"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rayuan Anwar: Hakim Mahkamah Tinggi tersilap putuskan tiada bias

PUTRAJAYA, 11 Mac: Hakim Mahkamah Tinggi tersilap ketika memutuskan bahawa tidak terdapat berat sebelah yang serius sekirannya beliau meneruskan untuk mendengar perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Inilah di antara empat alasan yang terkandung dalam petisyen rayuan Anwar untuk memohon Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Hakim Datuk Mohammad Zabidin Mohd Diah pada 18 Feb lepas untuk tidak menarik dirinya daripada mendengar perbicaraan kes liwatnya.

Petisyen rayuan itu difailkan di pejabat pendaftar Mahkamah Persekutuan menerusi firma guaman Tetuan S.N.Nair and Partners semalam.

Mahkamah Rayuan telah menetapkan 19 Mac untuk mendengar rayuan itu.

Permohonan meminta hakim itu menarik diri telah difailkan oleh Anwar kerana alasan Mohamad Zabidin bertindak berat sebelah apabila enggan melayan permohonan peguam utama Anwar, Karpal Singh, untuk mengenakan tindakan menghina terhadap Utusan Malaysia berhubung dua artikel yang disiarkan akhbar itu.

Ketua pembangkang itu sedang menghadapi tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan, 25, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Anwar, 63, didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan disebat jika disabit kesalahan.

Perbicaraan kes liwat itu telah ditangguhkan pada 25 Mac untuk sebutan sementara menunggu keputusan Mahkamah Rayuan terhadap rayuan Anwar tersebut.

Alasan lain yang terkandung dalam petisyennya itu termasuk bahawa Hakim Mohamad Zabidin tersilap dari segi undang-undang ketika memutuskan bahawa tidak ada sebab untuknya menarik diri untuk terus mendengar kes itu dan menyatakan bahawa sekirannya beliau menarik diri, ia bermakna beliau lari dari tanggungjawabnya sebagai seorang hakim.

-Bernama-

Tiada ulasan: