"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polis teliti CCTV jejak lelaki serang murid tadika

JOHOR BARU, 12 Mac: Polis yakin dapat menjejaki lelaki yang dipercayai menceroboh dan menyerang murid-murid Tadika Sinario, di Muar, dua hari lepas setelah pergerakan lelaki berkenaan berjaya dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV).

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata siasatan terperinci terhadap rakaman itu sedang dilakukan sebelum fotofit lelaki berkenaan dikeluarkan dalam masa terdekat.

“Semua anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Muar, Ledang dan Batu Pahat sedang memburu lelaki itu. Polis juga akan menjalankan siasatan dari pelbagai sudut,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.

Beliau yang enggan mengulas lokasi CCTV itu, berkata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor Datuk Amer Awal juga akan mengadakan perjumpaan dengan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di sekitar bandar Muar hari ini bagi membantu mengesan lelaki berkenaan.

Menyifatkan kejadian itu sebagai tidak berperikemanusiaan, Mohd Mokhtar meminta orang ramai bersabar dan tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian tersebut.

“Kes ini adalah kes terpencil... bagaimanapun, polis menasihatkan semua pihak supaya meningkatkan keselamaan di premis masing-masing,” katanya.

Dalam kejadian pukul 10.30 pagi itu, seorang lelaki yang dipercayai tidak siuman, menceroboh Tadika Sinario di Lorong Haji Ali, Jalan Abdul Rahman dan bertindak menyerang serta mencederakan seorang guru wanita dengan tukul besi apabila ditanya tujuannya masuk ke tadika itu.

Lelaki itu kemudian menjadi semakin ganas dan menyerang kanak-kanak yang pada ketika itu sedang bersarapan, mengakibatkan tiga daripadanya cedera parah di bahagian kepala.

-Bernama-

Tiada ulasan: