"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS dicadang tetap kuota 30 peratus untuk wanita

Harakahdaily
GOMBAK, 12 Mac:
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kelang, Saari Sungib mencadangkan agar PAS turut menetapkan kuota 30 peratus golongan wanita untuk memegang jawatan di peringkat tertinggi parti.

Bercakap dalam satu Wacana Pemberdayaan Wanita anjuran Pusat Komuniti Wanita Hulu Kelang baru-baru ini, Saari juga berkata, adalah sesuatu yang baik jika 30 peratus daripada ahli Majlis Syura Ulama PAS terdiri daripada golongan wanita.

Sambil mengakui sesetengah pandangan dalam Islam bahawa wanita tidak boleh menduduki jawatan pertama dalam negara, namun beliau menyeru agar ulama Islam khususnya dalam PAS menilai semula pandangan itu.

“Walaupun kadang-kadang saya tersekat dengan pandangan dalam Islam bahawa wanita tidak boleh menduduki jawatan pertama ketua pemimpin negara, tapi hari ini dengan pandangan-pandangan yang telah saya semak, saya menyeru agar ulama Islam khususnya dalam parti yang saya dokong, iaitu PAS, menilai semula keputusan dan kedudukan yang mengatakan wanita boleh memimpin dan membuat keputusan, terlibat dalam proses syura dan dalam proses membuat keputusan, tetapi tidak boleh memegang jawatan nombor satu dalam negara atau organisasi.

“Oleh itu saya menyeru bukan sahaja dalam PKR dan DAP, tetapi dalam PAS supaya pelaksanaan 30 peratus ini berakar umbi daripada cawangan, kawasan, dan negeri sehinggalah membolehkan wanita-wanita menduduki pimpinan PAS di pusat sebanyak 30 peratus.

“Saya mencadangkan alangkah cantiknya sekiranya 30 peratus daripada Ahli Majlis Syura Ulama PAS terdiri daripada ulama wanita,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya semua parti dalam Pakatan Rakyat berjaya menghidupkan budaya itu, politik baru boleh disuburkan dengan meneruskan komitmen untuk melaksanakan perubahan di negara ini.

“Kalau budaya ini dapat kita hidupkan, maka kita boleh membawa satu politik baru sekiranya kita berjaya ke Putrajaya. Kita akan terus mempunyai keupayaan dan komitmen untuk menggerakkan satu perubahan di negara Malaysia kerana kita bukan hanya bercakap tetapi beramal dengan memperkasakan dan memberdayakan wanita dalam proses membuat keputusan dan terlibat secara langsung dalam proses membuat keputusan yang kritikal dalam pentadbiran parti,masyarakat, negeri dan negara,” tegasnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamarudin berkata, amat penting untuk golongan wanita memegang jawatan tertinggi di setiap kementerian memandangkan jumlah wanita yang ramai di negara ini.

“Kenapa pentingnya ada wanita yang ramai dalam kementerian atau sebagainya, kerana semua aspek dalam kerajaan kita ini memerlukan pertimbangan ataupun perancangan yang melibatkan orang perempuan.

“Dalam banyak aspek, golongan wanita lebih teliti dan memahami keperluan wanita dalam membuat keputusan. Contohnya dari segi kebajikan dan keselamatan wanita. Pemikiran seperti ini tidak ada dalam kerajaan kita sekarang. Mereka tidak memikirkan tentang keperluan orang perempuan itu,” katanya yang juga Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat.

Seorang lagi panelis, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Haniza Talha pula berkata, masyarakat khususnya kaum lelaki tidak perlu risau apabila Pakatan Rakyat meletakkan 30 peratus golongan wanita untuk menduduki kedudukan di peringkat pembuat dasar dan keputusan kerana ia sebenarnya ia adalah hak wanita yang belum dipenuhi.

Wanita pula, ujar Adun Taman Medan itu, harus lebih bersedia untuk menghadapi situasi demikian dengan memberikan kesedaran kepada golongan lelaki berhubung peranan wanita dalam pembangunan negara.

“Kebanyakan lelaki merasakan apabila kita menyatakan 30 wanita di peringkat membuat keputusan, kit amengambil tempat mereka. Sebenarnya tidak.

“Kita meminta apa yang kita tidak pernah dapat, bukan mengambil hak lelaki. Kita meminta hak kita yang memang ada. Kita bukan minta 100 pertaus, tapi cuma 30 peratus sahaja. Itu pun sudah bergegar dan dianggap menggugat kedudukan lelaki.

“Ini situasi yang kita kena hadapi dan kita kena berusaha menjelaskan kepada masyarakat rasionalnya 30 peratus golongan wanita di peringkat tertinggi ini,” katanya.

Tiada ulasan: