"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kes Beng Hock - SPRM Dibidas Peguam

MayLin


Koroner Azmil Muntapha Abbas memerintahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menyerahkan salinan laporan polis yang difailkan pegawai SPRM Raub Ghani kepada semua panel peguam yang terlibat dalam Inkues Kematian Setiausaha Exco Teoh Beng Hock.

SPRM diarahkan berbuat demikian esok selepas peguam mewakili keluarga mangsa Karpal Singh memohon untuk meneliti laporan tersebut dan mengambil tindakan susulan.

Pihak keluarga sebelum ini menyelar tindakan SPRM memfailkan laporan polis itu, yang didakwa cuba mengugut Pakar Patologis Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand.

Dr Pornthip yang dilantik oleh kerajaan negeri Selangor menemui kesan-kesan yang menunjukkan mangsa mungkin telah dibunuh, sebelum mayatnya ditemui terdampar di bumbung tingkat 5 bangunan Plaza Masalam.

Sehubungan itu, Koroner Azmil Muntapha Abas menetapkan 15 Januari ini bagi mendengar permohonan keluarga mangsa yang mahu pegawai SPRM terbabit dikenakan tindakan kerana menghina mahkamah.

Keputusan ini dibuat selepas mahkamah yakin bahawa tindakan pegawai SPRM ini boleh menjejaskan penyiasat inkues keatas punca kematian mangsa.

“Hari ini kami bangkitkan sama ada ia perlu diselesaikan dahulu dan mahkamah setuju dengan kami bahawa permohonan menghina mahkamah sangat serius kerana ia mengganggu prosedur inkues. Saya setuju dengan pandangan keluarag Beng Hock bahawa laporan polis SPRM adalah perangkap dan cubaan menakutkan,”katanya peguam mewakili Kerajaan Selangor, Malik Imtiaz Sarwar.

Peguam Gobind Singh Deo berkata pihak keluarga kesal dengan apa yang disifatkan satu perangkap oleh SPRM. Lantaran itu pihaknya mengalu-alukan perintah mahkamah menangguhkan tarikh memanggil Dr Pornthip sebagai saksi sehingga isu ugutan ini selesai.

“Dr Pornthip mungkin boleh ditahan, ditangkap jika ke sini kecuali jika Peguam Negera dapat memberi jaminan. Sebab itu adalah penting untuk menetapkan tarikh untuk mendengar permohonan dakwaan menghina mahkamah terlebih dahulu dan bukannya menetapkan tarikh memanggil saksi. Ia lebih serius,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Karpal Singh dan Timbalan Pendakwaraya SPRM Datuk Abdul Razak Musa bertikam lidah mendebatkan dalang laporan polis ini.

Raub mendakwa beliau telah diarah untuk memfailkan laporan polis terhadap Dr Pornthip selepas akhbar Parti Keadilan Rakyat, Suara Keadilan, menyiarkan rencana kematian Teoh 29 Disember lalu.

SPRM bagaimanapun menyangkal pengakuan itu dan mendakwa Raub berbuat demikian atas kapasiti peribadi.

“Saya tidak mempunyai salinan laporan itu. Saya perlu mendapatkannya daripada pegawai terlibat kerana ia merupakan laporan yang dibuat oleh individu. Ia sesuatu yang bersifat peribadi,”katanya Timbalan Pendakwaraya SPR, Abdul Razak Musa.

Hujah Razak bagaimanapun disanggah keras oleh peguam mewakili kerajaan Selangor, Malik Imtiaz Sarwar, dan keluarga mangsa.

“Dalam laporan polis itu tercatit bahawa laporan yang dibuat mewakili SPRM dan ia tidak menyatakan laporan itu dibuat oleh individu. Difahamkan laporan itu juga dibuat atas arahan Ketua SPRM,’”katanya.

Sementara itu Karpal di luar mahkamah berkata, pihaknya akan membuat laporan polis terhadap Raub kerana tindakan cuba menakutkan saksi iaitu pakar patologi Thailand, Dr. Pornthip Rojanasunand.

“Saya terkejut Timbalan Pendakwaraya SPRM dalam mahkamah mengatakan bahawa laporan polis yang dibuat oleh Raub Gani dan satu lagi laporan tyerhadap Suara Keadilan dibuat atas kapasiti individu pegawai SPRM.

“Selepas mendapat salinan laporan itu, sesorang perlu membuat laporan polis terhadap Raub Gani dan tindakan akan dibuat terhadap dia. Bukan hanya menghina mahkamah tetapi kita akan dakwa di bawah Seksyen 5 Akta Melarikan Orang dan Menakutkan Saksi Secara Jenayah 1947,”kata Karpal Singh.
-utaraonline-

Tiada ulasan: