"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tetak polis: Suspek tinggal di negara ini secara haram sejak 2020

MEDIA MULIA

KUALA LUMPUR – Lelaki warga asing berusia 32 tahun yang menetak tangan anggota polis hingga putus di Desa Aman Puri dekat Gombak, semalam, pernah memegang pas pelajar dari 2015 hingga 2018.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, semakan mendapati, pasport lelaki terbabit bagaimanapun telah tamat tempoh sejak 2020.

“Sejak itu, lelaki terbabit berada di negara ini secara tidak sah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam kejadian semalam, seorang anggota polis berpangkat lans koperal parah selepas pergelangan tangan kanan putus akibat ditetak oleh seorang lelaki warga asing menggunakan parang di Desa Aman Puri dekat Gombak.

Kejadian berlaku apabila polis menerima maklumat daripada orang awam yang memaklumkan seorang lelaki berada dalam keadaan tidak stabil dan mengamuk di sebuah kediaman di Desa Aman Puri.

Anggota polis bergegas ke lokasi itu bersama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta petugas Kementerian Kesihatan bagi memeriksa keadaan.

Bagaimanapun, pada pukul 7 malam, suspek secara tiba-tiba meluru keluar rumah dengan membawa dua bilah parang sebelum menyerang anggota keselamatan termasuk menetak seorang anggota polis yang berada di hadapan pintu.

Suspek kemudian mati ditembak selepas sekali lagi menyerang pihak polis.

Buruh ditahan susulan kehamilan murid Tahun Enam

Kadir Edison
Lelaki berusia 28 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan kes seorang murid Tahun Enam yang disahkan hamil. – Foto Polis
KABONG: Seorang lelaki berusia 28 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan kes seorang murid Tahun Enam berusia 12 tahun yang disahkan hamil.

Kes itu terbongkar selepas ibu mangsa hadir ke sekolah bersama anaknya untuk memaklumkan mengenai kehamilan berkenaan, selain menyatakan hasrat mahu kanak-kanak itu berhenti sekolah dan berkahwin dengan lelaki terbabit.

Ketua Polis Daerah Saratok, Deputi Superintenden Mathew Manggie berkata, ibu mangsa hadir ke sekolah pada 12 November bagi memaklumkan perkara itu kepada pihak sekolah.

“Pengadu yang juga guru besar sekolah berkenaan kemudian merujuk perkara itu kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Saratok sebelum diarahkan membuat laporan polis memandangkan mangsa masih kanak-kanak,” katanya menerusi satu kenyataan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati lelaki yang bekerja sebagai buruh di sebuah ladang kelapa sawit itu mula berkenalan dengan mangsa sejak pertengahan 2025.

Katanya, kedua-duanya kemudian dipercayai menjalinkan hubungan cinta pada awal tahun ini.

“Mangsa mengaku melakukan hubungan seksual bersama suspek sebanyak tiga kali pada pertengahan Jun lalu,” katanya.

Mangsa dikatakan menyedari dirinya hamil kira-kira seminggu lalu sebelum memaklumkan perkara itu kepada ibunya pada 11 November.

Susulan laporan diterima, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Saratok diketuai Inspektor Henry Muji menjalankan operasi mengesan suspek.

Lelaki berusia 28 tahun itu kemudian ditahan di sebuah rumah panjang di Kabong bagi membantu siasatan.

Hasil ujian saringan air kencing terhadap suspek mendapati dia negatif dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Tetak polis: Suspek murung selepas kekasih lari ikut lelaki lain

MEDIA MULIA
Tangkap layar menunjukkan suspek keluar dari rumah sebelum menetak anggota polis di Desa Aman Puri, Gombak, semalam.
GOMBAK – Tekanan jiwa selepas ditinggalkan kekasih dipercayai menjadi punca seorang lelaki warga asing mengamuk sebelum menetak pergelangan tangan kanan anggota polis di Desa Aman Puri di sini, semalam.

Seorang penduduk, Mohd. Aidil Roslan berkata, suspek dipercayai mengalami tekanan perasaan selepas ditinggalkan kekasihnya yang menetap di blok bersebelahan sejak lebih sebulan lalu.

“Sebelum ini, kami ada lihat dia tinggal bersama kekasihnya, namun wanita terbabit kemudian berpindah ke kediaman lain bersama teman lelaki baharu. Mungkin sebab itu dia murung,” katanya ketika ditemui di Pangsapuri Aman Dua, di sini hari ini.

Menurutnya, suspek tinggal setingkat di bawah unit kediamannya sering menjerit-jerit, selain kerap bertengkar dengan teman serumah dalam tempoh dua minggu ini.

Katanya, kemuncak kejadian berlaku selepas ada rakan suspek datang dan pujuk untuk membawanya ke hospital.

Dalam kejadian pukul 7 malam semalam, seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal putus pergelangan tangan kanan akibat ditetak seorang lelaki warga asing di Desa Aman Puri.

Suspek kemudian ditembak selepas sekali lagi menyerang anggota polis menggunakan sebilah parang dengan lelaki warga asing itu disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Selayang.

Pergelangan tangan kanan mangsa yang putus berjaya disambung menerusi prosedur mikrosurgeri kompleks selama lapan jam di Hospital Kuala Lumpur (HKL), hari ini.