"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS: Bukan Islam boleh guna perkataan ‘Allah’

G Manimaran

(Dari kiri) Salahuddin Ayub, Datuk Mustafa Ali and Adris Ahmad menjelaskan keterangan PAS mengenai kalimah ‘Allah’. — Gambar oleh Jack Ooi

KUALA LUMPUR, Jan 5: PAS mengambil pendirian “terbuka” dalam isu kontroversi terbaru dengan menegaskan penggunaan perkataan “Allah” dibenarkan untuk digunakan oleh agama samawi seperti Kristian dan Yahudi.

Bagaimanapun parti itu menegaskan penggunaan kalimah “Allah” secara salah dan tidak bertanggungjawab wajar dielakkan supaya ia tidak menjadi isu yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama dalam negara ini.

“PAS memberikan peringatan kepada semua pihak supaya tidak menyalahgunakan perkataan Allah bagi mengelirukan atau menjadikan politik murahan untuk mendapat sokongan rakyat.

“Al-Quran telah menyarankan cara yang betul menggunakan perkataan Allah sebagaimana yang dinyatakan dalam surah Al Imran ayat 64,” kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam kenyataan dikeluarkan tengah malam tadi.

Kenyataan itu dibacakan oleh ketua penerangan PAS Pusat Idris Ahmad di ibu pejabat parti itu di sini.

Pendirian itu diputuskan dalam mesyuarat khas Lajnah Politik yang diadakan di sini malam tadi ekoran keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan akhbar mingguan gereja Katolik, “The Herald” menggunakan perkataan itu, Khamis lalu.

Pertemuan yang bermula 9 malam berakhir 11.45 malam tadi. Ia dihadiri oleh 25 wakil dengan sebahagian besar ahli jawatankuasa pusat parti itu.

Hakim Datuk Lau Bee Lan dalam keputusan lisannya menegaskan bahawa Herald mempunyai hak berperlembagaan untuk menggunakan perkataan itu.

Keputusan itu mencetuskan polemik sejak Khamis lalu dengan ada yang mengadakan protes dan membantahnya.

Malah ada juga pihak yang menyifatkannya sebagai amalan biasa penganut Kristian menggunakan kalimah “Allah”.

Kementerian Dalam Negeri telah membuat rayuan di Mahkamah Rayuan semalam.

Dalam kenyataan itu, Hadi menambah PAS dengan tegasnya ingin menolak sebarang bentuk tindakan agresif dan provokatif jahat yang boleh menggugat keharmonian dan mencetuskan ketegangan masyarakat.

Oleh itu kata beliau PAS dengan segala rasa penuh tanggungjawab bersedia untuk menjelaskan isu ini kepada semua pihak bagi mewujudkan suasana harmoni berdasarkan kepada prinsip keadilan sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan negara dan dijamin oleh Islam.

Hadi juga berkata PAS sebagai parti Islam amat menghormati prinsip kebebasan beragama sepertimana yang ditekankan oleh Islam kerana manusia tidak boleh dipaksa untuk menerima mana-mana agama melainkan ia merupakan pilihan sendiri.

“Prinsip kebebasan beragama ini juga telah termaktub dalam Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

“Walaupun demikian dalam konteks masyarakat di Malaysia, suasana dan keadaan setempat perlu diambil kira di atas kepentingan awam bagi memelihara keharmonian berbagai kaum dan agama.

“Setiap warganegara Malaysia wajib memelihara suasana dan keadaan ini.

“PAS ingin menjelaskan bahawa berdasarkan kepada kaedah Islam, penggunaan nama Allah pada asasnya adalah dibenar untuk digunakan oleh agama samawi seperti Kristian dan Yahudi,” katanya.

Pendirian PAS itu hampir sama dengan kenyataan yang diberikan oleh Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kota Baru, kelmarin.

Menurut Nik Aziz, penggunaan kalimah “Allah” pada penerbitan Herald mengikut hukum pengamal agama samawi tidak menjadi satu kesalahan, kata Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan.

Cuma beliau bimbang perkataan “Allah” kemungkinan boleh disalahgunakan oleh pihak-pihak tertentu.

Bagaimanapun Nik Aziz tidak hadir pada mesyuarat malam tadi.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali ketika ditanya mengenai ketidakhadiran Nik Aziz berkata, pandangan beliau di Kota Baru kelmarin telah “dimanfaatkan” dalam menyediakan pendirian mereka.

Sementara itu Naib Presidennya Salahuddin Ayub memberitahu pihaknya kemungkinan akan membincangkan isu berkenaan sekali lagi jika memerlukan apabila jawatankuasa pusat PAS bertemu Ahad ini.

“Ini pendirian rasmi kami dan jika ada keperluan kami akan membincangkan lagi,” katanya.

-malaysianInsider-

Tiada ulasan: