"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Didera kerana ketatkan pakaian sekolah

Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun cedera parah di kaki dan beberapa bahagian badan dipercayai didera ibu bapanya,
berpunca daripada tindakan pelajar itu mengecilkan saiz pakaian seragam sekolahnya.

Ketua Polis Daerah Tumpat Supt Khalid Munap berkata kejadian di Kampung Geting dekat Tumpat berlaku kira-kira 7 pagi semalam ketika pelajar tingkatan tiga SMK Geting sedang bersiap untuk ke sekolah.

Berdasarkan laporan polis yang dibuat mangsa, pada mulanya dia dimarahi ibunya ekoran tindakan mengecilkan uniform sekolah, namun bapa pelajar terbabit yang bosan mendengar leteran isterinya itu kemudian bertindak memukul mangsa dengan seterika panas dan rotan.

"Selain itu, mangsa yang merupakan anak sulung daripada lima beradik turut mendakwa dicederakan ibunya yang menarik rambut dan menyepaknya berkali-kali," katanya kepada pemberita.

Akibatnya, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kaki, tangan dan hampir keseluruhan badan, kata Khalid.

Menurutnya, mangsa yang kesakitan kemudian menceritakan kejadian itu kepada salah seorang rakan sekolahnya sebelum rakannya itu membawa mangsa ke Hospital Kelaboran untuk mendapatkan rawatan.

Beliau berkata pihak hospital yang sangsi dengan keadaan mangsa yang kelihatan seperti didera kemudian memaklumkan perkara itu kepada polis.

Khalid berkata polis kemudian menahan bapa mangsa untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.
- Bernama-

Tiada ulasan: