP/PH,” katanya.

Beliau menambah, UMNO juga akan mengambil pendekatan rasional dengan mengendurkan ketegangan bersama DAP dan PH bagi memastikan kemenangan dalam PRK, yang disifatkannya penting dalam usaha pemulihan parti selepas prestasi terburuk pada PRU15.

Mengulas senario pengundian di DUN Bintong pula, Marzuki berkata calon Pas memperoleh 7,325 undi pada PRU15, berbanding BN 2,996 undi dan PH 2,029 undi.

Gabungan undi BN dan PH berjumlah 5,025 undi, menjadikan perbezaan dengan PN hanya sekitar 2,300 undi.

“Undi asas Pas di Bintong dalam PRU14 hanyalah 2,695 manakala undi asas BN 3,986. Ini bermakna dalam PRU15 hampir 1,000 undi BN beralih kepada PN.

“Jika 1,000 undi BN ini kembali kepada BN seperti trend yang ditunjukkan dalam beberapa PRK sebelum ini, kerusi ini juga berada dalam situasi yang amat bahaya,” ulasnya.

Sehubungan itu, beliau berpandangan UMNO mempunyai peluang realistik untuk memenangi sekurang-kurangnya dua daripada tiga kerusi DUN berkenaan jika PRK diadakan.

Dalam masa sama, Marzuki menyifatkan tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis menghantar notis kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mengadakan PRK sebagai langkah yang terlalu tergesa-gesa.

“Bagi saya Pas ‘jump the gun’ apabila Speaker Perlis menghantar notis kepada SPR untuk mengadakan PRK,” tambahnya lagi.

41 orang meninggal dunia selepas bersunat

KOSMO!
GAMBAR fail golongan muda kaum Masaai menyertai majlis bersunat secara tradisional dekat Kilgoris, Kenya. - AFP
CAPE TOWN – Sekurang-kurangnya 41 pemuda meninggal dunia selepas menjalani prosedur berkhatan mengikut kaedah tradisional yang dijalankan di Afrika Selatan pada November hingga Disember lalu, lapor portal berita MailOnline semalam.

Berkhatan merupakan amalan tradisional sebagai tanda peralihan ke alam dewasa bagi remaja dan diamalkan setiap tahun oleh pelbagai kumpulan etnik di Afrika, termasuk di beberapa bahagian Afrika Selatan.

Amalan itu lazimnya dilakukan semasa cuti sekolah musim sejuk (Jun hingga Julai) dan musim panas (November hingga Disember).

Menteri Hal Ehwal Tradisional Afrika Selatan, Velenkosini Hlabisa memberitahu penyiar tempatan bahawa 41 peserta yang menyertai majlis khatan meninggal dunia sepanjang musim panas 2025.

Beliau menyalahkan kecuaian pihak ‘sekolah peralihan ke alam dewasa’ serta ibu bapa kerana gagal mematuhi piawaian keselamatan serta nasihat perubatan.

Menurut Hlabisa, antara nasihat tidak terbukti yang sering diberikan kepada peserta adalah mengelakkan minum air dengan alasan ia dapat mempercepatkan proses penyembuhan.

“Terdapat kecuaian dari segi pematuhan kepada piawaian kesihatan di beberapa sekolah itu.

“Jika anda menghantar anak ke sekolah tersebut tetapi tidak membuat susulan, memantau dan tidak pergi ke sana untuk memastikan sama ada mereka minum air atau tidak, anda sebenarnya meletakkan anak anda dalam keadaan berisiko,” katanya.

Di Afrika Selatan, secara tradisinya pemuda diasingkan di sekolah inisiasi di mana mereka diajar nilai-nilai budaya dan tanggungjawab apabila memasuki alam dewasa. – AGENSI