"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jawapan Abdul Aziz Bari tentang hak jagaan juvana

Dzulfikar Mashoor
GOMBAK, 11 Mac:
Pakar Perlembagaan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr. Abdul Aziz Bari menganggap ketetapan Mahkamah Tinggi Ipoh menyerahkan hak penjagaan tiga orang anak bagi seorang mualaf, kepada seorang ibu kandung yang bukan beragama Islam adalah tidak begitu jelas.

Menurut beliau, ketidakjelasan tersebut ekoran belum ada lagi penghakiman bertulis dari mahkamah terbabit.

“Kes ini tidak begitu jelas kerana belum ada penghakiman bertulis,” kata beliau, seperti yang dipetik dari emailnya kepada Harakahdaily petang tadi.

Pun begitu, berdasarkan tindakan Hakim Wan Afrah Wan Ibrahim menemui juvana terbabit seperti yang dilaporkan beberapa media, Abdul Aziz yakin ketetapan tersebut sebenarnya dibuat dengan mengambil kira kehendak dan kebajikan juvana-juvana terbabit.

“Dari apa yang dilaporkan, hakim telah bercakap dan menemui kanak-kanak itu dan pastinya memutuskan apa yang sesuai dengan kehendak dan kebajikan mereka,” jelasnya.

Bercakap dari segi kehukuman, sama ada Islam atau sivil, beliau berpendapat berkata, soal kebajikan dan kepentingan anak-anak sebenarnya mengatasi yang lain.

Mengulas tentang kelayakan M Indera Ghani, iaitu ibu kandung kepada ketiga-tiga juvana terbabit, beliau menasihatkan semua pihak supaya tidak memperbesarkan isu ketidak-Islaman ibu terbabit.

Ujarnya lagi, ketidak-Islaman ibu terbabit seharusnya tidak dipandang secara negatif kerana soal keimanan seseorang adalah dalam urusan Allah.

“Soal ibu bukan Islam saya fikir jangan dibesar-besarkan dan dipandang sebagai semestinya negatif. Soal iman ialah soal Allah s.w.t,” ujarnya.

Bagaimana pun, beliau menyuarakan rasa faham dengan sensitiviti dalam kalangan umat Islam di tanah air.

“Saya faham umat Islam kebanyakannya mengandaikan ini satu penghinaan kepada Islam, tak semestinya,” beliau menambah.

Dalam pada itu, sekiranya juvana beragama Islam terbabit ditukar ke agama asal, beliau menegaskan bahawa pihak berwajib bolehlah mengambil tindakan yang dianggap wajar dan sesuai.

Ekoran itu, beliau menasihatkan semua pihak memandang status beragama juvana-juvana terbabit secara matang.

“Pengislaman automatik (yang dihujahkan oleh kebanyakan orang Islam) saya fikir perlu dilihat dengan lebih matang,” jelasnya.

“Memilih agama perlukan kefahaman dan kewarasan, ia tidak boleh dipaksa. Lainlah dalam keadaan kedua-dua ibu dan bapa memang sedia Islam.”

Abdul Aziz berkata, di sisi perlembagaan memang mencukupi seorang sahaja dari ibu atau bapa untuk menentukan agama si anak.

Disebabkan itu, Abdul Aziz berpendapat bahawa menggunakan mahkamah syariah untuk menentukan hak penjagaan kepada kanak-kanak terbabit adalah meragukan.

“Kes ini melibatkan orang bukan Islam jadi kedudukan mahkamah syariah agak meragukan,” jelasnya.

Sebaliknya, menurut beliau, sekiranya kes terbabit dibicarakan di mahkamah sivil seperti sekarang, undang-undang Islam masih boleh dijadikan digunakan dalam proses penghujahan.

“Tetapi kalau ia dibawa ke mahkamah sivil pun undang-undang Islam boleh dihujah dan dipakai.

“Tidak semestinya hanya kerana kes itu di mahkamah sivil undang-undang Islam diketepikan,” jelasnya.

Tuntas dari itu, beliau berkata, peruntukan dalam perlembagaan serta undang-undang tertentu seharusnya memberi ruang kepada kedudukan agama Islam di tanah air.

Dalam perkembangan yang sama, peguambela Mohammad Faizal Che Yusof dilaporkan, memfailkan permohonan di mahkamah supaya pelaksanaan kehakiman Hakim Wan Afrah itu ditangguhkan.

Turut dilaporkan, M Indera Ghandi mendakwa bekas suaminya, Muhammad Riduan Abdullah atau K. Pathmanathan telah mengIslamkan anak mereka pada April tahun lalu.

Lanjutan itu, Indera yang juga guru tadika cuba mendapatkan perintah mahkamah syariah bagi hak penjagaan anak-anak kandungnya mereka.

Ummu Salamah, 13, dan Abu Bakar, 12, dilaporkan tinggal bersama-sama Indera di Ipoh, manakala Ummu Habibah, 2, dilaporkan tinggal bersama-sama Mohammad.

Pada 22 Januari lalu, Hakim Wan Afrah dilaporkan menangguhkan perbicaraan kira-kira 10 minit demi meluangkan masa dengan juvana terbabit di kamar hakim.

Hakim Wan Afrah dilaporkan berkata, beliau mahu bercakap sendiri dengan semua juvana terbabit demi memastikan bahawa beliau membuat ketetapan kehakiman yang tepat.

Pun begitu, Muhammad dilaporkan tidak membawa anak bongsu mereka ke mahkamah seperti yang diarahkan oleh hakim.

Tiada ulasan: