"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sembilan ditahan kes remaja mati ditikam di Sibu

BERNAMA
Tangkap layar video tular pergaduhan di sebuah taman awam di Jalan Gambir, Sibu awal pagi tadi.
SIBU – Polis menahan sembilan individu berusia antara 16 hingga 42 tahun bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang remaja lelaki berusia 19 tahun yang dipercayai ditikam dalam pergaduhan di sebuah taman awam di Jalan Gambir di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kesemua suspek ditahan di beberapa lokasi sekitar Sibu antara 10 pagi hingga 4 petang tadi hasil risikan dan siasatan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu.

Beliau berkata, polis menerima laporan kira-kira 2 pagi tadi berhubung kejadian pergaduhan yang menyaksikan pengadu dipukul sekumpulan individu.

“Dalam kejadian itu, seorang lelaki dipercayai ditikam menggunakan senjata tajam dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Hospital Sibu,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Abang Zainal Abidin berkata, kejadian berkenaan turut tular di media sosial Facebook.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.

Polis turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya tampil membantu siasatan.

Terdahulu, remaja berkenaan dilaporkan maut selepas dipercayai ditikam pada bahagian dada dengan senjata tajam dalam kejadian kira-kira 12 tengah malam.

Mangsa meninggal dunia selepas dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan kecemasan. – BERNAMA

Pelancong Malaysia merompak di Batam kerana wang habis

KOSMO
POLIS menunjukkan pasport dan barang lain milik suspek. - KOMPAS
JAKARTA – Seorang lelaki warga Malaysia ditahan selepas mencuri sebuah kereta dan barangan milik seorang penduduk di Batam, Kepulauan Riau dengan pisau dan senjata airsoft, lapor laman berita Kompas. 

Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Barelang, Pesuruhjaya Agung Tri Poerbowo berkata, kejadian berlaku sekitar pukul 2.30 petang (waktu tempatan) di Kompleks Perumahan Pertamina di Jalan Borobudur kelmarin. 

Mangsa dikenali sebagai NS, 48, mengalami kerugian mencecah kira-kira 192 juta rupiah (RM43,000) dan kesan luka pada tangan kanan. 

Agung berkata, suspek dikenali sebagai KCL, 41, masuk ke dalam kenderaan NS dan berpura-pura mendapatkan bantuan. 

“KCL berpura-pura menjadi mangsa penipuan dan meminta NS untuk membawanya ke balai polis. Ketika melalui Jalan Borobudur, suspek meminta untuk memberhentikan kenderaan. 

“KCL kemudian mengeluarkan pisau serta senjata airsoft, mengancam mangsa serta memaksanya memindahkan wang ke dalam akaun suspek. 

“NS segera menjerit meminta bantuan daripada orang ramai, manakala KCL melarikan diri bersama kenderaan dan barang-barang mangsa,” kata Agung. 

Suspek berjaya ditahan di hadapan sebuah kedai serbaneka.

Dia berbuat sedemikian kerana kekurangan wang untuk membeli makanan dan membayar yuran tingal lebih masa sebelum pulang ke Malaysia. – AGENSI

Mekanik kantoi miliki lebih 40 coli dan seluar dalam wanita terpakai setelah ditahan kes pecah amanah

Agensi
ANTARA barangan yang dirampas polis dari bilik suspek. FOTO Agensi / The Pattaya News
ANTARA barangan yang dirampas polis dari bilik suspek. FOTO Agensi / The Pattaya News
Pattaya: Serbuan polis ke sebuah bengkel membaiki kenderaan di daerah Banglamung bagi menahan seorang mekanik yang diburu berhubung kes pecah amanah membawa kepada penemuan mengejutkan apabila lebih 40 helai coli dan seluar dalam wanita terpakai ditemukan di dalam biliknya, lapor ThaiThuk.

Tangkapan pada 3 November lalu itu turut membawa kepada penemuan dadah, peralatan menghisap bahan terlarang serta telefon bimbit yang mengandungi beberapa klip video dipercayai dirakam secara sembunyi.

Suspek dikenali sebagai Jeerasak atau Chiang Tom, 33, diberkas kira-kira jam 10 malam di sebuah bengkel di Moo 4, Takhian Tia, daerah Banglamung, pinggir Pattaya.

Operasi itu diketuai Ketua Balai Polis Banglamung, Kolonel Polis Sarawut Nuchanart bagi melaksanakan waran tangkap terhadap suspek berhubung kes pecah amanah.

Menurut polis, pemeriksaan lanjut di bilik suspek menemukan 0.79 gram kristal methamphetamine, sebiji pil yaba, paip buluh, pemetik api, kerajang timah serta beg makanan ringan kosong yang digunakan untuk menghisap dadah.

Jumlah dadah yang dirampas dipercayai untuk kegunaan sendiri dan bukannya bagi tujuan pengedaran.

Bagaimanapun, penemuan lebih 40 helai seluar dalam wanita terpakai yang disimpan di dalam bilik suspek serta beberapa klip video dalam telefon bimbitnya turut menarik perhatian pihak berkuasa.

Suspek mengakui waran tangkap berkenaan dikeluarkan terhadapnya selain mengaku mengambil dadah.

Mengenai puluhan coli dan seluar dalam itu, suspek mendakwa barangan berkenaan sekadar koleksi peribadi yang kebanyakannya dikutip dari tong sampah atau tepi jalan sebelum dicuci dan disimpan. Dia turut menafikan mencurinya dari rumah orang lain.

Suspek juga mendakwa klip video dalam telefon bimbitnya hanya dirakam bagi menguji fungsi kamera. Bagaimanapun, polis tidak menerima penjelasan itu begitu sahaja.

Pihak penyiasat kini meneliti rakaman berkenaan dan tidak menolak kemungkinan tindakan lanjut diambil sekiranya individu yang dirakam tampil membuat laporan polis.

Setakat ini, suspek berdepan dua pertuduhan berkaitan dadah iaitu memiliki narkotik Kategori 1 dan menggunakan methamphetamine tanpa kebenaran.

Sementara itu, waran tangkap berkaitan kes pecah amanah yang membawa kepada penahanannya akan diuruskan secara berasingan menerusi mahkamah yang mengeluarkannya.