"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kenyataan Dr Haron Din dipertikai


Jimadie Shah Othman


Kenyataan tokoh ulama PAS Datuk Dr Haron Din - yang mengaitkan sokongan kepada keputusan mahkamah kes kalimah 'Allah' boleh membawa kepada kekufuran - dipertikaikan.

Membidas pengamal perubatan Islam itu, Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, Dr Haron patut memberikan pandangan yang rasional dan tidak menafsirkan dengan salah pendapat orang lain.

"Saya hendak tanya Dr Haron, kalau kita dengar orang bukan Islam berkata, 'Allah menciptakan alam', adakah kita hendak ambil tindakan pada mereka?

"Adakah kita hendak suruh mereka kata tuhan lain yang menurunkan menciptakan alam?" kata bekas mufti Perlis.

Sementara ahli majlis syura PAS, Ahmad Awang pula berpendapat isu akhidah dan keputusan mahkamah merupakan dua hal yang berbeza sama sekali.

"Kefahaman bahawa kalimah Allah itu eksklusif untuk orang Islam sahaja, saya percaya (kefahaman) itu lagi sesat.

“Sedangkan Allah itu tuhan semesta alam, tuhan kepada semua manusia,” katanya, sewaktu diminta mengulas pandangan timbalan mursyidul am PAS.

Dr Haron hari ini dilaporkan berkata umat Islam yang menyokong keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur – membenarkan mingguan Katholik Herald The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya – boleh membawa kepada kekufuran.

Beliau dipetik berkata, menurut kaedah ilmu akidah, bersetuju dengan penggunaan nama Allah oleh Kristian membawa maksud menyekutukan Allah kerana agama itu mempercayai konsep tritunggal (trinity).
-malaysiakini-

Tiada ulasan: