"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pelajar kolej sedang jalani latihan industri ditemui maut terjatuh bangunan

NOR AINNA HAMZAH
Lokasi seorang pelajar kolej ditemukan maut di belakang sebuah restoran di Dataran Segar, Lukut, awal pagi tadi. IHSAN PEMBACA
PORT DICKSON – Seorang pelajar kolej yang sedang menjalani latihan industri ditemukan maut dalam keadaan berlumuran darah di belakang sebuah restoran di Dataran Segar, Lukut, di sini, pagi tadi.

Mangsa, lelaki tempatan berusia 21 tahun, ditemukan dalam keadaan tertiarap kira-kira pukul 6.05 pagi sebelum orang awam menghubungi talian kecemasan MERS 999 bagi memaklumkan kejadian tersebut.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Ahmad Afiq Mohd Adnan berkata, siasatan awal mendapati mangsa merupakan pelajar tahun akhir sebuah kolej di Melaka yang sedang menjalani latihan industri di sebuah hotel berhampiran lokasi kejadian.

Menurutnya, pemeriksaan forensik mendapati terdapat kecederaan pada bahagian muka serta patah tangan yang dipercayai berpunca daripada terjatuh dari bangunan, namun tiada kesan pergelutan atau kecederaan mempertahankan diri ditemukan pada tubuh mangsa.

“Siasatan mendapati mangsa menginap di sebuah bilik sewa dalam bangunan tiga tingkat yang dijadikan hostel berhampiran lokasi penemuan mayat.

“Pemeriksaan di tempat tinggal mangsa juga tidak menemukan sebarang kesan geledah, manakala tiada barangan berharga atau dokumen peribadinya dilaporkan hilang,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Port Dickson dan bedah siasat mengesahkan punca kematian akibat kecederaan pada kepala dan abdomen susulan terjatuh dari tempat tinggi dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). – KOSMO! ONLINE

Pergaduhan besar berlaku di majlis perkahwinan gara-gara tetamu ambil dua hidangan daging

Kenduri kahwin ‘riuh’ tetamu ambil dua hidangan daging
KOSMO!
TANGKAP layar menunjukkan pergaduhan berlaku di majlis perkahwinan kerana juadah daging yang diambil tetamu. - AGENSI
JAKARTA – Hajat sebuah keluarga untuk meraikan hari bahagia pasangan pengantin di majlis resepsi perkahwinan di Jawa Barat, Indonesia bertukar menjadi pergaduhan besar baru-baru ini, lapor halaman berita Radar Kaltim.

Pergaduhan  itu berpunca daripada tindakan seorang tetamu yang mengambil dua hidangan lauk daging semasa menjamu selera.

Berdasarkan maklumat yang tular di media sosial, insiden bermula apabila pihak tuan rumah berasa berang selepas menyedari tindakan tetamu berkenaan yang dianggap mementingkan diri.

Keadaan menjadi semakin tegang apabila tetamu lain mula bersuara dan merungut selepas kehabisan lauk pauk.

Malah, suasana gamat itu bertambah buruk apabila ada dalam kalangan tetamu terkejut selepas mendapati ketulan yang disangka daging sebenarnya hanyalah lengkuas.

Ekoran kejadian itu, pertengkaran mulut antara kedua-dua belah pihak tidak dapat dielakkan sehingga mencetuskan pergaduhan fizikal.

Beberapa rakaman video yang tular turut memaparkan peralatan majlis di sekitar lokasi bertaburan dan berselerak, sementara tetamu lain kelihatan panik sambil berusaha meleraikan pergaduhan tersebut.

Majlis perkahwinan yang sepatutnya menjadi kenangan manis buat kedua-dua mempelai akhirnya dicemari dengan insiden pergaduhan yang memalukan itu. – AGENSI

DUN Sarawak bubar Isnin ini?

Rudi Affendi Khalik

KUCHING: Dewan Undangan Negeri Sarawak ke-19 akan dibubarkan pada Isnin ini, bagi memberi ruang kepada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-13.

Menurut sumber, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijangka membuat pengumuman mengenai perkara tersebut di Kompleks Satria Pertiwi di Kuching pada petang Jumaat.

Difahamkan pada sebelah pagi hari yang sama, beliau akan mengunjungi Yang Dipertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar untuk memohon perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri.

Sebelum ini, teka-teki mengenai tarikh tersebut mula diperkatakan sejak sebelum Persidangan DUN Sarawak ke-19, yang berlangsung sejak 12 hingga 21 Oktober.

Difahamkan, pihak-pihak yang berkaitan dengan urusan tersebut tersebut, terutamanya pasukan keselamatan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah dimaklumkan mengenai perkara itu.

Pilihan raya kali ini menyaksikan tiada pertambahan kerusi memandangkan tambahan 17 kerusi yang diluluskan pada Persidangan DUN Sarawak pada 2025, kini dalam proses kajian persempadanan semula.

Ia dijangka mengambil masa setahun selain tidak sempat diguna pakai.

Kali terakhir PRN Sarawak diadakan adalah pada 18 Disember 2021, yang menyaksikan GPS menang 76 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan.

Sehingga Persidangan DUN yang berakhir Rabu, Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang dianggotai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik (PDP) mempunyai 80 kerusi.

Ia setelah Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang memiliki empat wakil rakyat dibubarkan dan ahlinya diserap secara en-bloc ke dalam PDP pada 2025.

Seorang lagi wakil rakyatnya, ADUN Batu Lintang See Chee How, lebih dahulu mengumumkan keluar parti untuk menjadi wakil rakyat bebas tetapi mesra GPS.